Tahanan Palestin di Penjara Rejim Bukan Sekadar Statistik

Pernahkah kita bayangkan bagaimana rakyat Palestin yang menjadi tahanan di penjara-penjara rejim Zionis Israel melalui hari-hari mereka? Menjadi orang awam biasa saja sudah cukup terseksa; dengan pelbagai ancaman dan sekatan yang perlu dihadapi setiap hari.
Di Gaza, wilayah itu seperti padang jarak padang tekukur setelah melalui lebih dua tahun perang genosid akibat serangan dan kekejaman rejim yang sama. Sementara itu di Tebing Barat, pengusiran paksa terus berlaku, rumah kediaman milik sendiri dimusnahkan di hadapan mata, selain penahanan tanpa waran atau sabit kesalahan jenayah yang semakin berleluasa.
Dalam keadaan sedemikian, apakah pula nasib para tahanan yang sudah sedia ada dalam ‘kawalan’ mereka?
Naseem al-Radee, 33 tahun, salah seorang bekas tahanan Palestin yang sebelum ini merupakan pegawai kerajaan Gaza dari Beit Lahia menceritakan, bagaimana layanan teruk rejim Israel semasa ‘menyambutnya’ di penjara pada Disember 2023 dan membebaskannya adalah sama. Penumbuk dan penderaan fizikal sudah menjadi amalan wajib mereka. Radee telah menghabiskan lebih 22 bulan dalam tahanan di pusat tahanan rejim termasuk 100 hari dalam sel bawah tanah sebelum dibebaskan bersama 1,700 tahanan Palestin lain ke Gaza pada Oktober 2025.
Bayangkanlah, sel penjara yang direka untuk lima orang disumbat dan dipadatkan dengan 14 orang di dalamnya. Dalam keadaan sesak dan tahap kebersihan yang memang sepenuhnya terabai, pelbagai risiko mereka boleh terima termasuklah penyakit berjangkit dan gangguan mental dan emosi. Bahkan sekiranya mereka sakit, dengan banyak rekod menyatakan sejumlah besar tahanan Palestin dijangkiti penyakit kulat atau penyakit kulit, mereka tidak diberi perawatan yang sewajarnya oleh pihak penjara. Penyakit kulit seperti kudis jika tidak dirawat memang boleh membawa kepada tekanan emosi dan perasaan.
“Tiada rawatan perubatan diberikan. Kami cuba merawat diri sendiri hanya dengan menggunakan disinfektan lantai pada luka-luka kami, tetapi ianya malah memburukkan keadaan. Tilam kami dibiarkan kotor, persekitaran tidak sihat, imuniti lemah dan diberikan makanan yang tercemar,” ujar Mohammad al-Asaliya, salah seorang bekas tahanan yang merupakan seorang mahasiswa berusia 22 tahun dari Jabaliya.
Tambahnya lagi, “Ada satu kawasan yang mereka panggil sebagai ‘disko’, di mana kawasan ini mereka akan mainkan muzik tanpa henti selama dua hari berturut-turut.” Mereka sengaja membuat bising dan tidak membiarkan para tahanan berehat dan menikmati ketenangan. “Ini adalah cara penyeksaan yang paling terkenal dan menyakitkan. Mereka juga menyeksa kami dengan menggantungkan kami di dinding, menyembur kami dengan udara dan air sejuk. Dan kadang-kadang pernah juga mereka sengaja menaburkan serbuk cili terhadap tahanan.”
Menurut laporan hak asasi manusia, sehingga Mac 2026, kira-kira 9,500 rakyat Palestin ditahan di penjara rejim Israel. Jumlah ini termasuk golongan wanita, kanak-kanak dengan separuh daripada angka ini dalam tahanan pentadbiran. Tahanan pentadbiran boleh didefinisikan sebagai seseorang yang ditahan tanpa perbicaraan dan tanpa sebarang kesalahan, atas alasan sebagai langkah pencegahan bahawa individu tersebut dianggap mungkin akan melanggar undang-undang pada masa hadapan. Mereka dinafikan hak mendapatkan perbicaraan apatah lagi untuk mempertahankan diri. Sebagai rekod, secara umumnya pihak rejim Zionis Israel telah melakukan lebih sejuta penahanan ke atas rakyat Palestin, termasuk puluhan ribu kanak-kanak sejak Jun 1967.
Menurut B’Tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia Israel yang memfokuskan pada pendokumentasian pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah haram termasuk di Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur; antara Oktober 2023 dan Januari 2026 sahaja, sekurang-kurangnya 84 orang tahanan Palestin yang berjaya dikenal pasti, termasuk seorang kanak-kanak direkodkan telah meninggal dunia di kemudahan Israel. Pun begitu, angka ini tidak termasuk ribuan tahanan dari Gaza yang mana mereka semua ditahan dan diletakkan di kem-kem tentera tanpa diketahui status sehingga saat ini.
Menurut sebuah lagi organisasi hak asasi manusia, Physicians for Human Rights-Israel melaporkan, sekurang-kurangnya 98 orang rakyat Palestin meninggal dunia sejak 7 Oktober 2023. Laporan ini dibuat hasil daripada pelbagai bukti yang dikumpulkan antaranya melalui respons rasmi, dokumen perubatan tahanan, laporan bedah siasat, keterangan daripada kakitangan perubatan dan para tahanan yang dibebaskan, serta sumber dari badan-badan hak asasi manusia yang lain. Secara ringkasnya, punca kematian dapat dikenal pasti berpunca daripada penyeksaan melampau dan sebahagiannya lagi disebabkan oleh sistem pengabaian rawatan perubatan oleh pihak berkuasa penjara.
