Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sepuluh hari sebelum majlis perkahwinannya, Hala Salem Darwish sepatutnya sedang membuat persiapan untuk meraikan hari bahagia. Namun, gadis berusia 19 tahun itu kini terlantar di unit rawatan rapi selepas sebutir peluru yang dilepaskan penembak tepat Israel menembusi rumah keluarganya dan mengenai kepalanya.

Menurut keluarganya, kejadian itu berlaku ketika Hala membantu menyediakan makanan sebelum matahari terbenam. Sebutir peluru dilaporkan masuk ke rumah melalui tingkap dan mengenai bahagian belakang kiri kepalanya. Dia rebah di hadapan ahli keluarganya.

Tunangnya, Mohammed Shreihi berkata, insiden itu berlaku hanya beberapa hari sebelum majlis yang sudah lama mereka nantikan.“Hanya tinggal 10 hari sebelum perkahwinan kami. Dalam satu detik, semuanya berubah,” katanya kepada Anadolu.

Menurut Mohammed, peluru itu masih tertanam di kepala Hala dan menyebabkan kerosakan teruk pada tisu otak, menjadikan keadaannya kritikal serta tidak stabil. Doktor setakat ini belum dapat menjalankan pembedahan dan masih menunggu keadaannya stabil.

“Dia seperti bakal pengantin lain, penuh kegembiraan dan harapan. Sekarang kami hanya berharap dia dapat bertahan,” katanya.Bapa Hala, Salim, berkata, detik tembakan itu masih menghantuinya.“Kami sedang menyediakan makanan apabila tiba-tiba peluru Zionis masuk melalui tingkap dan mengenainya. Dia rebah di depan kami. Saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, majlis perkahwinan Hala dijadualkan berlangsung pada awal Mei – tarikh yang mereka cuba selesaikan hal keluarga – meskipun berdepan kesukaran akibat perang.

Kes Hala mencerminkan situasi yang lebih kritikal di Gaza apabila sistem kesihatan di wilayah itu hampir lumpuh. Doktor berkata rawatan yang diperlukan Hala tidak tersedia di Gaza dan dia perlu segera dipindahkan ke luar negara.

Anggaran menunjukkan kira-kira 22,000 orang pesakit dan mangsa yang cedera di Gaza perlu dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan ketika wilayah itu berdepan dengan kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan di paras yang kritikal.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
May 4, 2026