Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak berkuasa kesihatan Gaza memberi amaran bahawa sekatan Zionis ke atas pintu sempadan Rafah terus mengancam nyawa pesakit kritikal, walaupun pintu sempadan dibuka semula secara terhad. Pihak penjajah hanya membenarkan lima pesakit di tahap kritikal keluar pada hari pertama pembukaan, sedangkan lebih 20,000 pesakit termasuk 4,500 kanak-kanak memerlukan rawatan segera di luar Gaza.

Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr. Muhammad Abu Salmiya berkata kadar pemindahan pesakit semasa amat perlahan dan boleh mengambil sehingga lima tahun untuk memindahkan semunya. Beliau menyifatkannya sebagai tindakan jangka pendek, bukan penyelesaian. Sekurang-kurangnya 1,268 pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu untuk dibawa keluar bagi mendapatkan rawatan. 

“Benarkan kami mendapatkan ubat-ubatan, bekalan perubatan serta peralatan, barulah kami mampu merawat pesakit kami. Menghalang pesakit daripada keluar dan menyekat kemasukan ubat-ubatan seperti memberi hukuman mati kepada mereka. Selamatkan pesakit di Gaza!” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan Gaza menegaskan sekurang-kurangnya 500 pesakit perlu dipindahkan setiap hari bagi mengelakkan lebih banyak kematian, namun pihak penjajah terus menyekat kemasukan ubat-ubatan, bekalan perubatan dan doktor sukarelawan selepas memusnahkan sistem kesihatan Gaza.

Proses di Rafah juga digambarkan sebagai terlalu rumit, menghina dan tidak berkesan. Terdapat laporan menyatakan bahawa rakyat Palestin ditutup mata, disoal siasat dan didera. Rejim Zionis dilaporkan merancang untuk menghadkan kemasukan ke Gaza, membenarkan lebih ramai keluar berbanding masuk, menimbulkan kebimbangan pemindahan paksa secara berperingkat.

Sumber: Quds News Network, Kementerian Kesihatan Gaza

Written by
Admin
Published on
February 4, 2026