Gerakan mujahidin Palestin, HAMAS, pada Rabu mengesahkan bahawa mereka bersetuju untuk membebaskan 10 tahanan Israel sebagai sebahagian daripada usaha mencapai perjanjian gencatan senjata di semenanjung Gaza.
Menurut pegawai kanan HAMAS, Taher Al-Nounou dalam kenyataan media di Doha, keputusan itu dibuat bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan berjalan lancar dan demi menghentikan perang yang berlarutan ke atas Gaza. Beliau menyatakan bahawa HAMAS telah menunjukkan tahap fleksibiliti yang tinggi dalam rundingan terkini, termasuk memberi maklum balas positif kepada para perantara.
"Keputusan untuk membebaskan tahanan ini dibuat atas pertimbangan kemanusiaan dan politik, selaras dengan komitmen kami untuk melindungi kepentingan rakyat Palestin serta menamatkan jenayah genosid yang sedang berlaku," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, HAMAS turut menegaskan bahawa rundingan masih tertumpu pada beberapa isu utama, termasuk pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, jaminan antarabangsa bagi gencatan senjata kekal, serta kemasukan bantuan kemanusiaan secara selamat dan lancar ke wilayah tersebut.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya semakin hampir kepada perjanjian gencatan senjata sambil menambah bahawa beliau berharap satu penyelesaian dapat dicapai dalam minggu ini atau minggu hadapan.
Sementara itu, menurut siaran Israel, Saluran 7, mantan Ketua Staf Tentera Pertahanan Israel (IDF), Gadi Eisenkot menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu agar meninggalkan sikap keras kepala dan segera membuat keputusan untuk membawa pulang tebusan. Pada masa yang sama, Eisenkot juga menggesa Netanyahu untuk mempercepatkan gencatan senjata kekal di Gaza.
Rundingan antara delegasi HAMAS dan Israel masih diteruskan di Doha dalam usaha menamatkan perang Israel ke atas Gaza yang telah meragut lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor