Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Kewangan wilayah haram Israel, Bezalel Smotrich mendakwa pelan pembinaan tiga penempatan haram Yahudi di utara semenanjung Gaza telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu kelulusan Perdana Menteri wilayah haram tersebut, Benjamin Netanyahu untuk dilaksanakan.

Menurut Smotrich, Pentadbiran Penempatan di bawah Kementerian Pertahanan rejim Israel yang dipimpinnya telah menyiapkan segala persiapan bagi merealisasikan pembinaan penempatan tersebut. Dia turut menggesa Netanyahu memberikan kelulusan segera bagi melaksanakan projek berkenaan, yang menurutnya bertujuan melengkapkan misi dan mengembalikan apa yang didakwanya sebagai keselamatan kepada penduduk di selatan wilayah haram Israel.

Kenyataan itu dibuat selepas dia mengadakan lawatan ke beberapa komuniti berhampiran sempadan Gaza bersama Datuk Bandar Sderot, Alon Davidi, bagi meninjau projek pemulihan kawasan yang terjejas susulan serangan HAMAS pada 7 Oktober 2023 dan perang yang tercetus selepas itu.

Dalam kenyataan sama, Smotrich berkata tentera rejim Israel perlu menguasai lebih daripada 70 peratus wilayah Gaza, sambil mendakwa penempatan haram Yahudi di kawasan itu akan berfungsi sebagai zon penampan keselamatan bagi penempatan haram Israel berhampiran sempadan.

"Di mana tiada penempatan, di situ tiada keselamatan," katanya.Smotrich yang terkenal dengan pendirian pro-penempatan haram sebelum ini berulang kali menggesa rejim Israel mengilhakkan Tebing Barat dan semenanjung Gaza. Pada April lalu, beliau turut menyeru agar Gaza diduduki sepenuhnya dan penempatan haram Yahudi dibina semula selepas perang berakhir.

Bagaimanapun, cadangan untuk mengembalikan penempatan haram Yahudi di Gaza mendapat tentangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan dilihat sukar untuk direalisasikan dalam masa terdekat.

Dalam lawatan yang sama, Smotrich turut berdepan bantahan daripada keluarga tebusan warga haram Israel. Seorang bapa kepada anggota tentera rejim yang terbunuh dalam serangan 7 Oktober 2023, Eyal Eshel menuduhnya bertanggungjawab terhadap kematian ramai tebusan kerana berulang kali menolak perjanjian gencatan senjata yang berpotensi membawa mereka pulang lebih awal.

"Turun dari pentas. Anda tidak layak berada di sini. Anda sepatutnya meletakkan jawatan," katanya.Dia turut mendakwa ramai tebusan akhirnya pulang dalam keranda akibat kegagalan kerajaan mencapai persetujuan pertukaran tebusan ketika perang masih berlangsung.

Terdahulu, Smotrich mencetuskan kemarahan keluarga tebusan dan bekas tebusan apabila mendakwa dirinya berjaya memastikan semua tebusan warga haram Israel dibawa pulang, walaupun rekod menunjukkan dia berulang kali mengundi menentang cadangan perjanjian pembebasan tebusan sepanjang konflik di Gaza.

Menurut laporan media Israel, puluhan penunjuk perasaan turut berhimpun di luar lokasi lawatan bagi membantah kehadiran Smotrich, manakala lawatannya ke Kibbutz Be'eri terpaksa dibatalkan susulan bantahan penduduk.

Sepanjang perang di Gaza, Smotrich secara konsisten menolak atau hanya memberikan sokongan bersyarat terhadap cadangan pertukaran tebusan. Dia berpendapat bahawa meneruskan operasi ketenteraan dan menewaskan HAMAS lebih penting daripada memeterai perjanjian pembebasan tebusan, malah beberapa kali mengancam untuk menarik parti sayap kanannya daripada kerajaan sekiranya Netanyahu menerima perjanjian yang tidak dipersetujuinya.


Sumber: The Times of Israel, WAFA Agency

Written by
Admin
Published on
June 30, 2026