
Jurucakap rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Adnan Abu Hasna berkata dalam sesi temu bual khas bersama Agensi Berita Shehab bahawa jumlah bantuan kemanusiaan masuk ke semenanjung Gaza kini meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya. Namun, beliau menegaskan bahawa bantuan yang diterima masih amat kecil berbanding keperluan sebenar penduduk Gaza, sambil menyifatkannya sebagai sekadar setitik air di lautan keperluan.
Dalam kenyataan khas bersama agensi berkenaan, Abu Hasna memaklumkan bahawa sebelum ketegangan terbaharu tercetus, Gaza menerima antara 70 hingga 80 trak bantuan setiap hari. Namun kini, ratusan trak telah dibenarkan masuk. Beliau menegaskan bahawa jumlah itu masih jauh daripada mencukupi kerana Gaza sebenarnya memerlukan puluhan ribu trak bantuan secara berterusan. Katanya lagi, Israel mampu membenarkan kemasukan sehingga 1,000 trak sehari melalui lima lintasan darat jika benar-benar mahu.
Beliau menambah bahawa krisis di Gaza bukan sekadar melibatkan kekurangan makanan, tetapi turut merangkumi ketiadaan alat ganti bagi sistem kumbahan dan air, selain sektor kesihatan yang hampir lumpuh. Keadaan itu turut diperburuk oleh kekurangan ubat-ubatan serta makanan terapeutik penting yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.
Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 90% penduduk Gaza kini mengalami tahap kekurangan zat makanan yang berbeza-beza, manakala puluhan ribu kanak-kanak menghadapi keadaan kekurangan zat yang teruk dan membimbangkan. Beliau menegaskan bahawa krisis kemanusiaan di wilayah tersebut masih sangat kritikal dan terlalu awal untuk bercakap tentang sebarang penambahbaikan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh usaha UNRWA memulihkan semula sektor pendidikan, dengan memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 300,000 pelajar di sekolah-sekolah di bawah agensi itu. Namun setakat ini, hanya sekitar 20,000 pelajar yang kembali mengikuti pembelajaran secara bersemuka. Usaha sedang giat dijalankan untuk memperluas program pendidikan tersebut ke pusat-pusat perlindungan.
UNRWA telah membuka tiga klinik baharu di bandar Gaza, selain mengendalikan puluhan klinik bergerak dan pusat kesihatan di Khan Yunis, Deir al-Balah, Nuseirat dan al-Bureij. Pasukan kebersihan, pembekalan air serta pengurusan pusat perlindungan juga masih beroperasi, dengan kira-kira 70,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di pusat-pusat berkenaan.
Abu Hasna menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tindakan yang nyata dan berkesan bagi membolehkan semua keperluan asas kehidupan disalurkan ke Gaza. Beliau turut menggesa agar tekanan diberikan di semua peringkat bagi memastikan aliran bantuan tidak terhenti. Menurutnya, rejim Israel masih menghalang kemasukan lebih 6,000 buah trak bantuan yang membawa makanan, khemah, serta barangan perlindungan untuk kira-kira 1.3 juta rakyat Palestin, jumlah yang sepatutnya mampu menampung keperluan selama tiga bulan.
Sumber: Agensi Berita Shehab