
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata pada Isnin bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) masih boleh berlaku, meskipun Tehran menegaskan bahawa negara itu sepenuhnya bersedia untuk perang. Hal ini susulan ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan sebagai reaksi terhadap tindakan keras Iran ke atas protes anti-kerajaan.
Berucap kepada duta-duta asing di Tehran yang disiarkan oleh televisyen kerajaan, Araghchi menekankan bahawa Iran tidak mencari perang, tetapi bersedia mempertahankan diri sekiranya diserang.
Dalam temu bual eksklusif bersama Al Jazeera Arabic pada Isnin, Araghchi berkata saluran komunikasi dengan AS masih terbuka meskipun ketegangan dalaman di Iran berterusan. Namun, beliau menegaskan bahawa negaranya bersedia menghadapi semua kemungkinan, sambil mendakwa Iran kini mempunyai kesiapsiagaan ketenteraan yang besar dan meluas, jauh lebih kukuh berbanding ketika konflik selama 12 hari yang berlaku tahun lalu.
Kenyataan Araghchi itu dibuat susulan ucapan Trump pada Ahad lalu, ketika Iran berdepan gelombang protes di seluruh negara yang tercetus akibat tekanan ekonomi dan kini berkembang menjadi tuntutan lebih luas untuk perubahan sistemik. Trump berkata dia sedang mempertimbangkan pilihan-pilihan tegas terhadap Iran berhubung tindakan keras kepimpinan Tehran itu ke atas protes, termasuk kemungkinan tindakan ketenteraan.
“Jika Washington mahu menguji pilihan ketenteraan yang pernah diuji sebelum ini, kami bersedia menghadapinya,” kata Araghchi. Beliau menambah bahawa Iran berharap AS akan memilih opsyen yang bijaksana, iaitu dialog, sambil memberi amaran tentang pihak-pihak yang cuba menyeret Washington ke arah peperangan demi memenuhi kepentingan Israel.
Media kerajaan melaporkan bahawa lebih 100 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam beberapa hari kebelakangan ini. Namun, aktivis pembangkang mendakwa angka korban sebenar lebih tinggi dan turut melibatkan ratusan penunjuk perasaan. Al Jazeera setakat ini tidak dapat mengesahkan angka tersebut secara bebas.
Aliran maklumat dari Iran turut terjejas akibat penutupan internet yang berkuat kuasa sejak Khamis lalu. Menteri Luar Iran pada Isnin berkata bahawa perkhidmatan internet akan dipulihkan secara berperingkat dengan penyelarasan bersama agensi keselamatan. Sementara itu, pemantau internet NetBlocks melaporkan pada jam 16:29 GMT Isnin bahawa Iran telah terputus talian selama 96 jam.
“Kami bersedia untuk duduk di meja rundingan nuklear, dengan syarat ia berlangsung tanpa ancaman atau paksaan,” kata Araghchi, sambil mempersoalkan sama ada Washington benar-benar bersedia untuk rundingan yang adil dan saksama.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa Rumah Putih sedang mempertimbangkan tawaran Iran untuk meneruskan rundingan ketenteraan, meskipun Trump pada masa sama mempertimbangkan kemungkinan serangan ke atas Iran.
Iran telah dilanda protes sejak akhir Disember akibat keadaan ekonomi yang semakin merosot.
Jun lalu, AS melancarkan serangan udara ke atas tiga fasiliti nuklear penting Iran — Fordow, Natanz dan Isfahan — sebagai sebahagian daripada Operasi Midnight Hammer dalam perang singkat Iran-Israel.
Selain daripada amaran ketenteraan, Trump juga berkata dia sedang meneroka cara untuk memulihkan akses internet di Iran dan merancang untunk berbincang dengan Elon Musk mengenai isu ini.
Sumber: Al Jazeera, TRT Afrika