Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Menurut laporan Middle East Eye (MEE), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah menyiapkan permohonan waran tangkap terhadap dua menteri kanan Israel.

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, dilaporkan bakal berdepan tuduhan melakukan jenayah apartheid. Jika diteruskan, ia akan menjadi kali pertama kes berkaitan jenayah apartheid dibawa ke mahkamah antarabangsa.

Pendakwa Raya Utama ICC, Karim Khan, telah menyiapkan waran tangkap tersebut sebelum Mei 2024. “Permohonan waran tangkap itu sudah selesai sepenuhnya. Satu-satunya perkara yang belum berlaku ialah penyerahan rasmi kepada mahkamah,” kata sumber ICC kepada MEE.

Timbalan Pendakwa Raya ICC menyerahkan permohonan itu kepada hakim pra-perbicaraan. Namun menurut sumber MEE, terdapat kemungkinan besar permohonan itu digugurkan secara senyap akibat desakan tekanan luar.

Pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Donald Trump telah mengenakan sekatan terhadap Khan pada Februari 2024. Khan kemudian mengambil cuti ketika disiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung dakwaan salah laku seksual yang beliau nafikan. 

Pada Jun, AS turut mengenakan sekatan terhadap empat hakim ICC, termasuk dua yang meluluskan permohonan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Menurut sumber ICC mengesahkan permohonan waran tangkap terhadap Ben Gvir dan Smotrich sudah lengkap. “Tiada lagi kerja yang perlu dibuat, hanya prosedur rasmi untuk menghantar permohonan ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nazhat Shameem Khan dan Mame Mandiaye Niang masih belum menyerahkan dokumen itu kerana bimbang sekatan AS. Peguam Bela, Nicholas Kaufman memberitahu stesen penyiaran Israel bahawa sekatan terhadap hakim-hakim ICC adalah satu amaran awal untuk menghalang waran baharu terhadap pegawai Israel.

Raji Sourani, wakil Palestin di ICC, mengkritik kelewatan tersebut. “Bagi kami, ini sudah terlalu lewat. Apa yang mereka tunggu? Keadilan yang tertangguh sama seperti keadilan yang dinafikan,” katanya.

Di bawah Statut Rom, apartheid adalah jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk penindasan sistematik oleh satu kumpulan kaum ke atas yang lain dengan tujuan mengekalkan kawalan. Israel telah didakwa melakukan apartheid oleh Human Rights Watch dan B’Tselem. 

Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pendudukan Israel di Gaza dan Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. Mahkamah turut menyatakan dasar Israel melanggar kewajipan negara itu untuk mencegah pengasingan kaum dan apartheid.

Mahkamah kini berdepan tekanan besar. Pegawai AS telah memberi amaran bahawa ICC akan berdepan sekatan lebih keras jika waran tangkap itu diteruskan. Sama ada Ben Gvir dan Smotrich akan benar-benar berdepan pendakwaan antarabangsa masih belum pasti.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
August 16, 2025