Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) telah menggantung semua visa pelawat untuk rakyat Palestin dari Gaza. Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas seorang pempengaruh sayap kanan Zionis, Laura Loomer menyuarakan bantahan di media sosial berhubung ketibaan kanak-kanak yang cedera parah ke hospital-hospital di AS.


Kanak-kanak tersebut datang ke AS untuk mendapatkan rawatan melalui HEAL Palestine, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di AS yang menguruskan penjagaan khusus.


Dalam satu kenyataan di platform X, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa semua visa pelawat untuk individu dari Gaza digantung sementara. Langkah itu diambil bagi membolehkan pihaknya menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses dan prosedur pemberian sejumlah kecil visa perubatan sementara.


Loomer dalam beberapa hantaran di platform X menggesa Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Jabatan Negara supaya menolak rawatan untuk kanak-kanak Palestin yang cedera. Beliau turut memuat naik kenyataan berbaur perkauman dan anti-Palestin dengan menuduh kanak-kanak itu sebagai anggota Hamas. “Kami tidak mahu orang Gaza dibawa ke sini. Mereka ada doktor di negara lain,” tulisnya.


Dr. Steve Sosebee, pengasas HEAL Palestine menjelaskan bahawa organisasi itu menyediakan surat tajaan kepada hospital dan jaminan bahawa kanak-kanak akan kembali ke Gaza selepas pulih. Beliau memberi amaran bahawa sekatan visa ini akan mengakibatkan lebih banyak kematian yang boleh dicegah.


“Menafikan rawatan perubatan kepada kanak-kanak yang cedera adalah bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan nilai yang dipegang oleh AS. Secara tradisi, kita sentiasa prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang sakit dan menderita di seluruh dunia dan keputusan ini hanya akan mengakibatkan lebih ramai kanak-kanak tidak bersalah terus kehilangan nyawa,” katanya.


Penggantungan visa tersebut menyerlahkan percanggahan dasar AS. Ketika akses rawatan perubatan untuk kanak-kanak cedera dihentikan, Washington dalam masa yang sama terus menyalurkan senjata kepada Israel, sekali gus membolehkan lebih banyak pembunuhan di Gaza.


Menurut Costs of War Project Universiti Brown, AS telah menyalurkan bantuan ketenteraan berjumlah AS$17.9 bilion kepada Israel dari Oktober 2023 hingga Oktober 2024. Laporan Wall Street Journal pada Disember 2023 pula mendedahkan penghantaran tersebut merangkumi 15,000 bom dan 57,000 peluru artileri.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
August 18, 2025