All Articles

Venezuela di Persimpangan Kuasa: Geopolitik, Minyak dan Usaha Mematahkan Multipolariti

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
January 12, 2026

Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan mengejut terhadap kerajaan Venezuela yang sedia ada, selepas Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan beberapa amaran kepada Pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro agar melepaskan tampuk kuasanya dan meninggalkan Venezuela. Alasannya kerana Venezuela didakwa mengancam keselamatan AS melalui isu migran dan isu dadah, yang menurut Presiden AS, rakyat dari negara itu telah membanjiri negaranya.

Pasukan Keselamatan AS berjaya menahan Maduro beberapa jam sahaja selepas serangan bermula. Harus diingat, waktu serangan ini tidak berlaku secara terasing daripada konteks antarabangsa secara umum. Sebaliknya ia berlaku seiring dengan krisis yang semakin memburuk di pasaran terutama dalam konteks tenaga global serta peningkatan ketegangan persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar dunia. Keadaan ini telah membuka ruang untuk menafsirkan serangan tersebut sebagai langkah proaktif yang dirancang dengan teliti, dan bukannya sekadar tindak balas keselamatan kecemasan.

Persoalannya, adakah alasan yang dikemukakan oleh AS ini boleh dianggap sebagai alasan yang kukuh, atau ia hanyalah sebagai helah untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela yang memiliki salah satu rizab minyak terbesar di dunia.

Persoalan ini berasas jika dipandang dan mengambil kira Venezuela sebagai salah satu kunci dalam keseimbangan strategik tenaga di peringkat antarabangsa. Dan sebarang perubahan yang dipaksakan ke atas sistem politiknya, ia berpotensi untuk menyusun semula keseimbangan pasaran minyak demi kepentingan AS, sekaligus menyingkirkan pesaing antarabangsa lain terutamanya China dan Rusia, daripada salah satu sumber tenaga terpenting di Barat.

Seperti kebiasaan dalam banyak campur tangan ketenteraan AS terhadap negara lain bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada, Washington sering mengemukakan pelbagai alasan strategik. Dalam konteks ini, mereka telah membentuk satu pendekatan baharu dengan menjauhkan diri daripada peperangan di rantau Asia Barat, sebuah wilayah yang telah lama melemahkan kekuatan tentera Barat akibat konflik berpanjangan, dengan menggunakan alasan memerangi keganasan sebagai justifikasi utama. Dalam pada masa yang sama, fokus mereka juga pada kenaikan kuasa ekonomi dan ketenteraan China selain kerjasama Rusia-China-Iran.

Langkah ini sebenarnya boleh dilihat dalam tindakan yang dimulakan oleh Presiden AS terdahulu, Joe Biden yang menarik balik tenteranya dari Afghanistan, sekaligus menandakan pelaksanaan pendekatan tersebut. Namun, segalanya berubah selepas meletusnya Operasi Taufan al-Aqsa yang menjadi titik pendorong bagi AS untuk mengekalkan pendekatan awalnya, memandangkan kedudukan Israel yang ketika itu berada pada tahap kritikal.

Dalam konteks ini, Washington dilihat telah menyusun semula keutamaan strategiknya, tanpa meninggalkan alat intervensi ketenteraan tradisional, tetapi sebaliknya telah menempatkannya semula secara geografi, iaitu jauh dari Asia Barat, dan menumpukan perhatian pada wilayah yang lebih murah daripada segi kos ketenteraan dan memberikan pulangan strategik, terutamanya di Amerika Latin.

Selain itu, perkara yang mendorong kepada analisis dalam isu ini adalah kembalinya Trump ke Rumah Putih selepas era Demokrat di bawah Biden, yang boleh dianggap sebagai kembalinya dasar Republikan AS. Ia mengingatkan kepada era George W. Bush ketika pencerobohan ke atas Iraq dilakukan atas alasan kepemilikan senjata pemusnah besar-besaran, di mana dia berusaha menghancurkan kerajaan Iraq tanpa penilaian masak mengenai kos untung rugi yang terpaksa ditanggung oleh tentera AS berbanding pencapaian yang bakal diperoleh.

