.png)
Lintasan sempadan Gaza-Mesir akan dibuka semula pada minggu hadapan, umum pemimpin teknokrat Palestin yang disokong Washington untuk mentadbir wilayah itu, pada Khamis.
Ali Shaath membuat pengumuman tersebut pada Khamis dalam satu sidang video semasa acara yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Salah satu elemen penting gencatan senjata yang masih belum dipenuhi adalah pembukaan semula pintu utama sempadan Gaza ke dunia luar bagi membolehkan pergerakan masuk dan keluar rakyat Palestin.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa lintasan Rafah akan dibuka minggu depan bagi pergerakan dua hala. Bagi rakyat Palestin di Gaza, Rafah bukan sekadar sebuah pintu masuk tetapi ia adalah talian hayat dan simbolik kepada sebuah harapan,” kata Shaath.
“Pembukaan Rafah menandakan bahawa Gaza tidak lagi tertutup dari masa depan dan peperangan,” tambahnya.
Setakat ini, tiada kenyataan segera daripada pihak rejim Israel yang telah menguasai lintasan Rafah sejak 2024. Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu di bawah pelan Trump, pihak berkuasa rejim Israel dilaporkan sengaja melengah-lengahkan pembukaannya sekali gus menghalang kemasukan bantuan yang amat diperlukan serta pergerakan keluar pesakit yang memerlukan rawatan perubatan.
Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, pembukaan semula lintasan Rafah akan menandakan perubahan daripada dasar rejim Israel sebelum ini yang hanya membenarkan lintasan tersebut dibuka khusus untuk penduduk Gaza keluar ke Mesir.
Sumber: Reuters, Al Jazeera