Sumud Gaza: Keteguhan Strategik dan Perang Melemahkan Musuh

Pada 7 Mei lalu, seluruh Gaza berdukacita atas pemergian Azzam Khalil al-Hayya. Beritanya mula tersebar ke banyak portal berita, menandakan kesyahidannya yang sangat memberi kesan kepada umat dunia. Azzam merupakan anak kepada seorang pemimpin kanan merangkap ketua delegasi rundingan bagi HAMAS, Khalil al-Hayya. Azzam difahamkan syahid susulan kecederaan yang dialaminya selepas satu serangan udara rejim Zionis Israel yang menyasarkan beliau bersama sekumpulan orang awam di kawasan al-Daraj, timur bandar Gaza.
Sepanjang tempoh konflik yang sedang berlangsung, Azzam merupakan anak keempat kepada Khalil al-Hayya yang gugur syahid selepas adik beradiknya yang lain, Hamzah al-Hayya (2008), Usamah al-Hayya (2014) dan Himmam al-Hayya (2026). Peristiwa ini secara tidak langsung mencerminkan strategi rejim Zionis Israel yang menggunakan ‘rundingan berdarah’ dan tekanan ketenteraan sebagai alat politik. Rejim Israel sebelum ini turut menggunakan cara yang sama terhadap as-syahid Ismail Haniyeh apabila berjaya mengorbankan tiga orang anak beliau bersama beberapa orang cucunya ketika fasa kritikal rundingan berlangsung semasa Operasi Taufan al-Aqsa.
Namun, apa yang menjadikan pembunuhan Azzam begitu signifikan bukanlah semata kerana sisi kemanusiaannya yang tragis, tetapi juga implikasinya yang strategik. Seperti yang kita ketahui, serangan yang dilancarkan oleh pihak rejim Zionis Israel berlaku ketika Khalil al-Hayya sedang memberi tumpuan sepenuhnya pada proses rundingan gencatan senjata yang berlangsung di Kaherah. Oleh itu, serangan tersebut dilihat bukanlah satu kebetulan, sebaliknya sebahagian daripada corak tindakan tentera rejim yang sengaja cuba membentuk tekanan baharu dalam rundingan melalui siri pembunuhan bersasar. Serangan ini juga bertujuan melemahkan semangat delegasi perunding dengan menyasarkan ahli keluarga terdekat, yang merupakan perkara yang paling bernilai bagi mereka setelah gagal memaksa perubahan pendirian politik mereka.
Justeru, pembunuhan keempat-empat anak Khalil al-Hayya perlu dilihat dalam konteks strategi yang lebih besar, bukan sekadar satu insiden terpencil.Sejak pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran pada penghujung Julai 2024, strategi ketenteraan rejim Israel dilihat semakin jelas. Pembunuhan itu berlaku selepas beberapa anak beliau terbunuh dalam serangan di Gaza. Corak sama turut dilihat menerusi cubaan membunuh beberapa pemimpin HAMAS yang lain, termasuk Khalil al-Hayya di Doha pada September 2025. Serangan itu turut mengorbankan anak beliau, Himmam al-Hayya, yang merupakan saudara kembar kepada Azzam al-Hayya.
Menurut penulis, pihak rejim Israel menyedari bahawa mereka menemui jalan buntu dalam mematahkan delegasi rundingan melalui tekanan politik dan taktik rundingan semata-mata, lalu beralih kepada pendekatan menyasarkan ahli keluarga dan kehidupan peribadi para pemimpin gerakan. Meskipun pihak rejim mendakwa Azzam bukanlah sasaran penting, namun kenyataan itu jelas-jelas menunjukkan percanggahan dalam pendirian mereka sendiri, selain membawa mesej tersirat kepada delegasi rundingan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran selagi mereka terus berpegang kepada prinsip perjuangan mereka.
Realitinya, butiran babak sebenar tidak boleh diterjemahkan hanya di meja rundingan semata tetapi juga melalui dua proses yang bergerak selari. Iaitu yang pertama adalah melalui jalan diplomatik sebagaimana yang berlangsung di Kaherah, Mesir dan Doha, Qatar, yang menyaksikan delegasi perunding membincangkan syarat gencatan senjata serta penyusunan semula pasca perang bersama pihak pengantara. Jalan kedua pula melibatkan aspek ketenteraan dan psikologi di bumi Gaza, di mana rejim Zionis dilihat cuba menterjemahkan setiap perkembangan di meja rundingan kepada harga yang perlu ‘dibayar’ dengan darah rakyat di lapangan.
Walaupun strategi berganda sebegini bukanlah satu perkara baharu, tetapi dalam konteks dan peringkat ini, ia telah mencapai kemuncak keberkesanannya. Memahami corak rundingan dan tindakan lapangan HAMAS memerlukan kefahaman tentang struktur pemikiran strategik dalam kepimpinan sekali gus pembuat keputusan gerakan itu. Hal ini kerana ianya berbeza secara asas daripada logik politik pihak lain dalam pertimbangan yang sama. HAMAS dicirikan oleh ideologi yang berakar umbi dan sejarah perjuangan yang panjang; bukan sekadar parti politik yang berunding demi keuntungan sementara.
Selain itu, dalam prinsip HAMAS sendiri ada garis merah yang tidak boleh dilanggar apatah lagi dikompromi walau apa jua sebabnya. Ianya termasuklah, tindakan melucutkan/menyerahkan senjata, menerima idea projek pengusiran rakyat Palestin atau melepaskan legitimasi perjuangan bersenjata. Bagi HAMAS, perkara tersebut dianggap sebagai prinsip asas yang tidak tertakluk kepada keanjalan rundingan. Malah ianya berkait rapat dengan identiti dan kewujudan gerakan itu sendiri. Oleh itu, mentafsirkan pendekatan HAMAS di meja rundingan sebagai tanda kelemahan atau perpecahan dalaman, bermakna kita gagal memahami struktur dalaman gerakan ini.
Dalam masa yang sama, pendekatan taktikal HAMAS pada peringkat ini dilihat bukan sebagai perjudian politik, sebaliknya sebagai sebahagian daripada pelaksanaan kesabaran strategik (Strategic Patience) yang dikira secara pragmatik. Strategi ini bertujuan memberi ruang masa untuk membina semula keupayaan dan menyusun semula kedudukan pasukan, sambil mengekalkan tahap minimum pertempuran agar gerakan boleh terus kekal relevan tanpa terdedah kepada serangan yang boleh menamatkan segalanya pada waktu begini. Berbekalkan pengalaman lepas yang strategik, HAMAS masih menjadikan pengunduran tentera rejim Israel dari Gaza pada tahun 2005 sebagai pengalaman penting yang membentuk keyakinan bahawa tekanan berterusan dan perang pelumpuhan (War of Attrition) mampu mengubah keseimbangan konflik, meskipun berdepan musuh yang lebih kuat dari sudut ketenteraan.
Oleh kerana itu, ‘diamnya’ HAMAS dalam tempoh semasa di lapangan boleh difahami sebagai sebagai fasa pemulihan dan penyusunan semula kekuatan, sebelum menunggu masa yang sesuai untuk titik kritikal yang tepat bagi melancarkan serangan yang memberi kesan berimpak/signifikan terhadap pihak musuh. Pun begitu, persekitaran semasa jauh lebih kompleks berbanding sebelum tahun 2005. Rejim Israel kini menganggap rangkaian terowong HAMAS sebagai satu struktur besar dan mendalam yang menjadi asas pertahanan utama mereka di Gaza. Ianya sekali gus menjadikan faktor masa amat penting bagi HAMAS untuk membina semula keupayaan mereka.
Namun begitu, pertaruhan sebenar rejim Israel ketika ini dilihat tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada kemenangan ketenteraan secara langsung. Setelah hampir dua tahun setengah tekanan berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda keruntuhan dalam barisan kumpulan pejuang Palestin, khususnya HAMAS, rejim Israel dilihat cuba memecahkan sokongan rakyat terhadap gerakan penentangan dengan memisahkan masyarakat awam Gaza daripada gerakan perjuangan tersebut serta meletakkan HAMAS sebagai pihak yang dipersalahkan terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku.
Walau bagaimanapun, rejim Israel silap besar dalam memahami corak sokongan rakyat terhadap gerakan pejuang di Gaza. Hal ini kerana, realitinya ia tidak hanya sekadar bersifat politik, tetapi ia adalah sebahagian daripada identiti dan kewujudan masyarakat Palestin itu sendiri. Hampir setiap keluarga di Gaza masing-masing memiliki roh perjuangan atau ahli keluarganya sendiri adalah anggota pejuang. Justeru, ini menjadikan idea untuk memisahkan rakyat daripada idea gerakan pejuang seolah-olah memisahkan seseorang daripada identitinya sendiri.
