All Articles

Yasir Abu Shabab, Pengkhianat Umat!

Written by
Lia Maryam
Published on
July 3, 2025

Mutakhir ini, nama Yasir Abu Shabab mulai tular di laman media sosial berhubung berita-berita terkini di Gaza. Khususnya berita mengenai kekecohan yang berlaku di tapak-tapak agihan bantuan kemanusiaan di bawah pantauan Amerika Syarikat dan Israel. Hal ini berpunca daripada serangan dan rompakan yang dilakukan oleh rakyat Gaza sendiri terhadap warga penduduk tempatan yang berkumpul ketika menunggu untuk mendapatkan bantuan makanan seperti gandum.

Pada 30 Mei 2025 lalu, Briged al-Qassam telah memuatnaik sebuah rakaman memperlihatkan sekumpulan lelaki bertopi lengkap bersenjata. Rakaman tersebut dimuatnaik dengan kapsyen bahawa kumpulan ini menjadi sasaran serangan Briged al-Qassam, yang menggelarkan mereka sebagai “al-Musta’ribin” di timur bandar Rafah, semenanjung Gaza. 

Rakaman video tersebut menunjukkan pergerakan kumpulan tersebut berhampiran sempadan timur Gaza, sebelum mereka bertindak menceroboh masuk ke dalam beberapa buah rumah milik penduduk tempatan. Akhirnya, kumpulan mujahidin al-Qassam melancarkan serangan dengan meletupkan sebuah rumah yang telah sedia dipasang bahan letupan oleh mereka. Serangan itu telah mengakibatkan kematian dan kecederaan beberapa anggotanya.

Pun begitu, siapakah sebenarnya gerangan pemilik nama Yasir Abu Shabab ini?

Yasir Abu Shabab merupakan seorang warga Palestin yang dilahirkan pada Februari 1990 di bandar Rafah, selatan semenanjung Gaza. Beliau berasal daripada keluarga terhormat yang berakar umbi dalam kabilah al-Tarabīn, salah sebuah kabilah Arab paling terkenal di selatan Palestin, dengan nasab yang dikaitkan kepada suku Quraisy. Kabilah ini telah menetap di wilayah Palestin, Mesir dan Jordan sejak zaman pembukaan Islam, dan kini ramai ahlinya menetap di Gaza.

Sebelum tercetusnya Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh mujahidin al-Qassam ke atas penempatan haram Israel di sempadan Gaza pada pagi 7 Oktober 2023, Yasir Abu Shabab sedang menjalani hukuman di penjara di bawah pengawasan pihak keselamatan Gaza atas pelbagai tuduhan jenayah. Namun, ketika rejim Israel melancarkan serangan balas yang turut menyasarkan ibu pejabat keselamatan, Yasir dikatakan telah berjaya meloloskan diri dan sejak itu, mula memainkan peranan yang jauh lebih berbahaya di dalam bumi Gaza. 

Yasir kini mengetuai kumpulan bersenjata yang digelar al-Quwwatu al-Sya’biyyah (القوات الشعبية) yang terdiri daripada sekitar 100-300 tentera upahan, di mana sebahagian besarnya adalah pegawai dan anggota keselamatan dari Pihak Berkuasa Palestin (PA). Mereka dikatakan beroperasi hanya beberapa puluh meter sahaja daripada kedudukan tentera penjajah Israel. Mereka dibayar oleh tentera rejim untuk menyerang dan merampas bantuan kemanusiaan yang masuk ke timur Rafah, terutama di sepanjang laluan bantuan dari pintu masuk Karem Abu Salem, yang dikawal oleh rejim penjajah. Sementara itu, satu lagi unit di bawah pengaruhnya turut beroperasi di sebelah barat Rafah, berhampiran pusat pengagihan bantuan yang diwujudkan menerusi pelan “mekanisme bantuan kemanusiaan AS-Israel”.

Menurut sebuah kenyataan, mereka digelar sebagai Tentera Lahad moden kerana menyerupai pasukan upahan pro-Israel di Lubnan suatu ketika dahulu, yang bersembunyi di sebalik benteng pasir dan bersenjatakan senapang Kalashnikov (AK-47) dan senjata yang dibekalkan oleh tentera rejim Israel. Mereka muncul seolah-olah menjadi pelindung bantuan, sedangkan tujuan sebenar mereka adalah untuk menguasai agihan bantuan sebagai langkah awal pelan pemindahan penduduk Gaza secara paksa. Mereka direkrut oleh rejim Israel untuk menjadi mata-mata termasuklah memantau kawasan sempadan, mengintip pergerakan kumpulan mujahidin dan merampas bantuan kemanusiaan. 

Dalam satu wawancara bersama Radio Tentera Israel, Yasir mengakui secara terbuka bahawa dia menjalankan koordinasi secara langsung dengan pihak tentera penjajah dan agensi perisikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam operasi yang disebutnya sebagai projek keselamatan lapangan. Dia juga menyatakan bahawa unit perisikan PA telah membantu menyaring rakyat Palestin yang mahu masuk ke kawasan yang dikuasainya di timur Rafah, yang didakwanya sebagai kawasan yang bebas daripada pengaruh HAMAS. 

Pada Jumaat malam, 30 Mei 2025, keluarga besar Abu Shabab telah mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi menafikan hubung kaitannya Abu Shabab dengan keluarga tersebut. Setelah terbukti penglibatannya dan kegiatan jenayah yang dilakukan, dia bukan sahaja tidak diterima oleh masyarakat setempat bahkan turut dibuang keluarga. Mereka juga menyatakan bahawa mereka berlepas diri sepenuhnya daripada segala jenayah yang dilakukan Yasir bersama kumpulan militianya. Malah, ahli keluarganya turut menyeru agar dia dibawa ke muka pengadilan. 

Nama Yasir Abu Shabab turut disebut dalam satu memo dalaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Washington Post. Memo tersebut secara jelas menyatakan bahawa dia telah mengetuai entiti utama yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan kegiatan rompakan berskala besar dan sistematik terhadap bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza setakat ini. 

Sebagai kesimpulan, usaha penentangan yang dilakukan oleh para pejuang dan kumpulan mujahidin di Gaza pada hari ini tidak hanya menentang pihak musuh yang jelas kebatilannya — rejim Israel. Malahan mereka juga terpaksa menentang rakyat sebangsa seagama sendiri yang telah berlaku khianat; memilih dunia berbanding kemuliaan memperjuangkan tanah air dan pembebasan Baitul Maqdis. Tetapi tidak hairanlah, kerana dalam lipatan sejarah, golongan api dalam sekam ini pasti akan selalu wujud, yang pada awalnya muncul atas nama keadilan, namun akhirnya dikalahkan dengan habuan dunia.