
Seramai 21 orang rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal selepas tentera haram Israel merobohkan rumah keluarga mereka di bandar Jiyus, utara Qalqilya, Tebing Barat.
Kumpulan hak Bedouin, Al-Baydar memaklumkan bahawa rumah berkeluasan 160 meter persegi itu dirobohkan atas alasan tidak memiliki permit pembinaan.
Kerajaan haram Israel melarang pembinaan atau penambakan tanah di Kawasan C Tebing Barat tanpa permit yang menurut rakyat Palestin hampir mustahil untuk diperoleh.
Menurut sebuah suruhanjaya berkaitan, rejim haram Israel melaksanakan sebanyak 59 operasi perobohan pada Januari, menyasarkan 126 struktur milik rakyat Palestin termasuk 77 rumah berpenghuni. Ia turut melaporkan 40 lagi notis perobohan, kebanyakannya tertumpu di bandar al-Khalil (Hebron).
Tentera haram Israel telah meningkatkan operasi di Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur sejak melancarkan operasi ketenteraan di Gaza pada 8 Oktober 2023. Rakyat Palestin melihat peningkatan ini termasuk pembunuhan, penangkapan, pemindahan paksa dan perluasan penempatan sebagai langkah ke arah pengilhakan rasmi wilayah tersebut.
Sekurang-kurangnya 1,112 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, kira-kira 11,500 cedera, manakala lebih 21,000 ditahan dalam tempoh itu.
Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menggesa pengosongan semua penempatan di Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur.
Sumber: Anadolu Ajansi