All Articles

Sumud dan Al-Quran: Inspirasi dari Balik Jeriji Besi Penjara Rejim

Written by
Lia Maryam
Published on
December 31, 2025

Masih ingatkah lagi, ketika gencatan senjata yang dicapai awal Oktober lalu memasuki hari ketiga, masyarakat dunia dikejutkan dengan berita kesyahidan seorang wartawan Gaza, Saleh al-Ja’farawi selepas Anas al-Sharif gugur terkorban? As-Syahid yang berusia 28 tahun difahamkan telah ditembak mati pada malam Ahad ketika sedang membuat liputan media di Tal el-Hawa, kawasan terkesan akibat serangan bom tentera rejim di barat bandar Gaza. As-syahid menjadi sasaran serangan tembakan ketika pertempuran bersenjata berlaku melibatkan mujahidin HAMAS dan anggota kumpulan pengkhianat, Doghmush yang dipercayai bekerjasama dengan rejim Israel di lokasi yang sama. 

Setakat 25 Ogos 2025, sekurang-kurangnya 278 orang wartawan atau pengamal media direkodkan syahid terkorban sepanjang tempoh Operasi Taufan al-Aqsa sejak 7 Oktober 2023 menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Al Jazeera.

Kisah kesyahidan Saleh mendapat perhatian ramai warga dunia kerana hari kesyahidan beliau adalah hari yang sama di mana penduduk Gaza berkumpul meraikan kumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan hasil daripada perjanjian gencatan senjata. Menariknya, salah seorang daripada kalangan tahanan yang dibebaskan adalah abang kepada Saleh, Sheikh Naji al-Ja’farawi. 

Bayangkanlah, ketika seorang abang yang telah 20 bulan lebih berada dalam tahanan penjara rejim, merindukan untuk pulang menemui anak dan keluarga, dibebaskan hanya untuk mengetahui adik kesayangannya telah syahid. Lebih memilukan, berita kesyahidan Saleh itu sampai ke telinganya hanya sejam sejurus beliau dibebaskan. Namun, apa yang patut kita perhatikan daripada peristiwa ini adalah, bagaimana respon beliau pada saat itu yang mencerminkan sosok manusia biasa, namun dengan keimanan yang luar biasa!


.. وَقَدْ أَحْسَنَ بِي إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ .. 

Dan sesungguhnya Dia telah berbuat baik kepadaku ketika Dia mengeluarkanku dari penjara.” - Surah Yusuf, 100. 


Ketika diwawancara oleh platform media Sotour, Naji mengulangi ayat ini berulang kali. Ayat ini secara ringkasnya menceritakan tentang kisah ketika Nabi Yusuf AS menyebut kalimah السجن (penjara) tetapi tidak menyebut بئر (perigi) agar tidak mengaibkan saudara-saudaranya. Tidak mengungkit kesalahan saudara-saudaranya yang telah menganiayai baginda setelah baginda memaafkan mereka dengan kata-kata:


قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ

Dia (Yusuf) berkata: "Tidak ada cercaan terhadap kamu pada hari ini.” - Surah Yusuf, 92


Baginda tidak berkata ‘dari perigi’ namun menggunakan istilah ‘dari penjara’, sebagai tanda kemuliaan akhlak, agar tidak mengungkit kesalahan saudara-saudaranya. Baginda mengajarkan kita akhlak para qudwah. Mereka yang memilih untuk memaafkan, bukan membalas dendam (Tafsir al-Qurtubi). Ayat ini mengajarkan kita bahawa sesiapa yang Allah kurniakan nikmat selepas satu kesusahan, kefakiran dan keadaan yang sulit, hendaklah dia mengakui dan mengingati nikmat Allah itu, agar setiap ingatannya melahirkan rasa syukur yang lebih mendalam.

