All Articles

Strategi Pembunuhan Bersasar Israel dan Survival HAMAS

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
May 20, 2026


Sejak penubuhannya secara haram pada Mei 1948, entiti Israel telah beroperasi melalui pelbagai dasar demi memastikan pihak atau gerakan yang menentangnya dapat disingkirkan. Antara dasar paling nyata adalah dasar pembunuhan bersasar (assassination) yang dilaksanakan melalui pelbagai kaedah. Rejim Israel  melalui agensi perisikannya, Mossad telah menjalankan beberapa operasi pembunuhan ke atas pemimpin gerakan pejuang dengan pendekatan senyap (low-profile). Antaranya ialah serangan bunuh ke atas Setiausaha Agung dan Pengasas gerakan Palestinian Islamic Jihad (PIJ), Fathi Shaqaqi di Malta pada tahun 1990-an. Selain itu, pihak rejim juga melaksanakan operasi yang lebih terbuka dan mencuri perhatian (loud operations), seperti serangan bunuh ke atas Komander Hizbullah, Imad Mughniyeh di Syria, apabila kenderaan beliau dipasang bom dan diletupkan selepas pengesahan sasaran oleh ejen Mossad.


Walaupun banyak operasi ketenteraan dan keselamatan ini berjaya membunuh sejumlah orang pimpinan, namun hakikatnya ada banyak lagi kegagalan yang mereka hadapi dalam usaha membunuh pemimpin gerakan pejuang. Antaranya adalah percubaan membunuh Timbalan Ketua Staf Briged al-Qassam, as-syahid Ahmed al-Jabari pada tahun 2004, apabila rumah keluarga as-syahid dibom ketika beliau masih berada di dalam rumah kediamannya itu. Walau bagaimanapun, serangan tersebut gagal, namun sebaliknya mengorbankan anak sulungnya, Muhammad serta beberapa ahli keluarga yang lain.


Pun begitu, beliau akhirnya syahid terkorban kira-kira lapan tahun kemudian sewaktu kereta yang dinaikinya disasarkan dalam satu serangan di salah sebuah jalan utama di bandar Gaza pada November 2012. Serangan ini kemudiannya telah mencetuskan Operasi Hijarah al-Sijjil yang berlangsung hampir lapan hari dan menyaksikan perkembangan ketara dalam keupayaan ketenteraan kumpulan pejuang Palestin, termasuk serangan ke atas kawasan wilayah haram Israel. Kejadian ini turut mengubah dinamik konflik dan menjadikan pembunuhan bersasar di dalam wilayah semenanjung Gaza lebih berisiko tanpa terjerumus ke dalam kancah langsung perang berdepan tentera rejim. 


Sejak itu, kedua-dua pihak, baik gerakan pejuang Palestin mahupun rejim Zionis Israel beroperasi berdasarkan percaturan pertembungan tertentu, sehinggalah percaturan tersebut berjaya disaingi apabila kumpulan pejuang melancarkan serangan berskala besar dan tersusun ke atas wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1948 melalui pasukan elit mereka. Serangan itu akhirnya berjaya meruntuhkan Divisyen Gaza tentera rejim Israel dan turut menyasarkan usaha untuk menawan seramai mungkin tentera rejim.


Sebagai respons terhadap serangan itu, rejim Israel telah mengisytiharkan “state of war”, satu keadaan di mana Benjamin Netanyahu sendiri mengumumkan bahawa wilayah haram itu kini berada dalam situasi perang sepenuhnya, bukan lagi sekadar menjalankan operasi. Pengisytiharan ini walau bagaimanapun tidak pernah dilakukan sejak kali terakhir, iaitu ketika wilayah haram itu diserang oleh Mesir dan Syria dalam Perang 1973 (Perang Yom Kippur), iaitu hampir setengah abad yang lalu. Sepanjang perang tersebut, rejim Israel telah melancarkan serangan sengit menyasarkan barisan kepimpinan politik, ketenteraan dan keselamatan kumpulan pejuang di dalam mahupun di luar negara. Antara barisan pemimpin yang disasarkan termasuk tokoh kanan Hizbullah seperti Fuad Shukr, Ibrahim Aqil dan Jawad Tawil, serta beberapa orang lagi tokoh yang mempunyai sejarah panjang dalam gerakan pejuang menentang rejim Israel.


Dalam konteks yang sama, rejim Israel turut melaksanakan serangan pembunuhan terhadap tokoh politik penting Hizbullah seperti Hassan Nasrallah dan tokoh kedua tertinggi parti politik itu, Hashem Safieddine, yang dianggap sebagai calon pengganti Nasrallah sekiranya beliau dibunuh. Serangan ini dilihat sebagai satu penembusan serius terhadap struktur keselamatan Hizbullah. Namun, Hizbullah kemudiannya berusaha menyusun semula struktur kepimpinan politik, ketenteraan dan keselamatannya, selain berjaya mengembalikan keupayaannya yang telah mengejutkan pihak rejim ketika penglibatan mereka dalam perang bersama Iran menentang rejim.


Di peringkat gerakan pejuang Palestin pula, ramai pimpinan politik, ketenteraan dan keselamatan di dalam serta di luar Palestin menjadi sasaran utama rejim. Misalnya dalam gerakan PIJ, pihak rejim telah membunuh beberapa orang tokoh penting seperti Abdul Aziz al-Minawi di Syria sebelum ini. Seterusnya sepanjang Operasi Taufan al-Aqsa (7 Oktober 2023-10 Oktober 2025), pihak rejim turut menyasarkan beberapa pimpinan komander PIJ termasuklah Mohammad Abu al-Ata, saudara kepada Baha Abu al-Ata, salah seorang komander dalam sayap tentera PIJ, Saraya al-Quds, yang syahid dibunuh sebelum perang.


Sementara HAMAS pula berdepan dengan usaha pihak rejim yang berusaha untuk melemahkan struktur politik, ketenteraan dan keselamatannya melalui siri terancang pembunuhan pemimpin utamanya. Hal ini tidak lain bertujuan demi mencapai perjanjian yang memenuhi kepentingan pihak rejim di samping bagi melemahkan struktur gerakan ini melalui kepimpinan yang lemah. Justeru dalam usaha tersebut, rejim Israel telah membunuh Saleh al-Arouri di Lubnan pada awal tahun 2024 ketika as-syahid memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua HAMAS. Tidak dilupakan, Ismail Haniyeh yang turut menjadi sasaran rejim Israel, syahid pada penghujung Julai 2024 ketika rundingan gencatan senjata masih sedang aktif berlangsung. Hal ini terjadi tatkala Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu itu memilih pendekatan peningkatan serangan berbanding laluan rundingan yang berpotensi membawa kepada termeterainya gencatan senjata.


Selain itu, antara pimpinan HAMAS yang turut menjadi serangan rejim ialah Komander Kanan Briged Al-Qassam yang telah berkhidmat di posisi tersebut selama lebih tiga dekad, Mohammed Deif. As-syahid dilaporkan terkorban dalam satu serangan udara pada Julai 2024. Selain itu, beberapa lagi tokoh kanan ketenteraan turut menjadi sasaran seperti Mohammed Sinwar yang sebelum ini telah mengambil alih jawatan Ketua Briged Al-Qassam selepas Mohammed Deif dan Marwan Issa. Jurucakap ketenteraan al-Qassam yang dikenali sebagai Abu Ubaidah juga dilaporkan gugur syahid pada Ogos 2025, bersama beberapa lagi pemimpin kanan lain.


Selepas kesyahidan Ismail Haniyeh, HAMAS kemudianya melantik Yahya Sinwar sebagai pemimpin baharu gerakan itu, yang dianggap sebagai tamparan hebat kepada pihak rejim. Walau bagaimanapun, Yahya Sinwar kemudiannya turut gugur terkorban dalam sebuah serangan yang dilancarkan oleh sekumpulan tentera rejim tanpa mereka tahu identiti sebenar beliau pada awalnya sehinggalah selepas kesyahidannya. Susulan itu, HAMAS mengambil keputusan untuk tidak segera melantik seorang pemimpin tunggal baharu, sebaliknya menggantikannya dengan sistem Majlis Kepimpinan yang diketuai tokoh kanan HAMAS yang dikenali sebagai Abu Omar Hassan dalam kalangan anggota gerakan yang sama. HAMAS meneruskan pendekatan itu sehingga sumber daripada TV Al-Araby melaporkan bahawa wilayah semenanjung Gaza telah memilih ketua gerakan di dalam wilayah itu sendiri, sementara bagi jawatan Ketua Biro Politik HAMAS pula melibatkan dua calon, iaitu Khalil al-Hayya dan Khaled Meshaal.


Sebagai rekod, Khaled Meshaal pernah memimpin HAMAS selama lebih dua dekad. Dan sepanjang tempoh itu, pihak rejim pernah cuba membunuh beliau menggunakan racun ketika beliau berada di Jordan pada tahun 1990-an. Pihak rejim juga pernah beberapa kali cubaan membunuh Khalil al-Hayya, termasuk melalui serangan ke atas rumah keluarganya yang selanjutnya mengakibatkan beberapa orang anak saudara dan ahli keluarganya syahid terkorban. Fakta menarik, anak sulung Khalil al-Hayya juga sebelum ini juga gugur syahid semasa Perang Asfin Ma’kul pada tahun 2014 bersama isterinya dan beberapa orang anak mereka. Selain itu, anak keduanya pula, Hamzah dilaporkan syahid terkorban pada tahun 2008 ketika melancarkan mortar Briged al-Qassam menentang pihak musuh. 


Tidak hanya itu, sebuah lagi percubaan bunuh menyasarkan Khalil al-Hayya adalah ketika beliau serta beberapa orang pemimpin politik HAMAS berada di Doha pada September 2025 apabila lokasi mesyuarat mereka diserang ketika membincangkan cadangan Amerika Syarikat (AS) mengenai penamatan perang di Gaza. Serangan itu bagaimanapun menyebabkan anak beliau, Humam bersama pengarah pejabatnya serta beberapa anggota pengiring syahid terkorban.


Berdasarkan beberapa perkembangan yang dinyatakan di atas, kita dapat lihat bagaimana pemilihan pemimpin baru HAMAS dan penantian terhadap pengumuman rasmi kepimpinan baharu gerakan itu menunjukkan bahawa struktur politik, ketenteraan dan keselamatan HAMAS masih kekal utuh dan fleksibel meskipun ramai daripada barisan pimpinannya telah gugur sepanjang tempoh perang berlangsung ini. Pemilihan Ketua wilayah Gaza serta proses pemilihan Ketua Biro Politik HAMAS juga menunjukkan kemampuan gerakan ini untuk segera pulih dan bangkit daripada serangan dahsyat yang diterima. 


Hal ini mencerminkan bahawa HAMAS bukanlah sebuah gerakan yang bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya ia masih tetap meneruskan perjuangan meskipun kehilangan tokoh penting, sekali gus menunjukkan bahawa konsep individual-centric bukan sebahagian daripada budaya organisasinya, serta keupayaan mereka dalam mengekalkan kesatuan dalaman walau berdepan cabaran yang lebih besar.


Diterjemahkan oleh:
Lia Maryam (Penterjemah Cinta Gaza Malaysia)