All Articles

Solidariti untuk Palestin: Tidak Mahu atau Tidak Tahu?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
October 1, 2025

Tidak mahu atau tidak tahu? – satu persoalan yang acapkali berlegar di dalam kepala apabila melihat perhimpunan solidariti untuk Palestin di Malaysia suam-suam kuku sahaja jika hendak dibandingkan dengan negara luar seperti Eropah dan Jepun. 

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri – saat menatap skrin telefon membaca berita Palestin, laporan perhimpunan solidariti di negara-negara Barat kerap dipaparkan, sementara serangan di Gaza lebih banyak menghiasi tajuk utama. Namun, nama Malaysia jarang sekali muncul dalam portal berita tersebut walhal Malaysia negara yang pertama di Asia Tenggara dan yang kedua di dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, sekaligus menafikan kewujudan Israel. [1]

Menyedari permasalahan ini membawa kita kepada satu persoalan.

Tidak Mahu atau Tidak Tahu?

Isu Palestin bukan sehari dua. Ia adalah sebuah tragedi yang bermula seawal 1948 di mana Mandat British menjadi pintu kemasukan Zionis sehingga melahirkan wilayah haram Israel dan memisahkan Tebing Barat dengan semenanjung Gaza. Namun, kesedaran masyarakat Malaysia untuk mengangkat isu Palestin bermula lebih awal, sekitar tahun 1930. 

Pada ketika itu, para pelajar Malaysia di Mesir menyuarakan solidariti untuk Palestin melalui organisasi al-Jam’iyyah al-Khairiyyah [2] yang ditubuhkan pada 1923 [3]. Kemudian, di Malaysia juga sudah ada penulisan yang mengangkat solidariti untuk Palestin melalui jurnal Taman Bahagia yang ditulis oleh mantan pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dr Burhanuddin al-Helmy dalam mengangkat isu hak rakyat Palestin sebelum diharamkan British [4]. Beliau jugalah antara orang Melayu yang terlibat dalam demonstrasi menentang Perjanjian Balfour pada pertengahan 1930-an di Palestin. Kemudian, kita menyaksikan penerbitan Perang Suci di Palestin, hasil penulisan Syed Abdullah Hamid al-Edrus yang berjaya menembus pasaran Indonesia dan menarik perhatian Mufti Baitul Maqdis pada 1948 [5].

Tidak cukup dengan itu, Jawatankuasa Antipemisahan Palestin Singapura berjaya mengumpulkan 500 umat Islam dalam sebuah perhimpunan dan persetujuan 100,000 umat Islam yang menandatangani bantahan terhadap two-state solution pada Disember 1947 [6]. Lebih menarik, semangat orang Melayu dalam memperjuangkan isu Palestin di Malaysia, Singapura dan Mesir pada ketika itu mencetus idea untuk Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser menjemput pelajar Melayu di Mesir menyertai barisan sukarelawan bagi melawan kuasa barat dengan harapan para pemuda Mesir berminat untuk menyertai angkatan tentera Mesir [7].

Semangat perjuangan Palestin terus berkembang melatari pembangunan dan kemajuan Malaysia. Namun, pada hari ini, kita boleh lihat bahawa situasi sekitar 1930-an sehingga 1940-an hanya menjadi sejarah kerana ia langsung tidak mencerminkan tindakan masyarakat Malaysia untuk Palestin pada era moden. Kempen solidariti seperti perhimpunan protes dan boikot boleh dikatakan hanya bersifat sementara atau sebuah trend apabila masyarakat Malaysia mula membeli barangan boikot dan memilih untuk mendengar dan melihat tanpa tindakan. Sekiranya kita menyelam lebih dalam komuniti ‘silent reader’, trend boikot masih diteruskan secara organik berdasarkan kesedaran dan pengetahuan mereka. 

Kita lihat pula bagaimana masyarakat Malaysia memandang isu Palestin sebagai isu agama sehingga ia begitu rasa asing untuk dibualkan dengan masyarakat bukan Islam. Indikatornya mudah – penekanan isu Palestin ada jurang yang besar di antara sekolah biasa dengan sekolah jenis kebangsaan. Sekolah harian biasa dilihat lebih mesra untuk memanggil NGO-NGO Palestin untuk menyampaikan isu di Timur Tengah berbanding sekolah jenis kebangsaan yang lebih selesa mendiamkan diri. Walhal, isu Palestin melalui skop yang lebih besar adalah isu kemanusiaan dan isu geopolitik yang perlu diambil kira kerana setiap tindakan yang diambil Israel, bukan hanya mengundang reaksi Gaza, tetapi turut negara-negara sekitarnya seperti Yaman, Jordan, Lubnan, Mesir, Iraq dan Iran; begitu juga negara sekutu seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada dan negara Eropah.

Masalah kecetekan ilmu berkaitan Palestin juga berlaku di dalam komuniti revert yang memeluk Islam. Berdasarkan pengalaman penulis yang didekati oleh salah seorang aktivis dakwah, komuniti revert ini tidak faham kenapa masyarakat muslim seluruh dunia sanggup menggadaikan masa depan untuk isu Palestin. Pada hemat komuniti ini, perjuangan kemanusiaan adalah wajar kerana hak asasi rakyat Palestin telah dicarik-carik oleh Zionis. Namun persoalannya, apakah asas utama yang mendorong masyarakat Muslim untuk berjuang demi Palestin sehingga negara-negara Islam perlu campur tangan?

Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa meskipun isu Palestin mendapat liputan meluas, masih ramai yang memilih berdiam diri dan tidak benar-benar memahami apa yang berlaku. Ada yang sebenarnya faham isu di Timur Tengah tetapi lebih selesa berada dalam lingkungan sendiri. Ada juga yang enggan mengambil tahu kerana kepentingan peribadi, manakala sebahagian lagi mungkin tidak mengetahui kerana kekurangan akses terhadap maklumat berkaitan Palestin.

Malaysia mungkin negara pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi sebenarnya masih jauh perjalanan aktivis Palestin untuk mengadvokasi isu ini. 

Apa yang dituliskan melalui penulisan ini, wajar sekiranya kita mengambil masa untuk pertimbangkan perhatian kita kepada saudara lain yang turut tertindas seperti di Uighur dan Sudan. Moga Malaysia mampu menjadi negara yang sama-sama ke depan dalam mengangkat isu kemanusiaan di negara-negara yang tertindas.



[1] Musa, M. F. (2024). Malaysia’s responses to issues pertaining to Palestine (Trends in Southeast Asia No. 13/2024). ISEAS–Yusof Ishak Institute.

[2] Ibid. Nama penuh persatuan, al-Jam’iyyah al-Khairiyyah al-Talabiyyah al-Azhariyah al-Jāwah (Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawa Universiti al-Azhar)

[3] Nama penuh persatuan, al-Jam’iyyah al-Khairiyyah al-Talabiyyah al-Azhariyah al-Jāwah (Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawa Universiti al-Azhar). Dipetik daripada Haris, A. H., & Othman, M. R. (2013). Sumbangan lepasan Mesir dalam bidang pendidikan dan penulisan di Tanah Melayu dan Indonesia, 1920-an hingga 1970-an. International Journal of West Asian Studies, 5(1), 1–26. https://doi.org/10.5895/ijwas.2013.01

[4] Musa, M. F. (2024). Malaysia’s responses to issues pertaining to Palestine (Trends in Southeast Asia No. 13/2024). ISEAS–Yusof Ishak Institute.

[5] Haris, A. H. (2023). Melayu bela rakyat Palestin sejak 1930, sumbang S$14,000 pada 1949. Rencana. Berita Harian. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/10/1168370/melayu-bela-rakyat-palestin-sejak-1930-sumbang-s14000-pada-1949

[6] Haris, A. H. (2022). Isu penindasan rakyat Palestin dan reaksi orang Melayu, 1930–1950-an. Kajian Malaysia, Early View. https://web.usm.my/km/earlyView/73_KM-OA-07-21-0138.R1.pdf

[7] Ibid.