Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir telah mengeluarkan ancaman secara langsung pada Khamis terhadap pemimpin Palestin yang dipenjara, Marwan Barghouti selepas menyerbu selnya di Penjara Gannot (dahulunya dikenali sebagai Penjara Ramon dan Nafha).

Dalam rakaman video yang tular di media sosial pada Khamis malam, Ben-Gvir dilihat melawat Barghouti – tahanan Palestin paling terkenal dan mengugut bahawa Israel akan menghapuskan sesiapa yang menentangnya.


“Siapa sahaja yang menganggu rakyat Israel, yang membunuh anak-anak dan wanita kami, kami akan hapuskan mereka. Kamu tidak akan mengalahkan kami,” kata Ben-Gvir kepada Barghouti.

Rakaman tersebut menandakan kemunculan pertama Barghouti selepas beberapa tahun menghilang daripada perhatian umum. Pada usia 66 tahun, beliau kelihatan kurus, letih dan sukar dikenali dan hanya memakai baju berwarna putih.

Keluarga Barghouti menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap keselamatannya. Dalam satu kenyataan bersama Al Jazeera, keluarganya berkata:

“Kami bimbang Marwan akan dibunuh dalam selnya melalui arahan Ben-Gvir susulan ancaman tersebut. Kami terkejut dengan perubahan wajahnya, keletihan dan tanda-tanda kelaparan yang dialaminya.”

Anak beliau, Qassem Barghouti, melaporkan kepada Middle East Eye bahawa ancaman ini menambah risiko besar terhadap nyawa bapanya.

“Selama dua tahun berturut-turut, beliau berdepan ugutan dan serangan. Serangan pertama berlaku dua tahun lalu, pada awal perang, mengakibatkan pelbagai tahap kecederaan. Hari ini, ancaman yang disuarakan Ben-Gvir – mewakili hierarki keselamatan tertinggi Israel – jelas menunjukkan bahaya nyata terhadap nyawanya,” katanya.

Majlis Kebangsaan Palestin (PNC) melalui pengerusinya, Ruhi Fattouh mengutuk serangan fizikal dan psikologi terhadap Barghouti. Dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Wafa, Fattouh menegaskan bahawa Israel memikul tanggungjawab penuh terhadap nyawa Barghouti, yang kini berada dalam keadaan lemah akibat pengasingan bersendirian serta layanan tidak berperikemanusiaan.

“Serangan ini merupakan sebahagian daripada perang berdarah yang menyasarkan rakyat Palestin dan kepimpinannya termasuk tahanan Marwan Barghouti, selain pembersihan etnik yang dilancarkan kerajaan pelampau kanan Israel di wilayah Palestin,” katanya. Beliau turut menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan badan hak asasi lain untuk segera campur tangan bagi memastikan keselamatan Barghouti dan tahanan Palestin lain.

Barghouti telah dipenjara sejak 2004 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sebanyak lima kali serta tambahan 40 tahun di penjara Israel atas dakwaan serangan yang mengorbankan lima orang. Namun beliau enggan membela diri dengan alasan tidak mengiktiraf keabsahan mahkamah tersebut.

Sumber: Al Jazeera, The Palestine Chronicle, Middle East Eye

Written by
Admin
Published on
August 15, 2025