Undang-Undang Anti UNRWA di Baitul Maqdis. Apa Yang Anda Perlu Tahu?
![](https://cdn.prod.website-files.com/64b0ba4f21cbfbd31a8b964d/67a183d053134492221a38a6_download%20(24).jpg)
Bermula 28 Januari 2025, undang-undang anti Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkuatkuasa di Israel dan dikatakan cawangan UNRWA di Timur Baitul Maqdis berdepan dengan sekatan paling ketat kerana segala operasi akan dihentikan serta-merta.
Secara tidak langsung, pengharaman UNRWA di Palestin bukan sahaja menjejaskan penduduk di Tebing Barat, malah penduduk di Gaza juga tidak ketinggalan akan menanggung impak yang besar.
UNRWA; sebuah entiti yang tidak keterlaluan untuk katakan sudah menjadi sebahagian identiti rakyat Palestin, malah sudah terpahat sebagai sejarah Palestin sejak 1948. Agensi ini berdepan dengan dua undang-undang yang diluluskan kabinet Israel, Knesset pada Oktober 2024:
Pertama – Undang-Undang Sekatan Operasi UNRWA;
Kedua – Undang-Undang Sekatan Operasi UNRWA di Kawasan Terjajah (Israel).
Tindakan Israel untuk mengharamkan UNRWA di Palestin sebenarnya mengeruhkan keadaan penduduk Tebing Barat dan Gaza yang sedia kritikal. Malah, keputusan kerajaan Israel juga merupakan satu bentuk jenayah kemanusiaan di Palestin kerana tanpa UNRWA, penduduk Palestin akan berdepan dengan kesukaran untuk mengakses keperluan asas harian seperti air, makanan, bantuan kecemasan, pendidikan dan perlindungan.
Agensi ini ditubuhkan atas dasar Resolusi 302 (IV) yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 8 Disember 1949 dan mula beroperasi seawal 1 Mei 1950 bagi melindungi hak-hak kemanusiaan di Palestin. Di bawah mandat UNRWA jugalah pelarian Palestin ditakrifkan sebagai: “Mereka yang kehilangan tempat tinggal di Palestin dalam tempoh 1 Jun 1946 sehingga 15 Mei 1948 dan; mereka yang kehilangan kediaman dan harta pencarian akibat perang 1948.”
Jadi, apa yang menyebabkan Israel tiba-tiba bertindak untuk menyekat UNRWA selepas lebih 7 dekad berlalu?
UNRWA, EJEN MENGGAGALKAN ‘THE GREATER ISRAEL’
Sejak Israel ‘ditampar’ dengan serangan yang dilancarkan Briged al-Qassam dari Gaza pada 7 Oktober 2023 sehingga insiden itu dinobatkan sebagai kegagalan keselamatan dan perisikan terbesar sejak Yom Kippur pada Oktober 1973, kerajaan haram yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu tidak senang duduk. Manakan tidak, dilaporkan lebih 1,000 orang ahli Briged al-Qassam dan lima pasukan bersenjata Palestin dari faksi lain menyerang Israel melalui jalan darat dan udara tetapi sistem keselamatan langsung tidak dapat mengenal pasti ancaman tersebut.
Sebagai respon, Israel melancarkan perang ke atas HAMAS dengan pengumuman akan melenyapkan organisasi itu di Gaza. Hasilnya yang kita lihat pada hari ini, seluruh Gaza seperti padang jarak padang tekukur dengan kira-kira 90% populasinya berdepan dengan krisis kehilangan tempat tinggal; 47% yang tinggal kini adalah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun; hanya 38% pusat kesihatan yang berfungsi; dan kira-kira 30,000 penduduknya memerlukan rawatan rehabilitasi.
Di sini sahaja kita boleh faham, Israel bukan berperang dengan HAMAS sahaja tetapi melibatkan seluruh penduduk Gaza, termasuk Tebing Barat melalui jenayah genosid dan pembersihan etnik dalam usaha menjayakan objektif mereka, Israel Raya atau The Greater Israel.
Mantan duta Israel ke PBB, Gilad Erdan di dalam UNGA menyelar UNRWA sebagai organisasi rakyat Palestin yang mahu menghancurkan negara bangsa Yahudi, malah dikatakan sebagai agen penyebaran propaganda bahawa Israel adalah milik rakyat Palestin:
“UNRWA, the organisation that so many of you [UN members] fund, is the UN’s single biggest obstacle to a solution. The end goal is to use these so-called refugees and their libelous right of return – a right that doesn’t exist – to flood Israel and destroy the Jewish state.”
Kewujudan UNRWA dilihat sebagai ancaman kerana mandat yang dimiliki agensi itu menyukarkan Israel untuk memusnahkan populasi penduduk Palestin dari akarnya. Manakan tidak, UNRWA merupakan satu-satunya badan yang menyokong one-state solution melalui definisi pelarian Palestin yang ditetapkan sejak awal penubuhannya.
Tidak cukup dengan itu, Israel dan Kesatuan Eropah (EU) meragui kurikulum yang disediakan UNRWA kepada para pelajar Palestin kerana dipercayai memiliki unsur anti-semitik. Dalam sebuah tinjauan ke atas 156 buah buku teks pada tahun 2017 hingga 2019, susulan daripada rombakan kurikulum oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagi sesi akademik 2016/2017, mendapati beberapa elemen yang ditekankan di dalam buku teks baharu, antaranya: naratif penentangan di dalam konteks konflik Israel-Palestin; galakan jihad dan syahid; pemaparan antagonisme terhadap Israel; penyebaran anti-semitisme dan kebencian.
Justeru, penyenaraian HAMAS sebagai entiti pengganas oleh kebanyakan negara dan tuduhan Israel ke atas beberapa orang staf UNRWA yang dikatakan telah bekerjasama dalam serangan yang dilancarkan pada 7 Oktober 2023, lebih mudahlah Israel meluluskan undang-undang anti UNRWA. Lihat sahaja ketika awal tuduhan Israel itu tular ke seluruh dunia, beberapa negara yang selama ini menjadi penyumbang dana UNRWA – Amerika Syarikat (AS), Jerman, EU, Jepun – telah menarik diri kerana enggan bersubahat dalam perang yang meletus. Kandungan buku teks UNRWA juga dipertikaikan kerana dianggap berat sebelah dengan unsur-unsur kebencian terhadap Israel. Walhal, kurikulum yang diluluskan oleh PA adalah berdasarkan sejarah konflik di tanah Palestin. Malah, sejarah dunia juga membuktikan apa yang berlaku di Palestin bermula dengan pencerobohan kuasa British, sekaligus menjadi pintu masuk bangsa Yahudi ke tanah barakah itu.
IMPAK SEKATAN UNRWA DI GAZA
UNRWA boleh diibaratkan ‘ibu’ kepada puluhan badan bukan kerajaan (NGO) yang sedia ada di Palestin. Bayangkan, UNRWA memiliki 13,000 orang staf dengan 5,000 orang staf daripadanya berkhidmat sepanjang perang sejak 7 Oktober. Tidak cukup dengan itu, UNRWA telah menubuhkan sebanyak 294 buah sekolah; 22 buah pusat kesihatan; 13 buah gudang dan pusat pengedaran. Berdasarkan rekod 2024, UNRWA telah melaksanakan 500,000 perundingan kesihatan secara bulanan; menawarkan sokongan psikososial dan perkhidmatan kesihatan mental kepada sekitar 730,000 orang penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal; lebih 8,500 bayi menerima susu formula; menjalankan rutin vaksin kepada 590,000 orang penduduk yang mengalami penyakit polio dan membuat saringan untuk kekurangan makanan kepada 125,000 orang kanak-kanak. Manakala pada aspek pendidikan, sebelum insiden 7 Oktober 2023, UNRWA menyediakan pendidikan sekolah rendah kepada 300,000 orang pelajar di Gaza dan akibat perang, 650,000 orang pelajar (termasuk pelajar institut pengajian tinggi) telah ketinggalan dalam pelajaran.
Tetapi, sekatan Israel ke atas UNRWA berdasarkan undang-undang terbaru, semua yang diusahakan oleh agensi ini menjadi sesuatu yang mustahil. Pertama, Israel akan menafikan visa pekerja antarabangsa UNRWA dan mereka ini akan diminta untuk meninggalkan Palestin. Kedua, penyumbang UNRWA akan berdepan dengan konflik untuk meneruskan dana kepada penduduk Palestin memandangkan tiada pihak yang bertanggungjawab memantau operasi di Palestin. Ketiga, kesemua barang bantuan yang berlabel UNRWA akan disekat oleh Penyelarasan Aktiviti Kerajaan Israel di Wilayah (COGAT) berkuatkuasa 28 Januari 2025 walaupun di dalam perjanjian gencatan senjata ada ditekankan jaminan bantuan kemanusiaan ke semenanjung Gaza. Keempat, tanpa penglibatan UNRWA di dalam pembangunan semula sektor pendidikan dan kesihatan, pihak luar terutamanya Palestin memerlukan masa sehingga bertahun-tahun dengan dana yang jauh lebih tinggi untuk memastikan keadaan kembali seperti sediakala.
Mungkin, betul kita ada NGO lain yang boleh dijadikan sebagai alternatif seperti yang didakwa Gilad Erdan, tetapi tiada badan boleh menggantikan peranan UNRWA yang sudah menjadi tunjang kehidupan penduduk Palestin kecuali:
- Kesemua NGO sedia ada dibawah satu koordinasi yang sama dan bekerjasama untuk melunaskan keperluan penduduk Palestin, termasuk pelarian Palestin.
- Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mengambil alih peranan UNRWA.
Majlis Keselamatan PBB pada April 2024, kecuali Israel telah menunjukkan sokongan dan sebulat suara menekankan kepentingan UNRWA di Palestin, bersama NGO yang lain. Hakikatnya, tidak wajar kempen kebencian terhadap UNRWA membentuk pandangan dunia terhadap agensi tersebut malah jika pun tuduhan tersebut benar-benar berlaku seperti yang didakwa, tidak sepatutnya seluruh sistemnya disekat dan kehidupan penduduk Palestin menjadi taruhan.
Ini baru kita lihat impaknya di Gaza. Bagaimana pula impaknya di Tebing Barat?
Kesan ketiadaan UNRWA di Tebing Barat boleh dianggap tidak kritikal seperti di Gaza kerana kerajaan Israel ada menyebut PA dan beberapa organisasi lain untuk mengambil alih sekolah UNRWA, tetapi tidak untuk sektor kesihatan dan yang lain-lain. Namun, tidak wajar juga kita memandangkan situasi di Tebing Barat tanpa UNRWA dengan sebelah mata kerana situasi di sana juga semakin meruncing dengan kekerasan yang dilancarkan oleh PA ke atas penduduk Palestin kerana kebimbangan terhadap peningkatan sokongan terhadap HAMAS dan faksi-faksi yang tidak sealiran dengan mereka.
Apa yang penting ketika ini, penduduk Palestin memerlukan badan yang mampu menyokong sektor kesihatan dan pendidikan kerana di sinilah kehidupan mereka akan lebih terjamin, seterusnya menjadi akar kepada pembangunan semula seluruh ekosistem di Gaza.