
Menurut akhbar Haaretz, Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan membiayai pembinaan kilang baharu bagi pengeluaran kenderaan perisai Israel dengan peruntukan sehingga AS$2 bilion daripada bantuan ketenteraan AS. Perkara ini berlaku meskipun Israel sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mula mengurangkan kebergantungannya terhadap bantuan AS.
Tentera AS yang bertanggungjawab terhadap projek berkenaan, memaklumkan bahawa tiada keputusan rasmi setakat ini dibuat. Sementara itu, Kementerian Pertahanan wilayah haram Israel enggan mengulas mengenai kemungkinan pembiayaan tersebut.
Pada Ogos lalu, Jawatankuasa Menteri kerajaan Israel bagi Perolehan Pertahanan telah meluluskan projek yang dikenali sebagai Armored Vehicle Acceleration Project, iaitu satu pelan besar untuk meningkatkan kadar pengeluaran kereta kebal Merkava serta kenderaan perisai Tentera Rejim Israel (IOF), iaitu Namer dan Eitan.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan wilayah haram itu, kos projek itu dianggarkan melebihi 5 bilion shekel (sekitar AS$1.5 bilion). Namun, pengumuman rasmi sebelum ini tidak menyebut sebarang pembiayaan asing. Pegawai Israel menyatakan kerugian besar serta kehausan peralatan akibat genosid di Gaza dan peperangan di Lubnan sebagai antara faktor utama dorongan projek tersebut dilaksanakan.
Namun begitu, dua dokumen daripada Kor Jurutera Tentera Darat AS yang dipetik Haaretz menunjukkan Washington berkemungkinan memainkan peranan penting dalam membiayai rancangan tersebut. Dokumen berkenaan menyatakan projek itu masih dalam perbincangan walaupun tarikh pelaksanaan belum ditetapkan.
Dalam satu pembentangan yang dikemukakan pada Oktober lalu sempena persidangan kontraktor Timur Tengah, satu projek baharu di Israel telah didedahkan, melibatkan perancangan, reka bentuk dan pembinaan sebuah pusat pembuatan bersama bagi sistem ketenteraan.
Kos projek itu dianggarkan antara AS$1 bilion hingga AS$2 bilion, dengan keseluruhan pembiayaan dinyatakan akan ditanggung sepenuhnya melalui bantuan ketenteraan AS.
Laporan itu turut menjelaskan bahawa kor berkenaan sering menguruskan projek infrastruktur ketenteraan bagi sekutu Amerika menggunakan dana bantuan AS. Projek-projek ini bukan sahaja melibatkan pembelian senjata, tetapi juga pembinaan pangkalan udara, kemudahan tentera laut dan tapak strategik ketenteraan lain.
Haaretz menambah bahawa berbilion dolar bantuan AS telah disalurkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi pembinaan dan menaik taraf infrastruktur ketenteraan Israel. Cadangan terbaharu ini muncul ketika perjanjian bantuan ketenteraan AS-Israel yang sedia ada menghampiri tarikh tamat pada 2028, di mana Israel dijadualkan menerima AS$38 bilion dalam tempoh 10 tahun ke depan.
Memetik satu kajian Kongres AS, Haaretz melaporkan bahawa Washington telah membelanjakan sekitar AS$32 bilion bagi menyokong Israel hanya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Jumlah tersebut termasuk AS$21.7 bilion bantuan langsung, selain pakej ketenteraan berasingan bernilai AS$26 bilion yang diluluskan tahun lalu.
Sumber: Quds News Network, Haaretz