38 Keputusan yang Dicapai oleh Sidang Kemuncak Arab-Islam 2024
Persidangan tersebut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan Zionis ke atas penduduk Palestin. Mereka turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membentuk jawatankuasa penyiasatan antarabangsa yang bebas dan boleh dipercayai bagi menyiasat jenayah ini, serta mengambil langkah serius untuk menghalang pemansuhan bukti yang bertujuan menahan penjenayah bertanggungjawab dan memastikan mereka tidak terlepas daripada hukuman. Berikut merupakan keputusan yang dicapai melalui Sidang Kemuncak Arab-Islam 2024:
1. Mengesahkan resolusi yang dikeluarkan oleh Sidang Kemuncak Pertama di Riyadh pada November 2023; memperbaharui penentangan tegas terhadap serangan ganas Israel di Gaza dan Lubnan, serta berusaha menghentikan kesan kemanusiaan yang dahsyat terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang awam yang tidak bersenjata. Selain itu, meneruskan tindakan bersama masyarakat antarabangsa bagi menghentikan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel, serta ancaman Israel terhadap keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa. Seterusnya, mengesahkan kembali resolusi Sidang Kemuncak Arab ke-33 yang diadakan di Bahrain pada Mei 2024 dan Sidang Kemuncak Islam ke-15 yang diadakan di Republik Gambia pada Mei 2024.
2. Memberi amaran tentang bahaya peningkatan konflik yang melanda rantau ini serta kesan-kesan serantau dan antarabangsa; peluasan serangan yang telah berlangsung lebih setahun di Gaza dan kini turut merangkumi Lubnan, serta amaran terhadap pelanggaran kedaulatan Republik Iraq, Republik Arab Syria, dan Republik Islam Iran tanpa perhatian daripada masyarakat antarabangsa.
3. Menegaskan perlunya pelaksanaan semua resolusi berkaitan yang dikeluarkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA):- Resolusi No. A/RES/ES-10/22- Resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan - Keperluan Majlis Keselamatan mengeluarkan resolusi yang mengikat di bawah Bab VII Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)- Resolusi Majlis Keselamatan 2735 (2024), 2728 (2024), 2720 (2023) dan 2712 (2023)- Resolusi No. 2728- Resolusi yang menegaskan tanggungjawab tetap PBB terhadap isu Palestin sehingga ia diselesaikan dalam semua aspek- Menyeru Majlis Keselamatan untuk menindak lanjuti konsensus antarabangsa yang dinyatakan dalam Resolusi UNGA bertarikh 10 Mei 2024- Melaksanakan resolusi yang memberi keanggotan penuh negara Palestin di dalam PBB.
4. Menegaskan sokongan dan menyatakan penghargaan atas usaha berterusan yang dilakukan oleh Mesir dan Qatar dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) dalam mencapai gencatan senjata segera dan kekal di Gaza; serta pembebasan tebusan dan tahanan. Menekan Israel untuk bertanggungjawab atas kegagalan usaha-usaha tersebut akibat tindakannya yang menarik diri daripada perjanjian yang telah dicapai.
5. Menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan sepenuhnya pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 19 Julai 2024 ke arah menamatkan penjajahan Israel, menghapuskan kesannya dan membayar pampasan terhadap kerosakan yang ditimbulkan olehnya secepat yang mungkin.
6. Mengecam jenayah kehilangan paksa yang dilakukan oleh tentera Israel sejak serangan bermula terhadap ribuan warga Palestin di Semenanjung Gaza dan seluruh wilayah Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Begitu juga mengecam jenayah penyalahgunaan, penindasan, penyeksaan dan layanan hina yang mereka hadapi. Menyeru negara-negara anggota PBB untuk bertindak di semua peringkat bagi mendedahkan nasib mereka yang diculik, berusaha untuk membebaskan mereka dengan segera, memastikan perlindungan mereka, serta menuntut siasatan bebas dan telus terhadap jenayah ini.
7. Mengecam sekeras-kerasnya pendedahan jenayah mengerikan yang dilakukan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza, termasuk kubur besar, penyeksaan, hukuman mati di tempat peperangan, kehilangan paksa, rompakan dan pembersihan etnik, terutamanya di wilayah utara Gaza beberapa minggu lalu. Menyeru Majlis Keselamatan untuk membentuk jawatankuasa penyiasatan antarabangsa yang bebas dan boleh dipercayai bagi menyiasat jenayah-jenayah ini, serta mengambil langkah serius untuk menghalang pemusnahan bukti, memastikan para pelaku bertanggungjawab dan tidak terlepas daripada hukuman.
8. Mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel yang berterusan dan berlarutan terhadap Lubnan serta pelanggaran terhadap kedaulatannya dan kesucian wilayahnya, menyeru kepada gencatan senjata segera, termasuk pelaksanaan penuh Resolusi Majlis Keselamatan PBB No. 1701 (2006) dan menegaskan solidariti dengan Lubnan dalam menghadapi serangan ini. Mengecam sekeras-kerasnya target yang dirancang terhadap tentera Lubnan dan pusat-pusatnya hingga mengakibatkan ramai syahid dan cedera. Begitu juga mengecam pembunuhan orang awam, pemusnahan terancang kawasan kediaman, kehilangan paksa individu, serta serangan terhadap Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL); menegaskan sokongan terhadap institusi perlembagaan Lubnan dalam melaksanakan kuasa mereka dan memperluaskan kedaulatan negara Lubnan ke seluruh wilayahnya. Dalam hal ini, menegaskan sokongan kepada Angkatan Bersenjata Lubnan sebagai penjamin perpaduan dan kestabilan Lubnan; dan menekankan kepentingan mempercepatkan pemilihan Presiden Lubnan dan pembentukan kerajaan berdasarkan peruntukan perlembagaan Lubnan dan pelaksanaan Perjanjian Taif.
9. Mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dirancang oleh tentera Israel terhadap Pasukan Pengaman PBB di Lubnan yang jelas melanggar Piagam PBB dan menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya Israel bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keamanan pasukan pengaman PBB yang beroperasi di bawah bendera UNIFIL.
10. Menolak pemindahan paksa warga Palestin di dalam mahupun di luar tanah mereka. Ini merupakan jenayah perang dan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa yang perlu kita tangani bersama.
11. Mengecam dasar hukuman kolektif yang dilakukan oleh Israel seperti mengenakan kepungan dan kebuluran sebagai senjata terhadap orang awam di Semenanjung Gaza. Menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah praktikal segera bagi menamatkan bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh serangan ini, termasuk memaksa Israel menarik diri sepenuhnya dari Semenanjung Gaza dan membuka semua lintasan antara Israel dan Gaza. Memansuhkan semua sekatan dan halangan kepada akses kemanusiaan yang selamat, cepat dan tanpa syarat ke Gaza sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan. Dalam konteks yang sama, menyeru pengunduran segera tentera penjajah Israel dari lintasan Rafah dan Koridor Philadelphia, serta mengembalikan hak Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam pengurusan Lintasan Rafah dan menyambung semula pelaksanaan Perjanjian Pergerakan dan Akses 2005.
12. Menegaskan keperluan untuk menggabungkan usaha bagi melaksanakan hasil Persidangan Tindak Balas Kemanusiaan Kecemasan di Gaza yang dianjurkan oleh Kerajaan Hashemite Jordan bersama Mesir dan PBB pada 11 Jun 2024, serta menggerakkan sokongan yang diperlukan bagi persidangan kemanusiaan yang akan dihoskan oleh Kaherah pada 2 Disember 2024 dalam konteks bersedia memberikan sokongan kemanusiaan yang mencukupi kepada Gaza.
13. Menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan berkesan bagi memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, mengecam sikap dwi-standard dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; memberi amaran bahawa sikap dwi-standard ini secara serius merosakkan kredibiliti negara-negara yang melindungi Israel dan meletakkannya di atas akauntabiliti bersama dengan kredibiliti tindakan pelbagai hala, serta mendedahkan sifat memilih dalam pelaksanaan sistem nilai kemanusiaan.
14. Menyambut baik resolusi A/RES/ES-10/24 (dikeluarkan oleh UNGA pada 18 September 2024) yang mengesahkan hasil pendapat penasihat undang-undang ICJ mengenai pendudukan haram di Palestin.
15. Menyeru semua negara di dunia bersama-sama badan perundangan mereka, serta semua institusi dan organisasi antarabangsa untuk mematuhi resolusi antarabangsa mengenai bandar Al-Quds dan status undang-undang, begitu juga sejarahnya yang tidak terpisah dari Palestin sejak ia dijajah pada tahun 1967.
16. Mengecam sekeras-kerasnya tindakan agresif Israel yang menyasarkan tapak suci Islam dan Kristian di bandar Al-Quds serta mengubah identiti Arab, Islam dan Kristian di kota tersebut; menyeru masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel agar menghentikan tindakan tersebut dan memberi amaran terhadap pencerobohan berterusan ke atas Masjid al-Aqsa yang diberkati, termasuk merosakkan kebebasan beribadah di masjid tersebut, menghalang jemaah daripada memasukinya, begitu juga mencemarkan, menyerbu, merosakkan dan mengotori bahagian dalamnya oleh kumpulan peneroka Israel; mengecam juga percubaan untuk mengubah status undang-undang dan sejarah Masjid al-Aqsa yang diberkati dengan membahagikan masa dan ruang. Menekankan bahawa keseluruhan kawasan Masjid al-Aqsa yang berkeluasan 144 ribu meter persegi adalah tempat ibadat eksklusif untuk umat Islam. Menegaskan bahawa Pentadbiran Waqaf Al-Quds dan Urusan Masjid Al-Aqsa yang bernaung di bawah Kementerian Waqaf Jordan adalah satu-satunya pihak berkuasa yang sah, mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan Masjid Al-Aqsa yang diberkati,termasuk penyelenggaraannya dan kawalan keluar masuk - berdasarkan kerangka pemeliharaan sejarah oleh Kerajaan Hashemite ke atas tapak suci Islam dan Kristian di Al-Quds yang diduduki.
17. Menyeru Majlis Keselamatan untuk menerima pakai resolusi yang mewajibkan Israel menghentikan dasar-dasar haram yang mengancam keamanan dan keselamatan di rantau ini dan melaksanakan resolusi PBB yang berkaitan dengan Kota Suci Al-Quds Al-Sharif. Mengecam sebarang pengiktirafan terhadap Al-Quds sebagai ibu kota yang didakwa Israel sebagai langkah haram dan tidak bertanggungjawab — merupakan serangan terhadap hak sejarah, undang-undang dan nasional rakyat Palestin dan umat Islam. Menganggap sebarang langkah yang bertujuan mengubah status undang-undang Kota Suci Al-Quds Al-Sharif sebagai langkah haram dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB yang berkaitan. Ia perlu dibatalkan dan ditarik balik segera. Menyeru mana-mana negara yang telah mengambil langkah yang menjejaskan status undang-undang dan sejarah di Kota Al-Quds untuk membalikkan langkah-langkah haram tersebut, serta menekankan keperluan untuk bertindak bagi memastikan penduduk Al-Quds kekal di tanah mereka, termasuk melalui sokongan kepada Jawatankuasa Al-Quds dan cabang eksekutifnya, Agensi Bayt Mal Al-Quds Al-Sharif.
18. Memulakan usaha untuk menggerakkan sokongan antarabangsa bagi menggantung penyertaan Israel dalam UNGA dan semua entiti yang berkaitan dengannya sebagai persediaan untuk mengemukakan draf resolusi bersama kepada UNGA berdasarkan pelanggarannya terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; ancamannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta kegagalannya memenuhi keanggotaan dalam PBB dan berdasarkan pendapat penasihat yang dikeluarkan oleh ICJ pada 19 Julai 2024.
19. Menyeru semua negara untuk melarang eksport atau pemindahan senjata dan peluru kepada Israel, menggesa negara-negara untuk menyertai inisiatif yang dicadangkan oleh Republik Turki dan kumpulan teras yang terdiri daripada 18 buah negara dan yang telah ditandatangani oleh 52 buah negara, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam dan Liga Negara Arab. Mengirim surat bersama kepada Majlis Keselamatan PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB dan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan pemberian senjata kepada Israel, serta menggalakkan semua negara untuk menandatanganinya.
20. Menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk segera mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai awam dan tentera Israel atas jenayah yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah tersebut terhadap rakyat Palestin.
21. Menyeru Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil keputusan yang diperlukan, termasuk mengenakan sekatan bagi menghentikan langkah-langkah haram Israel yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki; yang merosakkan penyelesaian dua negara dan menjejaskan segala peluang untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh di rantau ini. Menjenayahkan dasar-dasar tersebut, mengecam dasar penjajahan yang dilaksanakan oleh kuasa penjajah untuk mengilhakan mana-mana bahagian wilayah Palestin yang diduduki secara paksa dengan tujuan memperluaskan kolonialisme penempatan haram dan menganggap ini sebagai serangan terang-terangan dan sistematik terhadap hak sejarah dan undang-undang rakyat Palestin serta pelanggaran nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, prinsip undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan.
22. Mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka yang semakin meningkat secara terancang dengan sokongan dan persenjataan kerajaan pendudukan Israel serta perlindungan tenteranya, termasuk menyeru untuk:- Penjajah bertanggungjawab di atas jenayah yang mereka lakukan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka.- Mengklasifikasikan penjajah Israel dan gerakan peneroka Yahudi sebagai kumpulan dan organisasi pengganas, termasuk dalam senarai keganasan di peringkat nasional dan antarabangsa; berusaha di semua peringkat, termasuk di PBB, terutamanya Majlis Keselamatan untuk menuntut pemimpin Israel dan penjajah bertanggungjawab di atas jenayah yang mereka lakukan.- Memboikot produk dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki serta syarikat-syarikat yang beroperasi di sana, termasuk juga yang tersenarai dalam pangkalan data yang diterbitkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia pada 30 Jun 2023; membentuk Senarai Malu yang mengandungi nama syarikat-syarikat tersebut kerana mereka menyokong pendudukan dan berusaha untuk mengekalkannya.- Menyeru semua negara di dunia, termasuk negara anggota untuk melarang kemasukan penjajah ke wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Al-Quds Timur atas apa-apa tujuan sekalipun; mewujudkan mekanisme serta langkah khas untuk memeriksa dokumen pengenalan bagi mengesahkan tempat tinggal mereka dengan kerjasama Palestin memandangkan mereka terlibat dalam permusuhan pengganas terhadap rakyat Palestin, harta benda dan tanah mereka.- Menyeru Sekretariat Agung Liga Negara Arab dan Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam, dengan kerjasama Negara Palestin untuk menyediakan senarai nama kumpulan ini dan mengedarkannya kepada negara anggota.
23. Menyeru pihak antarabangsa yang aktif untuk melancarkan pelan dengan langkah-langkah khusus dan jadual waktu di bawah naungan antarabangsa bagi menamatkan pendudukan dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di garis sempadan 4 Jun 1967 dengan Al-Quds yang diduduki sebagai ibu kotanya berdasarkan penyelesaian dua negara serta mengikut rujukan yang telah diluluskan dan Inisiatif Damai Arab 2002.
24. Menekankan bahawa keamanan yang adil dan menyeluruh di rantau ini dan yang menjamin keselamatan dan kestabilan untuk semua negara di dalamnya tidak dapat dicapai tanpa menamatkan pendudukan Israel di semua wilayah Arab yang diduduki sehingga garis 4 Jun 1967, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dan semua komponen Inisiatif Damai Arab 2002.
25. Memuji negara-negara yang telah mengiktiraf Palestin, menyeru negara-negara lain untuk mengambil langkah yang sama; mengalu-alukan “Perikatan Antarabangsa untuk Melaksanakan Penyelesaian Dua Negara” yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Menteri Bersama Arab-Islam — diketuai oleh Kerajaan Arab Saudi — dengan kerjasama negara-negara Arab dan Islam, Kesatuan Eropah, serta Kerajaan Norway pada September 2024 di New York City mengikut keputusan mesyuarat pertamanya di Riyadh yang menekankan kepentingan untuk menyokongnya dan menyeru semua negara yang mencintai keamanan untuk menyertai perikatan ini.
26. Mengusahakan sokongan antarabangsa untuk Palestin menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ahli penuh; menyokong usaha yang berterusan Republik Demokratik Rakyat Algeria sebagai ahli kedua-dua organisasi dalam Majlis Keselamatan; mengemukakan draf resolusi yang menyokong dan menerima keahlian Palestin bersama-sama sokongan terhadap perjuangan serta perpaduan masyarakat Palestin.
27. Mengecam semua tindakan dan kenyataan yang berbaur kebencian dan perkauman ekstremis oleh menteri Israel dan menuntut masyarakat antarabangsa untuk mempertanggungjawabkan mereka berdasarkan undang-undang antarabangsa.
28. Mengutuk serangan berterusan rejim penjajahan Israel dan wakil mereka di PBB dan Setiausaha Agung PBB; serta mengutuk sekatan terhadap usaha mekanisme dan organisasi antarabangsa termasuk UNSR, COI dan anggota Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) yang telah dihalang daripada memasuki wilayah Palestin dan Misi Kehadiran Antarabangsa di al-Khalil yang ditamatkan kerana ia jelas melanggar tuntutannya sebagai kuasa penjajah dan resolusi PBB yang berkaitan; mematuhi apa sahaja yang dicadangkan di dalam laporan Setiausaha Agung PBB dalam hal ini.
29. Mengutuk pelaksanaan dan pengesahan undang-undang haram dan perkauman Knesset, termasuk undang-undang yang membatalkan imuniti pekerja UNRWA dan menghalang mereka daripada bekerja di wilayah Palestin yang terjajah, serta memutuskan hubungan mereka dengan UNRWA; mengutuk keputusan yang mrnolak penubuhan Palestin sebagai negara berdaulat. Turut menegaskan bahawa undang-undang dan keputusan tersebut adalah batal, tidak sah dan menyalahi undang-undang; menyeru anggota PBB untuk mengenakan sekatan ke atas Israel dan memaksa mereka untuk mematuhi undang-undang dan resolusi antarabangsa yang sah, termasuk memberi sokongan politik dan kewangan yang mampan kepada PBB.
30. Seruan untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan politik, diplomatik dan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin dan negara itu demi mencapai perpaduan nasional Palestin dengan rasa tanggungjawab yang berkesan ke atas semua wilayah Palestin yang terjajah, termasuk Semenanjung Gaza — menyatukannya dengan Tebing Barat — dan Baitul Maqdis; menyokong Palestin dari segi ekonomi dengan menyokong usahanya dalam program bantuan kemanusiaan, pemulihan ekonomi dan pembinaan semula Semenanjung Gaza; menekankan kepentingan dalam menyokong bajet Palestin dengan mengaktifkan jaringan keselamatan kewangan yang telus mengikut rangka yang dipersetujui; menggesa pihak antarabangsa mewajibkan Israel untuk melepaskan hasil cukai Palestin yang ditahan dengan serta-merta dan secara menyeluruh.
31. Menyokong usaha berterusan yang dilakukan oleh Mesir demi mencapai perpaduan Palestin dan membolehkan kerajaan negara itu melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya kepada rakyat Palestin, termasuk melalui pembentukan pelbagai mekanisme dan agensi; begitu juga bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa sokongan masyarakat berdasarkan perintah Presiden Palestin mengikut kerangka perpaduan politik dan geografi tanah Palestin (4 Jun 1967); menegaskan semula bahawa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah satu-satunya wakil rakyat Palestin yang sah.
32. Menyeru agar bantuan kemanusian berterusan dan sokongan ekonomi kepada kerajaan Lubnan yang berdepan dengan kesan pencerobohan Israel, termasuk krisis penduduk yang kehilangan tempat tinggal sehingga mereka boleh kembali ke wilayah asal dan meneruskan kehidupan.
33. Mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam rejim Israel di wilayah Syria yang menyasarkan orang awam, bangunan dan infrastruktur awam, termasuk melanggar kedaulatannya; menekankan keperluan Israel untuk menamatkan penjajahannya di Bukit Golan.
34. Melantik Jawatankuasa Menteri Bersama Arab Islam yang diketuai oleh Arab Saudi dan dibentuk selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak Bersama Arab-Islam Pertama (11 November 2023) bagi tujuan meneruskan tugasnya dan menggiatkan usaha menamatkan pencerobohan Israel di Lubnan. Jawatankuasa ini perlu mengemukakan laporan berkala yang mana kedua-dua urusetia hendaklah menyerahkannya kepada Negara Anggota.
35. Memberi mandat kepada Jawatankuasa Menteri untuk melibatkan aktor Global Selatan yang lain dalam usaha mengukuhkan sokongan antarabangsa ke arah penamatan perang dan penjajahan Israel.
36. Menekankan keperluan untuk melindungan pelayaran di laluan laut selaras dengan undang-undang antarabangsa.
37. Mengalu-alukan perjanjian mekanisme tiga pihak bagi menyokong perjuangan Palestin oleh Liga Negara Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Kesatuan Afrika di Riyadh; memuji pendirian tegas Kestuan Afrika terhadap perjuangan Palestin.
38. Mempertanggungjawabkan Setiausaha Agung Liga Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam untuk menyelaraskan tindakan susulan terhadap pelaksanaan segala yang telah dinyatakan di dalam resolusi ini dan penyerahan laporan berkala kepada para pemimpin yang terlibat.