All Articles

Serangan Nuklear Israel - Iran: Wajah Sebenar Kejahatan yang Disembunyikan Dunia

8 min read
Written by
Khairul Yunus
Published on
December 10, 2025


Dalam dunia yang kononnya berteraskan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, terdapat sebuah negara yang terlalu kerap bertindak di luar batasan namun terus dilindungi oleh retorik ‘keselamatan diri’. Negara itu tidak lain tidak bukan ialah negara haram Israel. Dalam perkembangan terbaharu pada 12 Jun 2025, Israel telah melancarkan satu siri serangan ke atas fasiliti nuklear Iran, termasuk pembunuhan beberapa komander kanan dan saintis negara tersebut. Tindakan ini bukan sekadar menimbulkan kebimbangan serantau, malah membongkarkan wajah sebenar Israel sebagai entiti yang angkuh, ganas dan anti-diplomasi.


Tindakan Israel itu bukan sahaja memperlihatkan kejahatannya yang sistematik, tetapi juga menyerlahkan kemunafikan dunia Barat dalam menangani isu keganasan negara.


Serangan Terancang dan Ofensif; Israel Pelaku, Bukan Mangsa

Serangan Israel bukanlah sesuatu yang dilakukan secara terdesak. Ia adalah satu langkah awal (pre-emptive) dengan melakukan serangan sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ yang terancang dan menyeluruh terhadap beberapa lokasi strategik Iran iaitu di Tehran dan Natanz. Sasarannya bukan sekadar kemudahan nuklear, malah turut melibatkan pembunuhan pemimpin tertinggi seperti Mohammad Bagheri dan Hossein Salami.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tanpa rasa bersalah menyatakan bahawa operasi Rising Lion ini bertujuan menghapuskan ancaman nuklear Iran, walaupun tiada bukti kukuh bahawa Iran menjalankan proses penghasilan senjata nuklear untuk tujuan peperangan. Bahkan, fatwa Ayatollah Khamenei sendiri telah menetapkan bahawa senjata nuklear (bom nuklear) adalah haram dari sudut Islam.


Serangan ini menunjukkan wajah sebenar Israel sebagai sebuah negara penjajah yang bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan negara lain, tetapi turut menjadikan keganasan sebagai dasar luar negaranya.


“Iran Lemah” — Naratif Barat yang Menyesatkan


Dalam pada desakan yang berterusan atas isu nuklear ini, wujud tanggapan bahawa Iran adalah negara yang lemah. Namun realitinya, Iran adalah sebuah negara yang mempunyai struktur pertahanan yang mantap, sistem pertahanan udara yang berfungsi dengan baik dan lebih penting daripada itu — semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.


Berdasarkan rekod, serangan terhadap Iran bukan perkara baharu. Pembunuhan Qassem Soleimani, sabotaj terhadap fasiliti nuklear Natanz dan sekatan ekonomi berulang dari Amerika Syarikat (AS) tidak mematahkan semangat Iran. Malah, negara itu terus mengembangkan pengayaan uraniumnya hingga ke tahap 60%, yang mempamerkan pencapaian teknologi yang tinggi dan hebat.


Naratif "Iran lemah" yang digembar-gemburkan oleh Barat hanyalah satu dalih untuk mewajarkan tindakan kejam Israel. Ia adalah satu bentuk manipulasi bagi membentuk propaganda bahawa Iran selayaknya mengikut telunjuk Israel jika inginkan keamanan dan keselamatan.


Diplomasi yang Dikhianati, Rundingan yang Disabotaj


Sementara itu, komuniti antarabangsa termasuk AS dan Kesatuan Eropah (EU) sedang merintis rundingan damai untuk menghidupkan semula Perjanjian Nuklear 2015 (JCPOA), namun Israel tampil menghancurkannya dengan tindakan unilateral. Ini bukan kali pertama Israel bertindak sebagai ekstremis dunia. Negara haram itu sememangnya terkenal dengan tindakan mensabotaj diplomasi yang cuba dilakukan. 