Bagaimana pun, seorang penyelidik berkaitan hal ehwal tahanan di penjara rejim Zionis, Munqith Abu Atwan ketika menjelaskan kepada Agensi Shehab, menurutnya peningkatan kekerasan dan hukuman keras di penjara rejim khususnya selepas 7 Oktober 2023 dilihat sebagai ‘hukuman’ atau tindakan balas dendam dengan menjadikan para tahanan sebagai mangsa.
Lebih parah, kekejaman terhadap tahanan Palestin tidak terhenti hanya di situ. Pihak musuh terus bekerja sementara dunia masih lena.
Hari ini, masyarakat dunia dikejutkan dengan sebuah lagi berita apabila Parlimen rejim haram Israel, Knesset meluluskan undang-undang yang menetapkan hukuman gantung sampai mati sebagai hukuman standard bagi tahanan Palestin di Tebing Barat yang diduduki atas dakwaan membunuh warga haram Israel.
Adakah undang-undang ini sah di sisi undang-undang antarabangsa?
Perlu difahami bahawa Tebing Barat masih kekal sebagai wilayah asing di bawah kuasa tentera pendudukan. Bahkan undang-undang antarabangsa tidak membenarkan Knesset menggubal sebarang undang-undang bagi wilayah ini. Kumpulan hak asasi manusia sudah lama menegaskan bahawa sistem undang-undang yang dilaksanakan ke atas rakyat Palestin dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat adalah bersifat double standard. Rakyat Palestin hidup di bawah undang-undang tentera sementara pendatang haram berada di bawah undang-undang sivil Israel, sekali gus mewujudkan dua sistem berbeza di wilayah yang sama.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk ketika memberi respon kepada kelulusan undang-undang baharu ini berkata,
“Amat mengecewakan bilamana undang-undang ini telah diluluskan oleh Knesset. Bahkan ia jelas menimbulkan kebimbangan serius mengenai pelanggaran proses perundangan, selain bersifat diskriminatif dan ianya mesti dibatalkan segera.”
Turk menekankan bahawa ianya jelas-jelas bercangggah dengan kewajipan undang-undang Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuklah hak asasi manusia untuk hidup.
Dengan kelulusan undang-undang yang boleh menamatkan bila-bila masa sahaja nyawa rakyat Palestin yang berkemungkinan besar tidak bersalah di penjara rejim, ianya sekali gus menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan keluarga tahanan.
Pada hari yang sama, selepas rejim Israel mengumumkan kelulusan undang-undang tersebut, keluarga para tahanan turun beramai-ramai di Ramallah mengadakan protes menuntut agar undang-undang hukuman mati itu dibatalkan. Ianya jelas, keadaan anak serta keluarga mereka yang ditahan sebelum ini sudah pun sedia membimbangkan di penjara rejim, apatah lagi setelah berita yang bagaikan kilat menyambar ini diumumkan.
Muhammad Omar, salah seorang keluarga tahanan Palestin berkongsi detik ketika rumahnya diceroboh masuk secara ganas oleh tentera rejim Zionis sekitar jam 1.30 pagi. “Mereka menyerbu masuk ke rumah sebelum mereka menyeret keluar anak perempuan saya dengan menarik keras rambutnya sambil memaki hamun. Kami langsung tidak sempat memberinya tudung atau pakaian yang sesuai untuk menutup auratnya.” katanya. Beliau dan isterinya hanya sempat melemparkan hijab kepada anak perempuannya itu sebelum diseret keluar dan hilang dari pandangan.
Detik yang terlalu menyakitkan bagi seorang ayah, menyedari dirinya tidak berdaya melindungi bahkan mempertahankan anak perempuan yang selama ini dijaga dan disayangi, ditahan dan diperlakukan dengan sebegitu kasar sekali oleh pihak musuh. Pun begitu, ujarnya, beliau dan keluarga sentiasa mengirimkan surat kepada anak perempuannya itu di penjara, berpesan agar sentiasa kuat dan turut meluahkan rasa bangga dengan dirinya semata-mata hanya untuk memastikan anak perempuannya itu tidak bersikap lemah dan putus asa melalui hari-hari sukar di penjara rejim.
Hakikatnya, hari ini bukan hanya Muhammad Omar yang sedang merisaukan anak tersayang yang ditahan di penjara rejim. Ada ribuan ibubapa Palestin dan ahli keluarga lain yang sedang memikul rasa berat yang sama. Ada yang berpuluh tahun menanti ahli keluarga dibebaskan. Namun hari ini, penantian panjang tersebut bertukar menjadi realiti paling pahit apabila ada daripada mereka terpaksa menerima hakikat bahawa kemungkinan hayat keluarga mereka yang ditahan hanya akan berakhir di tali gantung.
Sebagaimana bekas tahanan yang dibebaskan selalu menekankan kepada dunia agar segera bangkit dan bersuara demi membebaskan tahanan lain yang masih di penjara rejim, demikianlah yang sama seharusnya kita lakukan. Perhatian dunia terhadap mereka yang berada di balik jeriji ini juga perlu disuarakan kerana isu tahanan dan isu Palestin bukanlah isu terpisah. Hanya saja selama ini suara mereka tidak didengari. Kebebasan mereka bukanlah sekadar perjuangan individu, tetapi cerminan nilai kemanusiaan yang kita pilih untuk dipertahankan.
Adakah bilangan mereka juga akan terus berlalu, sekadar menjadi angka-angka biasa lain yang tidak lagi dipedulikan?