Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, mencetuskan kecaman selepas mendakwa Malaysia telah lama menjadi pangkalan operasi HAMAS, sambil menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.

Dalam satu hantaran di platform X, Schanzer menulis,

“Malaysia sudah lama menjadi tuan rumah kepada anggota HAMAS. Perdana menterinya langsung tidak berminat dengan perdamaian.”

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap ucapan terbaharu Anwar Ibrahim yang menegaskan pendirian Malaysia menyokong Palestin, selain menggesa hubungan diplomatik dengan Israel diputuskan susulan serangan berterusan di Gaza dan rampasan tanah di Tebing Barat.

Hantaran tersebut yang dimuat naik oleh Schanzer yang kini Pengarah Eksekutif Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington telah meraih hampir satu juta tontonan. Sebahagian besar respons datang daripada pengguna media sosial Malaysia yang membidas dakwaannya, mempertahankan pendirian pro-Palestin kerajaan.

Berdepan kecaman itu, Schanzer sekali lagi membuat hantaran susulan di X:

“Hampir sejuta tontonan. Hampir sepenuhnya troll dari Malaysia. Respons yang diterima agak lucu dan ada yang keterlaluan.”

Kontroversi ini sekali lagi membuka perdebatan mengenai dasar luar Malaysia dalam isu Palestin-Israel, serta peranan pengulas Barat dalam membentuk naratif rantau ini.

Setakat laporan ini ditulis, kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan Schanzer tersebut.

Sumber: The Vibes, Sinar Harian

Written by
Admin
Published on
September 22, 2025