Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut Sindiket Editor Akhbar Lubnan, sekurang-kurangnya 27 wartawan telah terbunuh dalam serangan Zionis di Lubnan sejak 2 Mac yang lalu selain ramai lagi yang cedera.

Dalam satu kenyataan, sindiket itu mengecam tindakan pihak penjajah yang menyasarkan sekumpulan wartawan di bandar selatan Tayri pada Rabu, di mana seorang wartawan wanita, Amal Khalil terbunuh manakala rakan sekerjanya, Zeinab Faraj cedera.

Sindiket itu menyatakan bahawa Khalil sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh daripada tentera Zionis.

“Dengan pembunuhannya, jumlah wartawan dan pekerja media yang terbunuh kini meningkat kepada 27 orang, selain sejumlah besar lagi mangsa yang cedera,” menurut kenyataan tersebut.

Sindiket itu menggesa Persekutuan Wartawan Arab untuk bekerjasama dengan kesatuan media antarabangsa dan Arab bagi menyokong wartawan Lubnan dalam menghadapi serangan yang disengajakan oleh pihak penjajah.

Ia juga menggesa wartawan yang bertugas di lapangan di Lubnan supaya lebih berhati-hati, mengelakkan kawasan berisiko tinggi serta berkoordinasi dengan tentera Lubnan dan pasukan keselamatan rasmi lain di kawasan yang terdedah kepada serangan Zionis, termasuk Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Lubnan dan pasukan bantuan tempatan bagi mengelakkan sebarang risiko maut yang tidak dijangka.

Sindiket itu menyatakan bahawa tindakan pihak penjajah terhadap orang awam Lubnan, khususnya wartawan telah melampaui semua batas dan menggesa kerajaan Lubnan mengambil tindakan segera di peringkat antarabangsa serta memfailkan kes undang-undang terhadap pihak penjajah.

Semasa serangan pada hari Rabu, tentera Zionis menghalang pasukan Palang Merah dan tentera Lubnan daripada sampai kepada dua wartawan tersebut serta menyasarkan jalan yang menghubungkan Tayri dan Haddatha bagi menghalang pasukan penyelamat, menurut agensi berita rasmi kebangsaan Lubnan (NNA).

Sejak 2 Mac, serangan Zionis ke atas Lubnan telah mengorbankan 2,475 orang, mencederakan 7,696 orang dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi.Gencatan senjata selama 10 hari yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 16 April dijangka tamat pada hari Ahad dan telah dilanggar setiap hari oleh pihak penjajah.


Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
April 24, 2026