
Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh dalam satu serangan tembakan semasa acara perayaan Yahudi, Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney. Pihak berkuasa menyifatkan serangan tersebut sebagai serangan anti-semitik yang disasarkan. Insiden ini juga merupakan keganasan senjata api terburuk di Australia dalam tempoh hampir 30 tahun.
Polis memaklumkan bahawa dua penyerang yang didakwa terlibat ialah seorang bapa dan anak lelakinya. Bapa berusia 50 tahun maut di lokasi kejadian, manakala anak lelakinya, 24 tahun, kini kritikal dan dirawat di hospital. Mangsa serangan berusia antara 10 hingga 87 tahun; 40 lagi cedera, termasuk dua anggota polis yang kini berada dalam keadaan serius tetapi stabil.
Saksi berkata serangan di pantai yang sesak pada malam itu berlangsung kira-kira 10 minit, menyebabkan ratusan orang bertempiaran lari di sepanjang pantai dan ke kawasan sekitarnya. Polis mengesahkan kira-kira 1,000 orang menghadiri acara Hanukkah yang diadakan di sebuah taman kecil berhampiran pantai.
Dalam kekecohan itu, seorang orang awam telah berjaya menjatuhkan senjata salah seorang penyerang, satu tindakan berani yang dipercayai telah menyelamatkan banyak nyawa.
Lelaki tersebut dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Ahmed al Ahmed, seorang pemilik kedai buah-buahan berusia 43 tahun dari Sydney. Seorang saksi memberitahu media tempatan bahawa Ahmed ditembak dua kali dan telah menjalani pembedahan. Satu tabung derma untuk beliau telah berjaya mengumpul lebih A$350,000 menjelang Isnin petang.
Polis tidak mendedahkan nama penyerang atau status kewarganegaraan mereka, namun mengesahkan bahawa si bapa memiliki lesen senjata api sejak 2015 dan mempunyai enam senjata berlesen. Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan penyerang menggunakan senjata jenis rifle bolt-action dan senapang patah. Siasatan masih dijalankan dan terbaharu, ada kemungkinan penglibatan penyerang ketiga.
Sumber: Reuters, Al Jazeera