All Articles

Siapa Pelarian Palestin di Gaza?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
April 16, 2025

Internally Displaced Person atau IDP merujuk kepada mereka yang menjadi pelarian di tanah air sendiri. Di Palestin, terma ini menjadi satu kebiasaan sejak an-Nakbah pada 1948. Peristiwa hitam itu menyaksikan seramai 800,000 daripada 1.39 juta orang penduduk Palestin berpindah dari daerah asal mereka ke tempat yang lain di dalam negara sendiri selepas 77% tanah Palestin dirampas oleh rejim Zionis. Manakala seramai 30,000 orang penduduk Palestin yang lain terpaksa berpindah ke tempat baharu di dalam negara haram Israel. 

Sementara itu, sekitar 27% daripada 800,000 orang penduduk Palestin berhijrah ke semenanjung Gaza. Mereka inilah yang suatu ketika dahulu beranggapan akan pulang ke daerah kelahiran tetapi masa depan mereka sebaliknya dijerut rejim Zionis. Pada hari ini, jumlah populasi penduduk IDP di Gaza, termasuk seluruh keturunan mereka, merangkumi 70% daripada populasi penduduk Gaza.

Dekat Tapi ‘Jauh’

Jarak antara Gaza dengan daerah asal IDP di Palestin sebenarnya tidak terlalu jauh, cuma dalam 20 kilometer hingga 30 kilometer sahaja. Namun, disebabkan penjajahan rejim Zionis dan penubuhan haram Israel yang didorong oleh Mandat British pada 1917, perjalanan pulang terasa terlalu jauh.

Data menunjukkan 70% populasi IDP di Gaza sebenarnya berasal dari lebih 190 buah kampung yang telah dijajah Zionis sejak 1948. Antara nama kampung mereka yang sudah tidak dikenalpasti pada hari ini kerana penjajahan Israel ialah: Jerusalem, Jaffa, Al-Mansura di Acre, Be’er Sheva, Bait Jirja, al-Qubab di al-Ramla dan Negev. Satu hal menarik tentang nama tempat-tempat yang disebutkan ini, ia bukanlah nama sebenar yang digunakan ketika era Islam di bawah pemerintahan Uthmaniyah, mahupun ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup. 

Sedari awal, rampasan tanah Palestin bermula secara halus sejak 1880 yang mana aliyah pertama menyaksikan kemasukan bangsa Yahudi seramai hampir 30,000 orang ke Palestin. Bermula pada era inilah, Zionis mula campur tangan dalam pengyahudian (judaization) terhadap nama-nama tempat di Palestin dengan menukarkannya kepada nama di dalam Bahasa Ibrani yang diinspirasikan daripada Kitab Tanakh. Dalam tempoh pra-penubuhan haram Israel (1925 sehingga 1948) dikatakan sebanyak 215 buah komuniti Yahudi dibangunkan dan menggantikan nama-nama tempat dalam Bahasa Arab di Palestin kepada nama-nama di dalam Bahasa Ibrani.

Jadi, nama-nama seperti Jerusalem, Hebron, Jaffa, Be’er Sheva dan Negev adalah nama-nama tempat yang telah diyahudisasikan oleh Zionis melalui projek mereka, Jewish National Fund (JNF). Jika seseorang itu mengikut naratif yang sebenar dalam mengangkat isu Palestin, sewajarnya ia menggunakan nama yang tepat seperti Baitul Maqdis, al-Khalil, Yaffa , Bir al-Saba’ dan an-Naqab.

Dikosongkan, Dibangunkan

Tidak semua tempat yang dijajah Israel dibangunkan menjadi sebuah bandar yang membangun. Misalnya, al-Mansura yang telah dikosongkan sejak 1948 selepas Zionis melancarkan pembersihan etnik di kawasan tersebut. Al-Mansura dikatakan antara yang paling teruk terjejas di dalam perang an-Nakbah sehingga hanya tinggal sebuah gereja sahaja yang separa rosak. 

Manakala al-Qubab kini digantikan dengan perkampungan haram bangsa Yahudi. Satu-satunya sekolah rendah yang dibangunkan pada 1921 masih kekal di kawasan tersebut sehingga ke hari ini. Kawasan lain seperti Yaffa telah dimajukan sebagai bandar pelabuhan Israel, begitu juga Bir al-Saba’ yang kini dikenali sebagai bandar utama di an-Naqab. Bandar-bandar ini juga termasuk di dalam 23% bandar yang dijajah rejim Zionis dan dibangunkan menjadi bandar haram Israel dan 77% kawasan jajahan yang lain tidak diusahakan.

Bayangkan perasaan rindu terhadap kampung halaman dan kehidupan sebelum ini menyebabkan keberadaan IDP di Gaza terasa jauh dari tempat asal walaupun jarak sebenar begitu dekat. Lebih tragis, mereka dikejar bayang kekejaman Zionis sejak 1948 dan terpaksa berpindah lagi ke tempat yang lain sehingga tidak terhitung jumlahnya semata-mata untuk berteduh di kawasan yang selamat. 

Persoalannya, sampai bila mereka perlu membawa status pelarian di tanah air sendiri? Mereka ada hak untuk pulang ke Palestin, malah menuntut semula kawasan yang dirampas Zionis. Jika Israel boleh wujud dengan sokongan antarabangsa, malah diiktiraf dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), maka sepatutnya juga mereka bersikap adil dalam menangani isu Palestin yang terang-terang menindas Palestin.