Turkiye Ancaman Kuasa Serantau Israel Selepas Iran

Konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa hari kebelakangan ini sering dianggap sebagai salah satu titik panas utama dalam geopolitik Asia Barat. Ketegangan yang berpanjangan, serangan balas serta ancaman peluasan konflik telah menjadikan Tehran sebagai fokus utama dalam percaturan keselamatan rantau tersebut. Namun, dalam kalangan penganalisis geopolitik, satu persoalan lain mula muncul. Selepas Iran, adakah Turkiye berpotensi menjadi medan tekanan strategik seterusnya dalam percaturan kuasa di Asia Barat?
Persoalan ini tidak bermaksud bahawa perang langsung antara Turkiye dengan Israel atau AS sedang dirancang secara terbuka. Realitinya jauh lebih kompleks. Kedudukan Turkiye tidak sama seperti Iran; ia merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutu keselamatan bagi Blok Barat sejak era Perang Dingin. Negara ini mempunyai hubungan ketenteraan yang lama dengan AS serta memainkan peranan penting dalam sistem keselamatan serantau.
Namun, dalam masa yang sama, perubahan dasar luar Ankara sejak dua dekad terakhir telah menjadikan Turkiye semakin menonjol sebagai kuasa baharu yang lebih mandiri. Pendekatan dasar luar yang lebih autonomi ini kadangkala bertentangan dengan kepentingan Israel serta sebahagian agenda geopolitik Blok Barat. Oleh itu, Turkiye mungkin tidak menjadi sasaran perang seperti Iran, tetapi ia semakin menonjol sebagai pencabar strategik yang sukar dikawal oleh beberapa aktor utama di rantau itu.
Turkiye sebagai Kuasa Serantau yang Semakin Mandiri
Salah satu sebab utama Turkiye dilihat sebagai gugatan baharu bagi Israel dan AS ialah kerana kedudukan geopolitiknya yang unik. Terletak di persimpangan antara Eropah dan Asia, negara ini mempunyai peranan strategik dalam keseimbangan kuasa di kawasan sekitarnya. Turkiye juga mengawal Selat Bosphorus dan Dardanelles, laluan maritim yang menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Mediterranean.
Selain itu, Turkiye mempunyai sempadan langsung dengan Syria, Iraq dan Iran—tiga kawasan yang sering menjadi pusat konflik geopolitik serantau. Kedudukan ini memberikan Ankara kelebihan strategik yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara lain di Asia Barat.
Tambahan pula, Turkiye juga merupakan kuasa ketenteraan konvensional yang besar. Tentera Turkiye adalah antara yang terbesar dalam NATO, manakala industri pertahanan negara itu semakin berkembang, termasuk dalam pembangunan teknologi dron tempur yang digunakan secara meluas dalam konflik dan peperangan moden.
Gabungan faktor geografi, ketenteraan dan pengaruh politik ini menjadikan Turkiye sebagai salah satu kuasa serantau yang berpotensi mempengaruhi keseimbangan geopolitik Asia Barat.
Perang Gaza dan Ketegangan Hubungan Turkiye–Israel
Turkiye dan Israel sebenarnya pernah melalui fasa hubungan kerjasama yang rapat pada era 1990-an, khususnya dalam bidang ketenteraan dan keselamatan. Namun, sejak sekitar dua dekad lalu, hubungan tersebut mula mengalami perubahan yang ketara seiring dengan perkembangan politik di Asia Barat serta pendirian Ankara yang semakin lantang terhadap isu Palestin.
Perubahan ini menjadi lebih jelas selepas beberapa episod konflik di Gaza, terutama insiden serangan terhadap kapal bantuan Mavi Marmara pada tahun 2010. Peristiwa tersebut mencetuskan krisis diplomatik antara kedua-dua negara dan menandakan titik penting dalam perubahan arah hubungan Turkiye–Israel.
Sejak itu, hubungan kedua-dua negara ini sering mengalami turun naik, kerjasama diplomatik dan keselamatan menjadi semakin terbatas walaupun saluran komunikasi masih dikekalkan. Dinamika ini menunjukkan bahawa hubungan Turkiye–Israel kini berada dalam keadaan yang lebih kompleks berbanding era kerjasama rapat pada dekad sebelumnya.
Potensi Paksi Sunni: Turkiye–Pakistan–Saudi
Kebangkitan Turkiye juga perlu dilihat dalam konteks kemungkinan terbentuknya kerjasama strategik yang lebih luas antara Turkiye, Pakistan dan Arab Saudi. Walaupun kerjasama ini belum membentuk pakatan secara formal, beberapa perkembangan menunjukkan wujudnya titik persilangan kepentingan antara ketiga-tiga negara tersebut.
Kerjasama antara ketiga-tiga negara ini boleh dinilai melalui hubungan keselamatan yang rapat antara Pakistan dan Arab Saudi sejak tahun 1980-an, apabila anggota tentera Pakistan ditempatkan di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada kerjasama pertahanan dua hala. Dalam masa yang sama, Turkiye turut memperluas pengaruhnya dalam jaringan keselamatan melalui peningkatan kerjasama ketenteraan dengan Pakistan sejak pertengahan tahun 2010, termasuk latihan bersama serta pembangunan industri pertahanan.
Pada tahun 2018, Ankara turut memeterai perjanjian bernilai kira-kira $1.5 bilion untuk membina empat kapal perang kelas MILGEM bagi Tentera Laut Pakistan. Perkembangan ini mencerminkan jaringan kerjasama keselamatan yang semakin erat antara beberapa kuasa utama dunia Islam yang digelar Israel sebagai paksi Sunni dalam sektor pertahanan.
Hubungan antara Turkiye dan Arab Saudi sendiri turut menunjukkan tanda pemulihan dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas fasa ketegangan yang pernah membayangi hubungan kedua-dua negara tersebut. Lawatan timbal balik kepimpinan kedua-dua negara ini sejak 2022 serta peningkatan kerjasama dalam sektor pertahanan, termasuk perjanjian pembelian dron Turkiye oleh Arab Saudi pada 2023 — menandakan perkembangan yang baik untuk hubungan antara Ankara dan Riyadh dalam beberapa bidang keselamatan.
Gabungan ini berpotensi menghubungkan tiga elemen kuasa yang berbeza: kekuatan ketenteraan konvensional Turkiye, keupayaan nuklear Pakistan serta pengaruh ekonomi dan tenaga Arab Saudi. Dalam konteks ini, kebimbangan Israel terhadap Turkiye bukan sekadar berpunca daripada ketegangan dua hala antara Ankara dan Tel Aviv. Ia juga terkait dengan potensi Turkiye muncul sebagai pusat koordinasi bagi rangkaian kuasa Sunni, sekali gus berupaya mempengaruhi dinamika persaingan kuasa di pentas geopolitik yang lebih luas.
Syria dan Mediterranean Timur sebagai Medan Persaingan
Syria merupakan salah satu medan paling sensitif dalam hubungan Turkiye–Israel. Sejak tercetusnya perang saudara Syria, Turkiye memainkan peranan penting dalam menyokong beberapa kumpulan pembangkang serta mengawal beberapa kawasan di utara Syria.
Pada asalnya, kehadiran tentera Turkiye bertujuan mengekang ancaman kumpulan bersenjata Kurdish yang dianggap berkait dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK). Namun dalam perkembangan terkini, pengaruh Ankara di Syria dilihat semakin meluas melalui kerjasama keselamatan dan pentadbiran tempatan.
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar Israel kerana Syria secara tradisinya dilihat sebagai wilayah yang perlu kekal lemah agar tidak menjadi pangkalan ancaman baharu terhadap Israel.
Selain Syria, Mediterranean Timur juga menjadi medan persaingan penting antara Turkiye dengan Israel. Penemuan sumber gas asli di kawasan tersebut telah mendorong kerjasama tenaga antara Israel, Cyprus dan Greece. Kerjasama ini dilihat sebagai usaha untuk menyalurkan gas asli ke Eropah tanpa melalui Turkiye.
Bagi Ankara, perkembangan ini dianggap sebagai usaha untuk meminggirkan kepentingannya di Mediterranean Timur. Oleh itu, persaingan di kawasan ini bukan sekadar berkait dengan ekonomi tenaga, tetapi turut melibatkan perebutan pengaruh geopolitik di rantau tersebut.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Turkiye mungkin belum boleh dianggap sebagai sasaran langsung dalam konflik ketenteraan selepas Iran. Namun, perkembangan dasar luar Ankara sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan perubahan yang semakin signifikan. Pendirian tegas Turkiye terhadap isu Gaza, di samping peningkatan pengaruhnya di Syria serta kawasan Mediterranean Timur, menjadikan negara itu semakin menonjol sebagai salah satu aktor penting dalam percaturan geopolitik Asia Barat.
Jika konflik Israel-Iran selama ini banyak digambarkan sebagai pertarungan antara Israel dengan jaringan proksi serantau yang disokong Tehran, dinamika yang melibatkan Turkiye berpotensi membawa bentuk persaingan yang berbeza. Ketegangan tersebut lebih mencerminkan pertembungan antara dua kuasa negara yang masing-masing berusaha membentuk percaturan politik, keselamatan dan pengaruh strategik di rantau itu. Waima, Turkiye semakin menonjol sebagai salah satu kuasa serantau yang mampu mencabar kedudukan Israel dalam jangka panjang. Perkembangan ini menjadikan Ankara bukan sekadar aktor sampingan dalam konflik Asia Barat, tetapi berpotensi muncul sebagai aktor penting dalam pembentukan keseimbangan geopolitik baharu selepas episod konfrontasi antara Iran dan Israel.