All Articles

Sidang Kemuncak Keamanan Gaza 2025: Indah Khabar Dari Rupa

Written by
Khairul Yunus
Published on
November 11, 2025


Pada 13 Oktober 2025, dunia sekali lagi menyandarkan harapan kepada sebuah meja rundingan di Sharm El-Sheikh, Mesir. Kota peranginan indah di tepi Laut Merah itu kini menjadi medan percubaan terbaharu untuk mendamaikan bumi Gaza — wilayah yang telah sekian lama tidak mengenal erti keamanan.


Di balik tabir kaca dan layar media antarabangsa, para pemimpin dunia bersidang tentang perdamaian, pembangunan semula dan keamanan sejagat. Namun bagi rakyat Gaza yang sudah hampir kehilangan segalanya, setiap ungkapan itu kedengaran seperti gema retorik yang berulang sejak Oslo, Annapolis, Madrid dan kini Sharm El-Sheikh. Sidang Kemuncak Keamanan Gaza 2025 hadir dengan janji baru, tetapi bayang lamanya masih jelas kelihatan. Ia ibarat pelan damai yang indah khabar dari rupa, penuh helah dan muslihat yang halus dari sudut syarat dan tawarannya.


20 Pelan Damai: Antara Janji dan Realiti

Sidang Kemuncak Gaza 2025 ini bertunjangkan kepada pelan damai yang mengandungi 20 perkara dan dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 29 September 2025. Pelan tersebut menggariskan dua fasa besar. Fasa Pertama yang berteraskan penghentian perang dan kemasukan bantuan kemanusian serta Fasa Kedua yang memfokuskan kepada pembentukan struktur politik, ekonomi dan keselamatan untuk Gaza.

Isi kandungannya menyentuh pelbagai dimensi, daripada pengunduran tentera Israel (Poin 3) dan pembebasan tebusan (Poin 4), kepada penubuhan ‘Lembaga Kemananan’ (Board of Peace) yang diketuai oleh Trump sendiri (Poin 9), pembangunan ekonomi (Poin 10) dan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) (Poin 15). Kesemuanya disusun dalam naratif membangunkan semula Gaza, tetapi dengan syarat bahawa Gaza mesti menjadi zon bebas keganasan (Poin 1), tanpa peranan politik HAMAS (Poin 13).


Fasa Pertama: Gencatan Senjata dan Bantuan Kemanusiaan

Fasa pertama yang kini sedang berjalan meliputi Poin 2 hingga 8 dalam pelan tersebut. Matlamat utamanya adalah menghentikan perang, memulangkan tebusan, membebaskan tahanan serta membuka ruang bagi kemasukan bantuan kemanusiaan.

Antaranya termasuklah:

  • Gencatan senjata serta pengunduran awal tentera Israel (Poin 3);
  • Pemulangan semua tebusan Israel dalam masa 72 jam selepas pengesahan perjanjian (Poin 4);
  • Pertukaran tahanan atas dasar kemanusiaan (Poin 5);
  • Pembukaan lintasan Rafah dan kemasukan bantuan antarabangsa (Poin 7 dan 8).

Langkah-langkah ini disepakati oleh Israel dan HAMAS dengan pengantaraan Mesir serta Qatar. Namun pelaksanaannya tidak seindah yang dijangkakan. Bantuan sering tertangguh dan tidak mencukupi, kawasan tertentu masih ditutup dan beberapa pertempuran kecil tetap berlaku di sempadan selatan Gaza.


Fasa Kedua: Tadbir Urus Baharu dan Perlucutan Ketenteraan

Fasa kedua, yang dirangka untuk dilaksanakan setelah gencatan senjata mencapai kestabilan, meliputi Poin 1 serta Poin 9 hingga 20 dalam pelan damai. Ia menumpukan kepada usaha menstruktur semula tadbir urus dan keselamatan Gaza sebagai asas kepada kestabilan jangka panjang.

Antara perkara yang telah digariskan adalah:

  • Penubuhan pentadbiran teknokrat Palestin di bawah pengawasan ‘Lembaga Keamanan’ (Poin 9);
  • Perlucutan senjata dan pemusnahan sepenuhnya infrastruktur ketenteraan HAMAS (Poin 13);
  • Penempatan ISF bagi melatih pasukan keselamatan Palestin (Poin 15);
  • Pelan pembangunan ekonomi dan zon perdagangan khas (Poin 10 dan 11);
  • Pengunduran menyeluruh tentera Israel dengan syarat keselamatan (Poin 16);
  • Dialog politik bagi menjamin hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri (Poin 19 dan 20).

Namun di sinilah pelan damai itu mula menemui jalan buntu. HAMAS enggan menanggalkan peranan politiknya, sementara Israel tetap berkeras tidak akan berundur sepenuhnya tanpa jaminan keselamatan mutlak. Maka, pelan yang kelihatan rapi di atas kertas mulai kehilangan maknanya di kanvas sebenar kehidupan rakyat Gaza, di mana realiti sering menundukkan idealisme diplomasi yang sering dicanang-canangkan.


Kesepakatan dan Pertikaian Dalam Perjanjian

Dalam analisis politik antarabangsa, pelan ini kelihatan hanya separuh yang  diterima oleh kedua belah pihak, sama ada pihak HAMAS atau Israel.