Israel melihat sebarang bentuk rundingan sebagai ancaman kepada monopoli kuasa serantaunya. Maka setiap kali rundingan hampir membuahkan hasil, mereka akan mewujudkan ketegangan baharu, sama ada melalui serangan, sabotaj atau propaganda.


Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa Israel tidak pernah komited terhadap keamanan serantau. Sebaliknya, mereka bergantung kepada kekacauan dan konflik untuk terus memperkukuh hegemoni mereka di Timur Tengah.


Serangan sebagai Pemangkin Perlumbaan Senjata Nuklear


Fatwa Ayatollah Khamenei yang melarang pembangunan senjata nuklear kini menghadapi risiko. Dengan tekanan luar yang semakin hebat, wujud kemungkinan besar pendirian tersebut akan berubah. Iran yang selama ini menahan diri mungkin kini menilai semula strategi ketenteraannya.


Sekiranya itu berlaku, dunia akan menyaksikan satu perlumbaan senjata nuklear yang lebih dahsyat dan agresif di Timur Tengah. Ironinya, tindakan Israel yang kononnya untuk ‘menghalang’ program nuklear Iran sebaliknya mungkin akan mencetuskan penghasilan senjata nuklear oleh Iran dan negara-negara lain di rantau itu.


Inilah wajah kejahatan Israel yang suka mencetuskan ketakutan, lalu menyemai kekacauan dan akhirnya mencipta dunia yang lebih berbahaya.


Dunia Barat —  Pembela Keadilan yang Munafik


Reaksi dunia Barat terhadap serangan ini amat mengecewakan. Seperti biasa, AS sekadar menyuarakan kebimbangan tanpa sebarang tindakan konkrit. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula terus dibelenggu oleh veto dan kepentingan geopolitik.


Sekiranya serangan ini dilakukan oleh Iran ke atas Israel, seluruh dunia pastinya akan mengutuk dengan tegas serta mengenakan sekatan dan kecaman. Namun, kerana pelaku adalah Israel, sekutu rapatAS, dunia seolah-olah memilih untuk berdiam diri.


Inilah hipokrasi terbesar abad ini. Undang-undang antarabangsa hanya digunakan apabila ia selari dengan kepentingan Barat. Jika tidak, keadilan akan dibisukan oleh peluru dan veto.


Apakah Seterusnya? Jalan Menuju Perang atau Perdamaian?

Iran kini berada pada tahap genting. Tekanan luar mungkin memaksanya untuk berundur dari meja rundingan dan memilih jalan konfrontasi. Ini adalah senario yang diinginkan oleh Israel. Konflik akan menjadikan mereka terus relevan dalam mata AS dan dunia Barat.

Walaupun begitu, dunia masih mempunyai peluang untuk menghentikan kebobrokan ini. Negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin mesti bersatu menyuarakan tentangan terhadap kezaliman Israel. Dunia Islam perlu bangkit daripada kebisuan dan ketakutan.

Diplomasi tidak boleh terus dimonopoli oleh negara yang hipokrit. Keadilan tidak boleh terus dikawal oleh veto dan pelobi Zionis.

Kesimpulan

Israel telah menampilkan wajah sebenar yang jauh berbeza daripada imej sebagai ‘mangsa’ yang sering dipaparkan media, sebaliknya sebagai penjenayah antarabangsa. Serangan terhadap Iran merupakan kesinambungan dasar agresif, tidak berperikemanusiaan dan anti-diplomasi yang telah berakar sejak penubuhan negara haram itu.

Dunia perlu menolak naratif palsu yang digerakkan oleh arus media Barat. Sudah tiba masanya kita melihat Israel sebagaimana ia sebenarnya — sebuah entiti yang membina kekuatan bukan atas asas keadilan, tetapi melalui penjajahan, keganasan dan pembohongan.


Masyarakat antarabangsa mesti memilih, sama ada terus bersekongkol dengan kejahatan atau membentuk dunia yang benar-benar berlandaskan keadilan.