
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam tempoh 24 jam lalu menyatakan bahawa beberapa gelombang serangan telah dilancarkan oleh pihak AS terhadap Iran.
Menurutnya serta Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, gelombang ketiga yang bakal menyusul dijangka menjadi yang paling besar setakat ini.
Kenyataan itu selari dengan maklumat daripada Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine pada Isnin memaklumkan bahawa AS masih menggerakkan tambahan aset ketenteraan ke rantau berkenaan.
Pergerakan melibatkan kapal, pesawat dan anggota tentera itu menunjukkan Washington sedang memperkukuh kehadiran militari bagi melaksanakan operasi susulan.
Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan kepada Senator AS, Richard Blumenthal pada Selasa. Dia kini lebih bimbang berbanding sebelum ini bahawa AS mungkin akan menghantar tentera darat ke Iran.
Kenyataan itu dibuat selepas menghadiri taklimat tertutup bersama Marco Rubio mengenai serangan AS-Israel terhadap Iran yang semakin memuncak yang dikenali sebagai Operasi Epic Fury.
“Saya lebih bimbang berbanding sebelum ini bahawa kita mungkin akan menghantar tentera darat. Anggota tentera AS mungkin diperlukan untuk mencapai objektif yang kelihatan ingin dicapai oleh pentadbiran,” katanya kepada wartawan.
Blumenthal turut menyuarakan kekeliruan berhubung hala tuju sebenar pentadbiran, sama ada untuk memusnahkan sepenuhnya keupayaan nuklear Iran, menyasarkan sistem peluru berpandu, menukar rejim, atau sekadar menghentikan aktiviti yang dikaitkan dengan ‘keganasan’.
Menurutnya, kekaburan objektif ini meningkatkan risiko AS terheret ke dalam konflik yang lebih luas.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan rejim haram Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu lalu. Iran dilaporkan membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas negara haram Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Serangan bersama itu berlaku ketika rundingan antara AS dan Iran mengenai program nuklear Tehran masih berlangsung dengan pengantaraan Oman, manakala satu lagi pusingan rundingan di Geneva dilaporkan berakhir pada Khamis.
Perkembangan terkini ini menandakan konflik berpotensi memasuki fasa yang lebih intensif, dengan kemungkinan peningkatan operasi ketenteraan dan penglibatan lebih langsung tentera AS di lapangan.
Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera