Taufan al-Aqsa: Antara Naratif Palestin dan Israel

Operasi Taufan al-Aqsa telah dilancarkan pada 7 Oktober 2023 dengan serangan ketenteraan besar-besaran oleh kumpulan pejuang Palestin, khususnya Briged al-Qassam — sayap ketenteraan Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) — yang menjadi tonggak utama dalam usaha menentang penjajahan. Serangan ini menyasarkan semua tapak ketenteraan rejim Israel yang bersempadan dengan semenanjung Gaza. Kumpulan-kumpulan pejuang Palestin berjaya melumpuhkan sepenuhnya kawalan ke atas tapak-tapak tersebut dengan menguasai sistem kawalan jauh, sebelum mara untuk menyerang dan menawan askar-askar Zionis yang berada di dalam kawasan ketenteraan pihak rejim.
Operasi ini mula mengambil langkah berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh kepimpinan pejuang Palestin, khususnya ketika reaksi balas rejim Israel — yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat — menjadi sangat ganas, tidak keterlaluan jika dikatakan lebih gila. Pasukan penjajah melaksanakan dasar "bumi hangus" sehingga 27 Oktober 2023, sebelum memulakan serangan darat ke atas semenanjung Gaza pada tarikh tersebut. Sebelum itu, rejim Israel telah pun mendahului dengan naratif yang mendakwa bahawa kumpulan pejuang Palestin menyasarkan serangan ke atas warga awam haram Israel dan menyerang kibbutz-kibbutz yang terletak berhampiran sempadan Gaza.
Gerakan HAMAS kemudiannya menyebarkan naratif mereka dalam dua bahasa; bahasa Arab dan Inggeris, yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain. Naratif ini menjelaskan sebab-sebab utama tercetusnya Operasi Taufan al-Aqsa. Antaranya adalah bagi menamatkan kepungan zalim rejim penjajah ke atas semenanjung Gaza yang telah berlarutan selama 17 tahun selain menekan kehidupan penduduk di wilayah tersebut. Operasi ini juga bertujuan untuk melakukan pertukaran tawanan antara tentera rejim Israel dengan tahanan Palestin. Hal ini dijelaskan dalam beberapa wawancara bersama pemimpin-pemimpin gerakan di luar negara, termasuk al-syahid Sheikh Saleh al-Arouri, yang merupakan Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS sebelum beliau syahid dalam satu serangan pada Januari 2024. Dalam kenyataannya, beliau berkata: “Kami tidak keberatan untuk menyerahkan semua tawanan yang berada dalam tahanan kami sebagai pertukaran bagi membebaskan semua tahanan Palestin di penjara Israel — yakni, semua untuk semua.” (Petikan disunting daripada kenyataan asal).
HAMAS menyatakan bahawa serangan ke atas sebahagian warga haram Israel, termasuk pembunuhan mereka, sebagai suatu tindakan yang wajar atas alasan bahawa sistem ketenteraan dan keselamatan Israel telah runtuh dalam beberapa minit pertama serangan. Kelemahan itu telah membuka peluang kepada penduduk Palestin di Gaza untuk menyerbu masuk kawasan penempatan haram Israel, membunuh sebahagian penduduknya serta memusnahkan harta benda mereka.
Perlu difahami bahawa masyarakat haram Israel secara umumnya adalah sebuah masyarakat tentera semula jadi, di mana konsep 'orang awam' hampir tidak wujud dalam kerangka sosial mereka memandangkan wujudnya dasar wajib tentera pada usia tertentu. Kegagalan menyertai tentera dianggap sebagai satu tindakan yang memalukan dan tidak boleh diterima dalam norma masyarakat tersebut. Bahkan, salah satu krisis yang sedang dihadapi oleh Israel kini adalah penolakan komuniti Yahudi Haredim untuk menyertai barisan pasukan ketenteraan rejim Zionis.
Perkembangan Kualitatif:
Menerusi apa yang telah dibincangkan, kumpulan pejuang Palestin kali ini memperlihatkan kematangan yang lebih tinggi berbanding dalam mana-mana serangan sebelumnya. Gerakan HAMAS khususnya, telah memberi perhatian serius terhadap peranan media, dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber daya yang ada dan merekrut penggiat media sosial bagi menyokong naratif yang mereka bawa, sesuai dengan pemikiran perjuangan Palestin secara tidak langsung. Mereka menampilkan suara dari jalanan Palestin dengan ketulusan dan profesionalisme yang tinggi.
Namun, gerakan ini tidak hanya mengehadkan usaha mereka hanya kepada penyebaran naratif semata-mata. Mereka turut memperkukuhkan perjuangan melalui kenyataan akhbar yang mendedahkan perbincangan dalam rundingan tidak langsung bersama pihak Israel penjajah tentang cara menghentikan peperangan dan melaksanakan pertukaran tahanan antara pihak penjajah dan kumpulan pejuang Palestin. Kenyataan akhbar ini merupakan sebahagian daripada naratif perjuangan Palestin yang lebih luas. Selain itu, persidangan media yang dianjurkan oleh para pemimpin gerakan, terutamanya oleh tokoh penting seperti Usamah Hamdan, memainkan peranan yang sangat signifikan. Beliau mengambil peranan utama dalam mengendalikan isu media sepanjang konflik ini, menjadikannya sebagai wajah yang mewakili gerakan tersebut.
Langkah ini turut menempatkan masyarakat dunia dalam gambaran sebenar tentang keberanian luar biasa yang dipamerkan oleh rakyat Palestin secara umum, dan kumpulan pejuang secara khusus. Keberanian ini akhirnya telah mendorong lebih ramai individu yang cintakan keadilan di seluruh dunia untuk menyatakan solidariti mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin terutamanya dalam perang yang sedang berlangsung, khususnya di semenanjung Gaza, menentang penjajahan Israel.
Justeru itu, melalui strategi media yang berkesan, gerakan ini berjaya melemahkan dan mencabar naratif dominan Israel, bahkan menjadikan penduduk haram Israel — khususnya pendatang haram — merasa terasing dan tidak selamat, walaupun mereka yang berada di luar ‘negara’. Mereka kini merasakan kesepian dan tekanan yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum tercetusnya perang ini.
Apatah lagi bilamana gerakan ini turut berjaya memecahkan dominasi naratif Israel di pentas global. Naratif lama yang menggambarkan masyarakat Yahudi sebagai mangsa yang tertindas dan memerlukan simpati mutlak dari dunia, kini sedang dicabar dan diganggu gugat. Dunia mula melihat realiti yang lebih seimbang dan adil mengenai isu Palestin-Israel, dan simpati yang dulunya berat sebelah, kini mulai berganjak.
Naratif Israel pula banyak memberi tumpuan kepada masyarakat Eropah, yang masih merasa bersalah terhadap apa yang telah berlaku ke atas orang-orang Yahudi sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua. Israel mengeksploitasi rasa bersalah sejarah ini demi meraih simpati dan sokongan berterusan dari negara-negara Eropah terhadap projek Zionisnya.
Namun, HAMAS secara jelas membezakan antara konflik ini dengan sebarang sentimen agama. Ia menjelaskan bahawa perjuangan yang dilancarkan bukanlah bersifat keagamaan terhadap penganut Yahudi secara umum, sebaliknya berakar daripada penolakan terhadap ideologi Zionisme. Iaitu satu pemikiran kolonial yang menjadikan agama Yahudi sebagai asas untuk mendirikan sebuah "Negara Israel", dan menawarkan kewarganegaraan kepada sesiapa sahaja di dunia berdasarkan agama tersebut.
Pendekatan ini secara perlahan-lahan telah berjaya mengubah persepsi di Eropah. Banyak pihak di benua itu kini semakin sedar bahawa naratif Israel tidak lagi mencerminkan realiti, dan bahawa era berdiam diri serta membutakan mata terhadap kezaliman telah berlalu. Kini, zaman kesedaran dan kejelasan nurani telah muncul — satu kesedaran yang tidak lagi dapat dibungkam atau dihapuskan.
Keberkesanan Naratif HAMAS:
Naratif yang dibawa oleh gerakan HAMAS telah tersebar luas bukan sahaja dalam kalangan rakyat awam di seluruh dunia, malah turut mendapat perhatian dalam kalangan elit politik, ketenteraan dan pembuat dasar di pelbagai negara. Para aktivis yang menyokong perjuangan rakyat Palestin telah menyambut naratif ini dengan penuh kesungguhan, keberanian dan sokongan yang nyata. Respons ini telah berjaya membongkar pelbagai pembohongan yang disebarkan oleh Israel, terutamanya setelah terbongkarnya jenayah perang yang dilakukan oleh pasukan tenteranya. Kezaliman ini turut menyingkap ratusan syarikat teknologi dari seluruh dunia, yang telah menggembleng pelbagai sumber demi membantu operasi ketenteraan rejim terhadap Gaza sejak awal perang dilancarkan.
Perkara ini turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu dalam salah satu sidang medianya apabila beliau menyatakan: "Kami telah gagal menangkis naratif yang disebarkan oleh HAMAS kepada umat Islam di seluruh dunia. Mereka telah berjaya menggambarkan kami mengikut citra yang mereka mahukan melalui media sosial." Pengakuan ini jelas menunjukkan kejayaan signifikan yang dicapai oleh kumpulan pejuang Palestin melalui usaha pembentukan naratif rasmi yang bersatu, yang menghimpunkan seluruh faksi Palestin yang berpegang kepada prinsip perjuangan bersenjata.
Akhir kata, Israel pula dilihat terus berusaha untuk menguasai ruang media sosial yang digunakan oleh para pendokong perjuangan Palestin, sama ada dari dalam mahupun luar negara bagi menyebarluaskan naratif yang dibawa oleh HAMAS, yang selari dengan semangat perjuangan rakyat Palestin serta prinsip keabsahan perjuangan bersenjata menurut undang-undang antarabangsa, iaitu mempertahankan diri daripada kezaliman harian yang dilakukan oleh tentera dan pendatang haram Israel. Dalam usaha ini, pihak Israel dilihat telah mengadakan kerjasama secara langsung dengan pemilik-pemilik platform media sosial utama, di mana kesannya dapat dilihat bilmana banyak akaun yang menyokong Palestin telah disekat atau dipadam, manakala akaun yang menentang perjuangan tersebut dibiarkan terus aktif.
Namun begitu, para pendokong isu Palestin tidak tunduk kepada tekanan ini. Sebaliknya, mereka semakin mahir memanfaatkan celah-celah dalam algoritma media sosial tersebut, dan menunjukkan keupayaan luar biasa dalam menyebarkan naratif perjuangan Palestin — meskipun berhadapan dengan bentuk ‘peperangan teknologi’ yang dilancarkan oleh pihak Zionis.
Disediakan oleh: Naim Ashraf Mushtaha
Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal