
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memaklumkan bahawa pasukan bola sepak Iran akan dibenarkan memasuki negara itu dua hari lebih awal sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia menentang Mesir, sekali gus melanjutkan tempoh berada di negara tersebut selama satu hari tambahan.
Bagaimanapun, pasukan Iran yang dikenali sebagai Team Melli masih tidak dibenarkan bermalam di AS selepas perlawanan tersebut, menurut pengesahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pada Selasa.Menurut jurucakap DHS kepada Al Jazeera, “Bagi perlawanan ketiga pasukan Iran di Seattle pada 26 Jun, pasukan tersebut telah dibenarkan memasuki AS dua hari sebelum perlawanan.” Jabatan itu bagaimanapun tidak menjelaskan sebab di sebalik keputusan tersebut, yang dibuat ketika ketegangan antara Tehran dan Washington dilihat semakin reda susulan perjanjian gencatan senjata serta rundingan diplomatik.
“Pasukan Iran masih diwajibkan untuk meninggalkan negara itu pada hari perlawanan tamat. Keseluruhan langkah keselamatan dan protokol adalah sama,” kata jurucakap DHS. “Kami kekal komited untuk menyediakan kejohanan paling selamat untuk pemain, kakitangan dan peminat.”Sebelum ini, pemain dan pegawai sukan Iran mengkritik layanan tuan rumah terhadap Team Melli, yang terpaksa menempatkan kem latihan di Mexico dan bermain kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di pantai barat AS. Pegawai AS pula menyatakan sekatan terhadap pasukan Iran adalah atas alasan keselamatan, namun tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai bagaimana kehadiran atlet antarabangsa boleh dianggap sebagai ancaman.
Minggu lalu, jurulatih Iran, Amir Ghalenoei menyifatkan pasukannya sebagai pasukan paling tertindas dalam keseluruhan Piala Dunia. Beliau berkata pasukan itu terpaksa terlepas sesi latihan akibat jadual perjalanan sehari sebelum perlawanan, selain arahan untuk meninggalkan negara sejurus selepas perlawanan turut menjejaskan program pemulihan pasukan.Sebelum perlawanan pembukaan menentang New Zealand di Los Angeles, Ghalenoei berkata garis panduan perjalanan AS memberi cabaran besar kepada Team Melli. “Kelakuan seperti ini akan memberi kesan negatif kepada semangat bola sepak,” katanya kepada media. “Sama ada kami menang atau kalah, ia tetap satu perasaan yang sukar.”
Ramai penyokong dan kumpulan hak asasi turut mengkritik layanan AS terhadap skuad Iran serta dasar perjalanan pentadbiran Trump berkaitan Piala Dunia. Sebelum kejohanan bermula, AS turut menafikan kemasukan pengadil dari Somalia yang memenangi anugerah, Omar Artan yang sepatutnya terlibat dalam kejohanan tersebut.
Iran memasuki perlawanan menentang Mesir dengan dua mata daripada dua perlawanan. Kemenangan akan menjamin tempat ke pusingan 32, manakala keputusan seri mungkin mencukupi bergantung kepada keputusan lain. Mesir pula mengumpul empat mata dan boleh mengesahkan kedudukan teratas kumpulan jika menang. Mereka juga boleh layak jika seri dan berkemungkinan layak walaupun kalah, bergantung kepada keputusan lain.
Sumber: Al Jazeera