Dalam konteks yang sama, dasar semasa Trump hari ini lebih mencerminkan kecenderungannya yang bersikap konfrontatif terhadap undang-undang antarabangsa, selain menggunakan kekuatan ketenteraan dalam menentukan hala tuju dasar luar AS, berbeza dengan sikap Biden yang lebih memilih cara diplomasi. Justeru pendekatan konfrontatif yang dipilih Trump ini jelas merupakan kesinambungan terhadap pendekatan yang turut diambil oleh mantan Presiden AS, George W Bush Jr sebelum ini. Dengan dasar yang sama, dan dengan mengabaikan sepenuhnya undang-undang, norma serta pertimbangan antarabangsa, sikap Trump telah menjadikan Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat sebagai ‘kementerian peperangan’. Ianya dilihat sebagai satu langkah yang telah mendedahkan wajah sebenar dasar AS kepada dunia, yang ciri-cirinya telah mula muncul dengan membenarkan Israel kembali berperang di Gaza, dan terus mengikuti dasar melemahkan Hizbullah di Lubnan, dan akhirnya melancarkan perang terhadap Venezuela.

Langkah-langkah ini nyatanya mengandungi isyarat politik dua hala; bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi ia menghantar isyarat kepada musuh dan sekutunya serentak. Bahawasanya era ragu-ragu dalam membuat keputusan strategik sudah berakhir, dan Washington kini bertekad untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa unipolar — menjadi satu-satunya kuasa besar dominan dalam sistem antarabangsa, dan tidak teragak-agak menggunakan kekuatan ketenteraan di luar kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sama ada untuk menghalang pihak musuh mahupun untuk meyakinkan sekutu. 

Penting untuk difahami bahawa serangan Washington ke atas Venezuela bukanlah satu tindakan rawak. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dianggap sebagai antara tokoh yang menentang dasar AS dan menyokong Paksi Penentangan yang dipimpin Iran, di samping hubungan rapatnya dengan China dan Rusia. Keadaan ini dilihat oleh AS sebagai satu bentuk ancaman terhadap keselamatan nasionalnya. Ancaman ini semakin ketara dari perspektif AS memandangkan kedudukan geografi Venezuela berada di Amerika Latin; wilayah yang sekian lama dianggap Washington sebagai ‘halaman belakangnya’ — yang menurut pertimbangan geopolitiknya tidak boleh dimasuki atau dipengaruhi oleh kuasa China bahkan Rusia.

Justeru melalui tindakan ini, Trump menegaskan bahawa unipolariti masih wujud, dan AS tidak akan membenarkan sistem antarabangsa beralih menjadi multipolariti, meskipun mereka perlu menggunakan kekuatan ketenteraan. Dalam masa yang sama, AS berusaha memanfaatkan konflik dalaman tersebut dengan membina proksi politik berlandaskan kesetiaan kepada Washington, dengan membina angkatan tentera selain menguasai sumber minyak Venezuela.

Pendekatan ini telah mendedahkan peralihan Washington daripada dasar pendudukan secara langsung kepada dasar pecah dan perintah, yang menjamin mereka mencapai matlamat strategik dengan kos kemanusiaan dan politik yang lebih rendah ke atas AS sendiri.

Perlu dinyatakan juga bahawa rakyat Venezuela memiliki sejarah panjang dalam usaha menentang kezaliman dan penindasan, dan bukanlah masyarakat yang tidak memiliki tradisi perjuangan menentang penjajahan serta pihak-pihak yang bersekongkol dengannya. Oleh yang demikian, bukanlah satu perkara yang mudah bagi Washington untuk mewujudkan keselamatan di Venezuela mengikut kehendaknya dan dengan cara yang diinginkannya. Sebaliknya, ia akan berdepan tentangan yang keras, meskipun setelah konflik tersebut berubah menjadi perang saudara.

Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal