Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Lebih 900,000 orang awam yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza berisiko dilanda banjir susulan cuaca buruk yang dijangka melanda wilayah itu. Amaran pihak berkuasa perbandaran pada Khamis menyatakan, ancaman tersebut berlaku ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing dan kemusnahan besar akibat serangan rejim Israel yang kini memasuki tahun kedua.


Menurut Jurucakap Majlis Perbandaran Khan Yunis, Saeb Lakkan ketika ditemui Anadolu, ribut yang bakal melanda itu membawa ancaman serius kerana berpotensi menenggelamkan ribuan khemah di kawasan pesisir pantai serta menjejaskan sebahagian besar bandar. Beliau turut menyatakan bahawa sistem kumbahan yang rosak dan kolam takungan air hujan yang sudah mencapai kapasiti maksimum meningkatkan lagi risiko terhadap keselamatan penduduk.


Jabatan Meteorologi Palestin turut memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat pada Jumaat dan Sabtu di kawasan lembah serta kawasan-kawasan rendah.


Lakkan berkata, pihak berkuasa perbandaran kini menghadapi situasi bencana yang belum pernah berlaku, dengan lebih 900,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal hidup dalam kesusahan selepas lebih 85% rangkaian jalan, paip air dan sistem kumbahan musnah. Beliau menambah, bandar itu tidak mampu mengurus hampir 15 juta tan runtuhan hasil serangan udara Israel.


“Serangan Israel memusnahkan kira-kira 210,000 meter jalan, 300,000 meter saluran paip air dan 120,000 meter saluran pembetungan, menjadikan bandar ini hampir lumpuh sepenuhnya,” katanya.


Beliau turut memberi amaran bahawa stesen kumbahan mungkin terpaksa dihentikan operasi sepenuhnya akibat kekurangan bahan bakar, yang boleh menyebabkan limpahan kumbahan berskala besar dan menenggelamkan seluruh kawasan kejiranan.


Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, pihak perbandaran hanya menerima 16,000 liter diesel, yang hanya cukup untuk operasi selama tiga hari. Sementara pasukan teknikal terpaksa bekerja keras dengan peralatan asas untuk membina benteng tanah serta mengalihkan laluan air dari lembah bagi melindungi khemah dan kawasan rendah.


Lakkan menambah bahawa 1,900 daripada 2,200 saliran air hujan di bandar itu telah musnah sepenuhnya, meskipun sebuah projek kecemasan yang disokong organisasi berkaitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sedang membersihkan saluran yang masih boleh digunakan.


Beliau berkata majlis perbandaran amat memerlukan pam mudah alih dan peralatan kecemasan tambahan bagi mengelakkan banjir besar apabila ribut dijangka melanda. Lakkan turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera bagi menyelamatkan dua juta orang yang kehilangan tempat tinggal di sana yang berdepan risiko banjir dan kematian di sepanjang pantai Gaza.


Terdahulu pada Khamis, agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan bahawa lebih 282,000 buah rumah di Gaza telah musnah atau sekurang-kurangnya terjejas sepanjang perang rejim Israel, memaksa puluhan ribu keluarga tinggal di khemah menjelang musim sejuk.


Pada akhir September, Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan bahawa 93% khemah penempatan di wilayah itu telah runtuh dan tidak lagi sesuai didiami.



Sumber: Anadolu Agency

Written by
Admin
Published on
November 14, 2025