Selain itu, kepungan yang dikenakan ke atas Gaza sejak tahun 2007 telah melahirkan sebuah generasi rakyat yang membesar dalam suasana kecekalan dan ketahanan sebagai satu perkara yang normal, bukannya luar biasa. Dalam masa sama, alternatif yang ditawarkan kepada rakyat Palestin seperti pengusiran paksa atau menyerah diri, dilihat ditolak secara total kerana dianggap mengancam kewujudan mereka sebagai sebuah bangsa.
Realitinya, bahaya sebenar yang dihadapi oleh strategi Zionis terletak pada perkara yang tidak mampu mereka musnahkan hanya melalui serangan bom mahupun serangan ketenteraan, iaitulah proses pembentukan semula identiti dan semangat perjuangan masyarakat Palestin. Kerana semangat dan identiti ini terus dipupuk melalui kelas-kelas hafazan dan pengajian al-Quran yang masih diteruskan di masjid-masjid yang telah musnah akibat perang, selain usaha-usaha masyarakat sendiri untuk membina semula kehidupan meskipun dengan kemampuan yang sangat terhad. Dalam konteks ini, masjid justeru dilihat bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga institusi utama yang membentuk semula ketahanan dan semangat juang mereka.
Oleh itu, bentuk pembentukan identiti seperti ini berupaya menghasilkan pegangan yang lebih kukuh berbanding hubungan politik biasa, kerana ia berkait rapat dengan unsur akidah dan keyakinan terhadap pegangan agama. Apabila kepercayaan dikaitkan secara langsung dengan pengorbanan dalam kehidupan seharian, ia menjadi jauh lebih sukar untuk dipatahkan hanya melalui tekanan ketenteraan. Hal ini juga dapat dilihat melalui pengalaman sejarah lalu, termasuk semasa penjajahan Perancis ke atas Algeria, apabila pemusnahan institusi agama dan sosial tidak melemahkan identiti perjuangan rakyat. Sebaliknya melahirkan generasi yang lebih kuat dalam usaha pembebasan.
Namun begitu, corak pembentukan seperti ini sebenarnya melahirkan identiti yang jauh lebih mendalam dan kukuh berbanding pembentukan atas dasar politik lain. Kepercayaan terhadap satu-satu perjuangan yang didasari oleh ideologi menjadikan seseorang sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan dan memastikan perjuangan itu terus bertahan. Apabila keimanan dan pengorbanan diterjemahkan dalam kehidupan nyata, bukan sekadar dibaca dari buku atau disebut dalam ceramah-ceramah, ia justeru menjadi sesuatu yang amat sukar untuk dihancurkan atau dileraikan. Sejarah juga berulang kali membuktikan bahawa pemusnahan struktur fizikal tidak semestinya mematahkan identiti sesebuah masyarakat. Malah kadangkala menjadikannya lebih kuat. Misalnya apa yang kita boleh lihat, bagaimana tindakan penjajah Perancis merobohkan masjid-masjid di Algeria yang kemudian menatijahkan kelahiran generasi pejuang revolusi yang lebih teguh.
Senario yang paling mungkin berlaku pada peringkat ini adalah apa yang boleh digambarkan sebagai kebuntuan strategik terbuka. Dalam keadaan ini, perang dijangka berterusan pada tahap intensiti yang lebih rendah, sementara rejim Israel terus melaksanakan operasi pembunuhan bersasar secara berterusan tanpa wujudnya sebarang prospek politik yang benar-benar jelas. Pun begitu, ada tiga faktor yang berpotensi memecahkan kebuntuan tersebut.
Faktor pertama: Isu Iran dan Greenlight Amerika Syarikat
Faktor pertama dilihat sebagai perkembangan paling berbahaya dan sukar diramal kesannya. Ia merujuk kepada kemungkinan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang memberikan greenlight kepada kerjasama ketenteraan bersama rejim Israel bagi meneruskan operasi ke atas Iran sekiranya rundingan yang berlangsung di Oman dan Pakistan gagal mencapai sebarang penyelesaian.
