Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, mengumumkan bahawa negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)  hujung bulan ini, serta mengenakan sekatan tegas terhadap Israel berhubung genosid berterusan di Gaza.

Menerusi hantaran di platform X pada Selasa, “Belgium akan mengiktiraf Palestin pada sesi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan sekatan tegas akan dikenakan terhadap kerajaan Israel,” kata Prevot, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Belgium.

Beliau turut mengumumkan bahawa Israel akan berdepan 12 bentuk sekatan daripada Belgium. Antara langkah tersebut termasuk larangan import produk dari penempatan haram Israel di Tebing Barat, semakan dasar perolehan awam dengan syarikat Israel, serta pengisytiharan dua menteri Israel dan beberapa peneroka ganas sebagai persona non grata di Belgium.

Prevot, yang merupakan ahli Parti Kristian Demokrat Belgium, menegaskan bahawa janji itu dibuat berdasarkan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza.

Perancis dan Arab Saudi akan bersama-sama menganjurkan mesyuarat mengenai pengiktirafan Palestin semasa UNGA pada 22 September ini. Pada akhir Julai lalu, Presiden Palestin, Emmanuel Macron turut mengumumkan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin ketika sidang para pemimpin dunia berlangsung.

Australia, Kanada dan United Kingdom (UK) turut menyatakan bahawa mereka merancang untuk mengiktiraf Palestin bulan ini.

Sehingga April tahun ini, sebanyak 147 negara, iaitu kira-kira 75 peratus daripada anggota PBB, telah pun mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Keputusan pengiktirafan itu dibuat ketika genosid Israel di Gaza telah meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin, dalam keadaan sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan ke wilayah terkepung itu.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
September 3, 2025