Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Jumaat mendakwa pusat agihan bantuan yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah mencampurkan pil narkotik ke dalam beg tepung yang diedarkan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat peperangan dan kebuluran.
Kenyataan rasmi menyebut bahawa tindakan ini merupakan jenayah keji baharu yang menyasarkan kesihatan awam serta cuba memusnahkan struktur sosial masyarakat Palestin dari dalam.
“Kami menyatakan bahawa Israel sepenuhnya bertanggungjawab atas jenayah ini yang bertujuan menyebarkan ketagihan dan memusnahkan masyarakat Palestin,” kata kenyataan itu.
Seorang ahli farmasi dan penulis dari Gaza, Omar Hamad turut mendakwa bahawa Israel telah menyeludup dadah jenis Oxycodone ke dalam Gaza melalui beg-beg tepung bantuan. Lebih membimbangkan, katanya, tepung itu sendiri dipercayai telah dicampur dengan bahan tersebut.
Jawatankuasa Anti-Dadah Gaza menggesa rakyat untuk:
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini mengutuk tindakan Israel yang memperalatkan makanan sebagai senjata terhadap penduduk Gaza satu tindakan yang dianggap sebagai jenayah perang.
Menurut data rasmi PBB, lebih 410 rakyat Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 3,000 cedera akibat ditembak oleh tentera Israel ketika cuba mendapatkan makanan atau mendekati pusat bantuan.
“Rakyat Gaza yang kelaparan kini berhadapan dengan pilihan yang tidak berperikemanusiaan, sama ada mati kebuluran atau berisiko ditembak ketika mencari makanan,” tegas pejabat hak asasi manusia PBB dalam kenyataan bertulis.
Pusat bantuan makanan yang disokong AS dan Israel, Gaza Humanitarian Foundation (GHF), mula beroperasi pada 26 Mei 2025, selepas Israel memutuskan sepenuhnya bekalan ke wilayah Gaza selama lebih dua bulan — satu tindakan yang mencetuskan amaran tentang kebuluran besar-besaran.
Sumber: Al-Arabiya English