
Amerika Syarikat (AS) pada Isnin dilihat enggan mengkritik rejim Israel selepas parlimennya, Knesset meluluskan undang-undang kontroversi yang mengenakan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang disabitkan dengan serangan maut, meskipun setelah mendapat kecaman antarabangsa.
“AS menghormati hak berdaulat Israel dalam menentukan undang-undangnya sendiri serta hukuman bagi individu yang disabitkan dengan keganasan,” kata Jurucakap Jabatan Negara kepada Anadolu sebagai respons kepada sebuah pertanyaan.
“Kami percaya sebarang langkah sedemikian akan dilaksanakan dengan perbicaraan yang adil serta menghormati semua jaminan dan perlindungan perbicaraan tersebut,” tambah jurucakap itu.
Kenyataan ini dibuat ketika kumpulan hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa buah negara termasuk kerajaan Eropah mengecam undang-undang tersebut dan menyifatkannya sebagai dasar diskriminasi dan melanggar undang-undang antarabangsa. Ia turut memberi amaran bahawa hal ini boleh dianggap sebagai hukuman kejam lagi tidak berperikemanusiaan.
Undang-undang yang diluluskan oleh Knesset itu menjadikan hukuman mati sebagai hukuman standard bagi rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki jika disabitkan melakukan serangan maut terhadap warga haram Israel.
Lebih 9,300 rakyat Palestin, termasuk 350 kanak-kanak dan 66 wanita, kini dipenjarakan di penjara rejim Israel, menurut data daripada organisasi hak tahanan dan Perkhidmatan Penjara Israel (IPS).
Menurut organisasi hak asasi Palestin dan Israel, ia menyatakan bahawa para tahanan di penjara rejim terpaksa berdepan penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan, yang telah mengakibatkan kematian puluhan individu.
Sejak Oktober 2023, rejim Israel telah meningkatkan langkah-langkah keselamatannya terhadap tahanan Palestin, seiring dengan perang genosid di semenanjung Gaza bersama sokongan AS, yang telah mengakibatkan kematian lebih 72,000 orang dan kecederaan 172,000 yang lain.
Sumber: Anadolu Ajansi