Dalam masa yang sama, konflik ketenteraan yang berterusan antara rejim Israel dan Hizbullah di Lubnan turut menambah tekanan terhadap perkiraan dan penyusunan strategik pihak rejim. Penglibatan rejim Israel dalam peperangan pelbagai medan secara serentak akan memaksanya menyusun semula strategi tekanan ketenteraan. Sekiranya senario ini berlaku, tumpuan ketenteraan pihak rejim dijangka akan terbahagi kepada beberapa medan konflik, sekali gus mengurangkan tekanan ke atas Gaza dan memberikan HAMAS tempoh masa lebih panjang untuk membina semula keupayaannya. Keadaan ini selari dengan pendekatan kesabaran strategik HAMAS yang secara tidak langsung bergantung kepada perluasan konflik serantau sebagai faktor yang boleh mengurangkan tekanan ke atas mereka.
Faktor kedua: Ketegangan di Tebing Barat
Situasi di Tebing Barat juga dilihat sebagai antara titik pergolakan paling tidak menentu dalam fasa seterusnya, selain Gaza. Keadaan ini didorong oleh ketegangan berterusan di sana susulan peningkatan operasi kumpulan pendatang haram Israel yang mendapat perlindungan pasukan pendudukan, selain pencerobohan berulang ke atas Masjid al-Aqsa. Dalam masa yang sama, pengaruh Pihak Berkuasa Palestin (PA) turut dilihat semakin lemah. Situasi ini berlaku selari dengan kemunculan kumpulan penentangan yang digerakkan oleh golongan belia di beberapa kawasan di utara Tebing Barat.
Namun begitu, ancaman penggunaan dron di Tebing Barat juga kini menjadi kebimbangan utama dalam konteks keselamatan rejim. Buktinya, mereka telah merampas ratusan dron milik rakyat Palestin yang telah diubah daripada fungsi asalnya menjadi dron serangan berani mati atau kamikaze. Perkembangan ini dianggap mampu mewujudkan ancaman strategik terhadap keselamatan rejim serta memaksanya meningkatkan penggunaan sumber keselamatan dan ketenteraan bagi mengesan lokasi dron-dron berkenaan.
Keadaan ini berlaku susulan kegagalan usaha tentera rejim dalam mengawal penyeludupan dron masuk ke wilayah Palestin merentasi sempadan, yang dibawa masuk melalui pelbagai cara dan kaedah termasuk menggunakan alasan kegunaan untuk fotografi dan tujuan umum yang lain.
Dalam konteks yang sama, peningkatan ketegangan di Tebing Barat juga berpotensi membuka satu lagi medan konflik baharu buat rejim Israel, dengan bentuk muka bumi dan cabaran jauh berbeza daripada Gaza. Situasi ini dijangka boleh memecahkan tumpuan tentera rejim dan mengubah semula keseimbangan kuasa dalam keseluruhan landskap konflik Palestin.
Kesimpulan:
Analisis strategik terhadap situasi semasa menunjukkan bahawa strategi tentera rejim Israel dibina atas andaian yang salah, iaitu kepercayaan bahawa tekanan ketenteraan dan ‘senjata’ kemanusiaan akan membawa kepada lunturnya semangat perjuangan atau perpecahan dalam struktur gerakan penentangan. Namun, andaian itu dilihat mengabaikan faktor paling mendalam dalam persamaan konflik ini, iaitu kemampuan HAMAS dan sokongan rakyatnya yang memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh tentera konvensional lain, iaitu keupayaan melahirkan ketahanan (sumud) daripada realiti bencana yang mereka hadapi.
Pada ketika ini, keseluruhan persamaan konflik dilihat terbentuk daripada gabungan beberapa faktor utama: iaitu strategi kesabaran berstrategik HAMAS yang tersusun, sokongan rakyat yang berasaskan identiti kewujudan yang tidak mudah dipatahkan melalui genosid atau ancaman, mekanisme pembentukan semula identiti perjuangan di tengah kemusnahan, kemungkinan penglibatan rejim Israel dalam perang serantau pelbagai medan, serta keadaan Tebing Barat yang boleh meledak pada bila-bila masa. Kesemua faktor ini menjadikan kemenangan mutlak dari sudut ketenteraan semakin sukar dicapai, seolah-olah menjadi bayangan yang semakin menjauh setiap kali cuba didekati.
Lalu pada akhirnya, persoalan yang tersisa yang masih belum terjawab oleh ‘mesin perang’, bagaimana mungkin mereka mahu menewaskan pihak musuh yang melihat kematian hanyalah sebagai sebuah permulaan kepada kemenangan yang tidak berkesudahan? Inilah soalan pertama yang paling mencabar strategi pihak rejim, sekali gus menjadikan situasi di Gaza jauh lebih rumit daripada apa yang mampu dijelaskan melalui mana-mana taktikal ketenteraan biasa.
Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal