All Articles

THE VOICE OF HIND RAJAB – Sebuah Filem Epitome Suara Kanak-Kanak di Gaza

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 9, 2026

Ketika filem The Voice of Hind Rajab merangkul anugerah di Venice International Film Festival pada 3 September 2025, saya tahu saya perlu menonton cerita ini. 

Bukan kerana tuntutan saya bekerja di sebuah NGO kemanusiaan, tetapi kerana kisah Hind Rajab yang dibisukan media, akhirnya diangkat di persada dunia melalui perfileman. 

Saya sangka hati saya sudah cukup kebal menonton filem ini kerana beranggapan sudah serba tahu kisah disebalik kematian Hind Rajab. 

Tapi, saya silap. 

Sebuah Realiti, Pergelutan Emosi

The Voice of Hind Rajab menyoroti kisah Hind Rajab dan saudara-maranya yang terbunuh selepas 355 das tembakan dilepaskan oleh rejim Zionis dari jentera tentera jenis Merkava ke arah kenderaan yang dinaiki mereka, Kia Picanto. Melalui filem ini, pihak pengeluar filem dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PBSM Palestin), menggunakan audio terakhir Hind Rajab sebagai ‘watak utama’ dan tunjang kepada kekuatan filem ini. 

Filem ini mengajak kita mengintai satu sisi yang tidak diketahui kerana media yang membisu. Masih ingat lagi pada hari kejadian Hind Rajab dibunuh, hanya segelintir media sahaja melaporkan situasi tersebut, itupun tidak menyeluruh. Dan apabila jenazahnya ditemui selepas didakwa hilang, barulah kes Hind Rajab menjadi tular. 

Melalui filem ini, ia terasa lebih dekat dan pembunuhan Hind Rajab lebih jelas tidak masuk akal.

Pergelutan Emosi

Hampir keseluruhan filem ini menggunakan tiga jenis close up shot medium close up, close up dan extreme close up  – yang berupaya memberi impak yang tinggi terhadap emosi penonton; secara tidak langsung membina hubungan emosi antara penonton dan pelakon.

Setiap kegusaran, kemarahan, kebimbangan dan rasa cemas yang dipaparkan oleh barisan pelakon, benar-benar ‘menghidupkan’ semula detik-detik Hind Rajab di ambang maut. Tidak cukup dengan itu, audio asal Hind Rajab bersilih ganti dimainkan bersama audio asal pasukan penyelamat di pusat kawalan PBSM Palestin sepanjang filem. Elemen yang dimasukkan itu, walaupun menimbulkan sedikit rasa tidak selesa tetapi ia telah menanamkan satu kepercayaan bahawa Hind Rajab sedang memerlukan bantuan kita pada ketika itu juga!

"Tak bolehkah awak datang selamatkan saya? Tolonglah selamatkan saya!”


Menyedari kita adalah penonton,  bermakna kita akur bahawa semuanya sudah terlambat dan perasaan kesal, kecewa bertimpa-timpa hadir kerana apa yang boleh dilakukan cuma melihat dan cuba menyelami perasaan takut Hind Rajab.

Tidak hanya audio terakhir Hind Rajab, audio terakhir sepupunya, Layan Hamada juga disertakan sebagai ‘pembuka’ cerita bagaimana Hind Rajab dan pasukan penyelamat PBSM Palestin di pusat kawalan berhubung. Detik akhir Layan dan pasukan penyelamat PBSM Palestin yang bergerak ke lokasi Hind Rajab juga dipersembahkan di dalam filem ini membuatkan penonton terkaku dengan persoalan – betulkah sudah ditembak? Masih hidupkah mereka?

Namun, tidak dinafikan, penggunaan audio sebenar dalam filem ini sedikit sebanyak akan memberi trauma kepada segelintir kelompok masyarakat, terutamanya jika yang menonton filem ini adalah penduduk Palestin yang terpisah dengan keluarga di Gaza. Tidak mustahil ia akan mencetuskan klimaks kebimbangan (anxiety) memikirkan keadaan keluarganya – mungkin isteri, anak, bapa, ibu, suami atau adik-beradiknya – yang tidak mustahil menjadi keluarga Hamada yang seterusnya.

Pun begitu, jika dilihat semula dari sudut pandangan luas, filem ini bukan tentang Hind Rajab sahaja tetapi tentang pasukan PBSM Palestin yang sekian lama berhempas-pulas menyelamatkan penduduk Gaza yang memerlukan, terutama sejak 7 Oktober 2023.  Ia bukan tentang pembunuhan satu nyawa, tetapi juga tentang pembunuhan emosi serta jiwa mereka yang menyelamatkan orang sekeliling dengan rasa gagal dan ‘kalah’ di lapangan kemanusiaan.

Permainan Psikologi Zionis

Kenderaan perang yang dinaiki Zionis atau dikenali sebagai Merkava IV memiliki fungsi teknologi seperti pengimejan terma, peranti penglihatan malam (NVD), sistem amaran laser (LWS) dan optik bersepadu. 

Jadi, kewujudan Hind Rajab yang ketakutan dan sedang menunggu bantuan tiba sebenarnya sudah diketahui Zionis cuma mereka memilih untuk ‘mempermainkan’ nyawanya dan mencetuskan trauma yang sangat dahsyat. 

Ada satu ungkapan Hind Rajab: “Saya akan mati” benar-benar menampar jiwa dewasa kita kerana tidak sepatutnya kanak-kanak berusia 5 tahun berfikir untuk mati. Tetapi Hind Rajab membuktikan bahawa ketakutan yang melampau boleh mendorong mereka untuk berfikir tentang mati. 

Berdasarkan satu tinjauan pada Disember 2024, seramai 96% kanak-kanak Gaza merasakan kematian sedang ‘mengejari’ mereka. Dan Hind Rajab adalah satu satu daripada mereka.

Zionis ‘Melemaskan’

Satu hal yang kita terlepas pandang atau tidak tahu, rupanya di Gaza, kehidupan penduduknya jauh lebih kompleks dengan sistem kawalan yang terlalu ketat, malah menyusahkan. 

Rakaman suara Hind Rajab yang tular, rupanya menutup cerita sebenar – kanak-kanak perempuan itu telah menunggu lebih tiga jam untuk bantuan tiba kerana sistem koordinasi Israel yang lambat dan ‘melemaskan’ orang-orang terdesak!

Filem ini tidak memasukkan elemen exaggeration, maka babak penantian Hind Rajab mencerminkan realiti penduduk di Gaza sebelum dan sepanjang tempoh Taufan al-Aqsa. Mereka ‘ditekan’ rejim Zionis dengan sistem koordinasi ke atas setiap aspek – ruang udara, laut, darat dan kebanyakan sempadan. Dan sempadan yang dimaksudkan, bukanlah hanya sempadan antara Israel-Gaza tetapi melibatkan sempadan antara daerah di Gaza. 

Maka, tidak hairanlah jika bantuan kemanusiaan memakan masa berbulan-bulan untuk tiba di Gaza dan daerah-daerah di dalamnya. Tidak hairan juga ada kes yang direkodkan, seorang penduduk Gaza terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan rawatan di hospital sedangkan nyawanya menjadi taruhan; ada juga kes di Tebing Barat – seorang ibu maut ketika bersalin di sempadan atau checkpoint yang ditetapkan kerana proses mendapatkan kebenaran begitu lambat!

Semuanya kerana Israel telah menetapkan satu sistem di mana semua pihak – baik di Gaza atau di Tebing Barat, juga di luar Palestin – akan bergantung kepada ‘kuasa’ mereka.

Pengkhianatan?

Harus difahami, Gaza boleh dianggap sebagai lapangan maut penduduk Palestin, tidak kira siapa – wartawan, sukarelawan NGO kemanusiaan, doktor, jururawat – kerana Zionis tiada kompromi dalam menyasarkan targetnya.

Melalui filem ini, ditonjolkan juga watak antagonis walaupun secara halus. Misalnya, babak ketua koordinator di pusat kawalan PBSM Palestin terpaksa memainkan peranan ketua yang mementingkan nyawa pasukannya berbanding nyawa Hind Rajab yang sudah menjadi sasaran Zionis. 

Melihat kepada situasi tersebut, ada satu sisi yang tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang berada di barisan hadapan. Namun, pada masa yang sama, keputusan ketua koordinator itu untuk mendiamkan diri juga tidak salah kerana dia perlu melindungi pasukannya daripada ancaman rejim Zionis. 

Kesannya, walaupun pasukan penyelamat PBSM Palestin sudah diberi laluan untuk bergerak ke lokasi Hind Rajab, mereka tetap dibunuh tatkala pergerakan mereka dikenalpasti. Sekurang-kurangnya, itulah yang ketua koordinator itu cuba elakkan daripada berlaku ke atas mana-mana pasukannya baik di lapangan misi atau di pusat kawalan. 

Hind Rajab – Epitome Suara Kanak-Kanak di Gaza

Siapa sangka, kita ‘melihat sendiri’ pembunuhan yang dilancarkan rejim Zionis ke atas Hind Rajab dan ia jelas bukan pembunuhan biasa tetapi terancang. 

Siapa sangka, kita akan bangkit semula untuk rakyat Palestin melalui perfileman detik akhir Hind Rajab.

Siapa sangka, Hind Rajab-lah menghidupkan semula semangat kita untuk pembebasan Palestin. 

Menyaksikan sendiri penderitaan dan pembunuhan Hind Rajab bermakna kita ada tanggungjawab untuk menyelamatkan, melindungi dan memastikan kanak-kanak Palestin peroleh hak mereka. Kerana di Palestin, masih ramai ‘Hind Rajab’ yang memiliki impian untuk bermain seperti kanak-kanak biasa dan membesar menjadi dewasa yang berjaya untuk negaranya sendiri. 

Dan kita tidak mahu ‘menonton’ lagi jenazah ‘Hind Rajab’ yang kedua dan menanggung penyesalan tidak berpenghujung. 

The Voice of Hind Rajab mula ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 8 Januari 2026 selepas memenangi anugerah pertama dalam Venice International Film Festival pada 3 September 2025. Filem ini diterima oleh 27 buah negara selepas berdepan dengan pelbagai kritikan kerana kandungannya yang sensitif – politik.

Dengan kerjasama PrimeWorks, RM1 akan disumbangkan kepada MERCY Malaysia untuk Gaza bagi setiap pembelian tiket filem ini.