Sheikh Naji ketika ditemu bual, beliau menyebutkan, “Allah itu sungguh telah berlaku baik padaku, dengan mengeluarkan aku dari penjara (yang penuh seksaan dan penderitaan), mengembalikan aku kepada keluargaku dan mengumpulkan aku bersama mereka semula, sebagaimana Allah telah mengumpulkan Yusuf AS dengan Ya’kub AS dan keluarganya. Demi Allah, tidak ada seorang pun boleh membayangkan bagaimana keadaan di dalam penjara, hatta menggambarkannya melalui lisan.”

Sambungnya lagi, “Hendaklah kalian semua mendoakan setiap seorang tahanan yang masih lagi ditahan di dalam penjara rejim. Mereka diseksa. Tangan mereka diikat, mata mereka ditutup dan mereka diposisikan dalam keadaan duduk setiap hari selama 18 jam, lebih seratus hari.”

Nama Naji al-Ja’farawi mula tersebar luas setelah kisah penahanannya ketika di dalam penjara rejim Israel, pengalaman dan penyeksaan yang dilaluinya dikongsikan di laman media sosial. Al Jazeera misalnya sempat menemu bual beliau bertanyakan kisah dan pengalamannya semasa di dalam tahanan. Namun, apa yang ingin disampaikan melalui artikel ini bukanlah tentang kisah bagaimana dahsyatnya kezaliman yang mereka hadapi dan penyeksaan demi penderitaan di tangan jijik rejim Zionis. Sebaliknya kisah ini mengajarkan kita bahawa dengan mengubah sudut pandang — dari melihat penjara sebagai tempat paling azab, kepada satu ruang yang melahirkan rasa lapang — hasil daripada momen-momen indah yang dinikmati tahanan melalui kalamullah, Al-Quran dalam hari-hari mereka di dalam penjara.

Naji sebelum ini merupakan salah seorang imam yang bertugas di Masjid Sheikh Zaid di semenanjung Gaza. Beliau merupakan calon sarjana Fiqh Perbandingan di Universiti Islam Gaza. Beliau dan adiknya dikenali oleh rakyat Gaza kerana bacaan qurannya yang merdu dan sering menjadi imam solat Tarawih sewaktu bulan Ramadan. Meskipun sibuk dengan kerja hakiki mereka, misalnya as-syahid Saleh sebagai seorang pelajar dan wartawan manakala Naji menjawat jawatan sebagai Pengarah Perhubungan Awam dan Media di Darul Quran dan al-Sunnah di Gaza serta berperanan sebagai imam masjid — mereka tidak pernah meninggalkan peranan utama mereka sebagaimana yang dididik oleh ibunya sedari kecil, iaitu peranan menghidupkan Al-Quran di masjid-masjid. 

Kisah lain yang turut dikongsikan beliau ketika diwawancara oleh Al Jazeera Mubasher adalah bagaimana beliau mencari cara agar kesemua tahanan yang bersama-sama beliau boleh membaca dan memanfaatkan masa dengan menghafal Al-Quran. Pada waktu itu, tahanan yang duduk satu sel bersama beliau ada dalam sekitar sepuluh orang. Kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan cedera dan hanya menerima rawatan dengan ubat-ubatan minima akibat penindasan dan kekerasan oleh pihak penjara rejim. Majoriti tahanan hanya dibekalkan dengan ubat sapu dan krim dalam bentuk tiub.

Apa yang mereka lakukan adalah, setiap sel yang ada daripada kalangan mereka seorang hafiz (penghafal Al-Quran), mereka akan menulis ayat-ayat Al-Quran di dinding-dinding sel tersebut menggunakan bucu tajam tiub-tiub ubat krim yang ada. Ayat demi ayat, surah demi surah dan kemudian tahanan-tahanan yang lain mula membaca dan menghafal daripada tulisan-tulisan di dinding tersebut.

Ada juga sebahagian daripada kalangan tahanan yang buta huruf dan mereka tidak pandai membaca. Namun apa yang menakjubkan adalah mereka berjaya ‘membaca’ keseluruhan Al-Quran hanya melalui cara mendengar bacaan rakan tahanan yang lain dan mengulang-ulang bacaan bersama ketika di penjara. Tambah Naji, beberapa tahanan yang beliau kenali berjaya menghafal lebih sepuluh juzuk Al-Quran dengan cara yang sama — mendengar bacaan dan mengulanginya secara lisan bersama tahanan lain, tanpa merujuk kepada mushaf. Mereka banyak menghabiskan masa duduk bersama, menghafal Al-Quran dan membacakan ayat demi ayat kepada tahanan yang lain, sehingga mereka berjaya menghabiskan hafalan surah tersebut. Bahkan juzuk berjuzuk. Setiap hari satu muka surat. Mereka bergilir-gilir membacanya di lisan sehingga selesai satu surah dan kemudian disambung dengan surah-surah seterusnya. 

Satu kisah lain pula yang dikongsikan Naji adalah ketika mana mereka memanfaatkan soket-soket elektrik yang ada, yang menghubungkan antara sel-sel di penjara tersebut.  Mereka membacakan ayat-ayat Al-Quran melalui soket tersebut, dan tahanan di sel bersebelahan dapat mendengar melalui corong soket, lalu turut mengulanginya bersama. Juga melalui kaedah yang sama, iaitu kaedah talkin. Lebih mengagumkan, seorang tahanan yang beliau kenali di penjara berjaya menghabiskan bacaan penuh surah al-’Araf dan menghafalnya hanya melalui cara ini! 

Terdapat beberapa kisah lain yang turut dikongsikan tentang bagaimana mereka cuba mencari cara yang pada akhirnya setiap orang di dalam penjara tersebut boleh membaca dan menghafal Al-Quran walau tanpa mushaf di hadapan. Mereka mencuba pelbagai cara untuk mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran secara bertulis, baik di dinding mahupun di cebisan kain-kain pakaian mereka supaya ianya tidak hilang dan boleh dibaca bagi mereka yang belum menghafalnya. 

Demikianlah kehidupan para tahanan Palestin di penjara. Kehidupan mereka bersama Al-Quran. Mereka pernah merasakan bagaimana manisnya Al-Quran sehingga mustahil untuk mereka ‘meninggalkan’ Al-Quran. Dan kemanisan ini hanya akan hadir ketika seseorang itu berjaya melazimi Al-Quran dalam kehidupannya. Melazimi dalam konteks bukan hanya membacanya, tetapi juga memahami makna-makna dan sirah-sirah di sebalik penurunan ayat-ayatNya. Justeru sebaik-baik cara adalah dengan memahami apa yang dibaca. Kerana Al-Quran bukan diturunkan hanya untuk difahami ketika waktu lapang dan bahagia sahaja. Tetapi ianya untuk dipegang dan difahami ketika waktu-waktu sukar dan berat.

Sheikh Naji di akhir sesi wawancara tersebut, ketika dilontarkan soalan, apakah ada ayat yang pernah dibacanya ketika di dalam penjara yang membuatnya yakin akan dibebaskan dan Gaza akan mencapai kemenangan? Kemudian disambung dengan pertanyaan tentang bagaimana cara beliau menghadapi dan bertaammul dengan situasi-situasi sukar dan ketika beliau hilang keyakinan ketika di dalam penahanan rejim.

Jawabnya bersahaja, apa yang menguatkan dan membolehkannya bertahan teguh meskipun diseksa dan ditekan di dalam penjara, bahkan pernah mencapai titik terendah di dalam hidupnya — adalah refleksi daripada kisah Nabi Yusuf AS di dalam surah Yusuf. Beliau pernah sampai di satu fasa dan berdepan siri penyeksaan yang menurutnya pada saat itulah yang paling berat. Apa yang dilakukannya adalah beliau membaca surah Yusuf setiap hari. Surah Yusuf dipilih kerana padanya, surah itu telah membuatkan hatinya tenang dan terasa begitu lapang meskipun di bawah tekanan yang dahsyat.

Surah Yusuf yang dibacanya ketika di dalam penjara telah mengilhamkannya satu makna baharu yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini. Meskipun sebelum ini beliau tahu dan beratus kali mentadabburi surah Yusuf, tetapi sebahagian besar makna surah Yusuf disingkapinya hanya ketika beliau berada di dalam tahanan penjara. 

Bagaimana Yusuf AS sentiasa bersangka baik dan tidak berputus asa terhadap Tuhannya meskipun dipenjarakan kerana fitnah. Demikianlah apa yang dilihat Naji. Baginya, apa yang menguatkan Yusuf AS dalam mendepani hari-hari ketika dipenjara adalah hal yang sama yang patut diyakini dan diamalkannnya pada ketika itu kerana mereka berdua serupa, hanya manusia biasa. Namun yang mengukuhkan kedudukan mereka hanyalah keimanan terhadap janji-janji Allah iaitu melalui kalam-Nya. Justeru, beliau percaya selagi mana beliau hidup dan mengimani apa yang dibacanya di dalam surah Yusuf, Allah pasti akan bukakan jalan keluar. Surah ini telah memberinya panduan bagaimana cara untuk bereaksi dengan situasi-situasi sukar yang dihadapinya pada saat itu.

Justeru, ketenangan dan kelapangan yang dirasainya ketika mentadabbur surah Yusuf ini telah meneguhkan kesabarannya serta menguatkan keyakinannya. Dan rasa yang sama inilah beliau berbagi dengan rakan-rakan tahanan yang lain agar mereka saling menguatkan sesama mereka. 

Model yang dipamerkan pada kita melalui sosok ini mengajarkan bagaimana Al-Quran bukan sahaja dilantunkan oleh mereka melalui lisan, di saat mereka dihalang daripada membacanya melalui mushaf. Namun, lihatlah bagaimana kesungguhan mereka — berusaha menghidupkan ayat-ayat yang dibaca sehingga menyuburkan harapan untuk mereka semua terus bertahan hidup. 

Seorang wartawan Palestin, Yusuf Syaraf berkata, “Sheikh Naji al-Ja’farawi yang merupakan seorang imam masjid dan saudara kepada as-syahid Saleh al-Ja’farawi telah dibebaskan dari tahanan sebagaimana yang kami kenali; yang tetap teguh, tersenyum, membawa Al-Quran dalam suaranya dan tanah air di matanya. Aku berkata kepadanya sambil berjabat tangan, ‘Wahai Naji, ketika engkau di penjara, engkaulah khatib yang menghidupkan hati-hati para tahanan dan hari ini engkau sendiri adalah khatib yang menjadi model kesabaran itu.”

Tidak semua pembebasan mereka dari penjara itu adalah kegembiraan. Ada yang dibebaskan hanya untuk keluar dan menerima berita kesyahidan  ahli keluarga, rakan-rakan karib, rumah kediaman yang telah musnah dibom sehingga tidak ada apa lagi yang tersisa. Walaupun begitu, ramai daripada mereka yang keluar dengan jiwa dan semangat baharu seolah-olah selepas keluar dari sebuah madrasah yang mereka lalui dengan merasai manisnya hidup bersama kalamullah. Mereka keluar dengan minda yang lebih cekal dan bersedia membangunkan semula generasi berbaki untuk sebuah Gaza yang merdeka. 

Mereka tidak keluar dari penjara melainkan mereka telah menjadi seorang yang lebih akrab dengan Allah. Ujar Naji, “Tidak ada satu perkara pun di dalam penjara yang boleh menghiburkan dan menenangkan aku, melainkan Al-Quran.”

Artikel analisis wawancara antara Sheikh Naji al-Ja’farawi dengan Al Jazeera Mubasher.

Rujukan wawancara: 

https://www.youtube.com/watch?v=FeDrtdUF8Ww&t=1567s 

https://www.instagram.com/reel/DP9dt68jD54/?hl=en 

Rujukan lain: https://www.aljazeera.com/news/2025/10/12/palestinian-journalist-saleh-aljafarawi-shot-dead-in-gaza-city-clashes