  • Perkara yang disepakati: gencatan senjata, pertukaran tebusan dan tahanan serta kemasukan bantuan kemanusiaan.
  • Perkara yang dipertikai: perlucutan senjata HAMAS, pengunduran penuh Israel dan pentadbiran teknokrat yang diketuai kuasa luar.

Israel agak menyambut baik pelan ini walaupun tidak seluruhnya, kerana pelan ini antaranya turut menyebut berkenaan jaminan kawalan keselamatan di bawah pengawasan antarabangsa. Pun begitu, HAMAS menanggapi pelan damai ini secara positif, dalam keadaan penuh waspada dan berhati-hati atas setiap frasa yang digunakan dalam perjanjian tersebut. Hal ini kerana, pelan ini mengandungi cubaan untuk menghapuskan kuasa politiknya. Sama ada tersirat atau tersurat, pelan ini dapat dibaca bukan sekadar rundingan keamanan, tetapi juga medan ujian antara kedaulatan Palestin dan kepentingan geopolitik kuasa besar.

Malaysia dan Prinsip ‘Sokongan Bersyarat’

Dalam keributan dunia yang sedang sibuk berbicara soal isu kemanusiaan untuk Gaza, sidang kemuncak ini muncul dan sangat signifikan untuk membawa naratif keamanan dunia ke meja rundingan. Namun, dari sudut pandang dunia Islam, ketiadaan Malaysia di meja Sidang Kemuncak Keamanan Gaza 2025 menimbulkan tanda tanya berikutan Malaysia yang kini berperanan sebagai Pengerusi Asean dan salah sebuah negara yang aktif menyuarakan tentang isu-isu kemanusiaan Palestin. Keadaan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak diberikan ruang diplomasi yang sewajarnya dalam rundingan tersebut.


Walaupun begitu, kenyataan rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Malaysia tidak dijemput kerana hanya memberikan sokongan bersyarat terhadap pelan damai tersebut, bukan sokongan mutlak sebagaimana yang dikehendaki oleh penganjur.

Malaysia menegaskan bahawa sebarang pelan perdamaian mestilah berteraskan kepada:

  1. Pengiktirafan penuh terhadap negara Palestin yang merdeka,

  2. Sempadan 1967, dan

  3. Hak pulang rakyat Palestin yang dihalau keluar.

Pendirian ini dianggap sebagai kurang selaras dengan kehendak sidang di mana sidang tersebut menuntut sokongan tanpa syarat terhadap pelan damai Trump untuk Gaza. Sebaliknya, negara jiran seperti Indonesia yang menyokong penuh pelan ini dijemput kerana dianggap lebih ‘fleksibel’ dalam pendekatan diplomatik, sekalipun semangatnya terhadap Palestin tidak jauh berbeza. Begitulah wajah diplomasi antarabangsa hari ini, negara yang berprinsip sering dipinggirkan daripada perbincangan, manakala negara yang senada dan mengikut telunjuk adikuasa bakal diberikan tempat di meja rundingan.

Antara Damai dan Dominasi

Jika diteliti secara lebih mendalam, 20 pelan damai ini bukan sebuah rundingan damai biasa, sebaliknya pelan ini hadir dengan strategi halus untuk mengawal semula Gaza dalam bentuk baharu. Di sebalik istilah ‘pembangunan’ dan ‘pemodenan’, berlakunya agenda pembasmian gerakan pembebasan dan penggambilalihan kuasa yang tersirat di mana Palestin kononnya perlu membuktikan kelayakannya sebelum memperoleh kedaulatan yang mutlak. Dari itu, tidak hairanlah sekiranya pelan damai ini dilaksanakan secara berperingkat atau berfasa atas faktor penerimaan terhadap pelan ini yang dilihat tidak menyeluruh sama ada di pihak HAMAS atau Israel.


Penutup

Sidang Kemuncak Keamanan Gaza 2025 telah  meninggalkan kesan mendalam kepada sejarah moden hari ini. Ia menunjukkan bahawa istilah damai boleh dijadikan alat untuk menstrukturkan kuasa dan bagaimana kewujudan watak negara kecil seperti Malaysia mampu menegakkan nilai keadilan, ketika kebanyakan negara lain lebih cenderung untuk tunduk kepada pragmatisme. Dunia hari ini sewajarnya memerlukan lebih ramai pemimpin tegas berprinsip, yang berani memperjuangkan kemerdekaan mutlak Palestin.

Akhirnya, Gaza bukan sekadar wilayah yang berlaku konflik. Selagi keadilan belum ditegakkan, maka segala pelan damai hanyalah siulan semata daripada pihak penjajah yang menyembunyikan niat sebenar di sebalik wajah palsu perdamaian.

Rujukan

Bernama. (2025, October 14). Malaysia not invited to meeting in Egypt because it supports plan conditionally – FM. BERNAMA.
https://www.bernama.com/en/news.php?id=2478718

Council on Foreign Relations. (2025). Guide to Trump’s Twenty-Point Gaza Peace Deal.

The Guardian. (2025, 9 Oktober). Gaza ceasefire deal: what has been agreed for first phase and why now?

Said, E. W. (1995). Lost essay on Jerusalem. Jerusalem Quarterly, (45), 59–67.

BBC News. (2025, 9 Oktober). Article about Trump’s 20-point peace plan for Gaza in full. BBC News. https://www.bbc.com/news/articles/c70155nked7o