Serangan Israel-Iran: Adakah Projek Nuklear Iran akan Berakhir?
.jpeg)
Konflik serangan antara Iran dan Israel yang bermula pada 12 Jun lalu telah berlarutan selama 12 hari. Ia bermula melalui proksi-proksi Iran di Timur Tengah atau sebagaimana yang disebut oleh Iran sebagai Axis of Resistance, yang merangkumi Hizbullah (Pergerakan Perjuangan Islam) di Lubnan, Penentangan Islam di Iraq dan Gerakan Ansarullah, Houthi di Yaman. Konflik ini mula berkembang apabila Iran beralih daripada dasar kesabaran strategik (strategic patience policy) kepada dasar pertahanan diri strategik (self-defense strategic policy). Perkara ini merupakan satu perubahan yang dilihat sebagai perkembangan signifikan dalam dasar luar Iran.
Kemuncak kepada ketegangan konflik ini adalah apabila serangan awal yang dilancarkan oleh pesawat tempur Israel dengan kerjasama agensi perisikan Mossad terhadap barisan pemimpin kanan dalam pemerintahan Iran. Serangan ini kemudiannya telah mendorong Iran merespon balas dengan tegas dengan melancarkan ratusan peluru berpandu ke arah jantung wilayah haram Israel, khususnya ke atas bandar Tel Aviv. Akibatnya, warga haram Israel turut merasa ‘pengalaman’ melalui keperitan peperangan sebenar. Mereka terpaksa mencari tempat perlindungan untuk berlindung bagi satu tempoh yang lama. Keadaan ini akhirnya telah memaksa Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dengan melancarkan serangan udara menggunakan pesawat halimunan terhadap kemudahan nuklear Iran di Fordow.
Iran kemudian melancarkan serangan balas dengan menyasarkan Pangkalan Tentera Udara al-Udeid milik AS yang terletak di Qatar serta beberapa buah pangkalan tentera AS yang lain di rantau Timur Tengah. Tindakan ini telah menyebabkan khususnya negara-negara Teluk, menutup ruang udara mereka kerana bimbang akan serangan peluru berpandu Iran. Sementara itu, pihak tentera Iran memaklumkan bahawa mereka telah memindahkan uranium yang telah diperkaya dari kemudahan nuklear Fordow sebelum ia diserang. Hal ini turut disahkan oleh pelbagai agensi media antarabangsa melalui imej satelit.
Meskipun serangan berbalas serangan di antara dua negara tersebut, konflik itu akhirnya berakhir dengan satu sepakat di antara Iran dan Israel, dalam keadaan Israel gagal mencapai tujuan utama serangan dilancarkan termasuklah matlamat mereka untuk menukar sistem pemerintahan berteraskan agama di Iran dan menghapuskan ancaman Iran secara keseluruhan. Pertempuran ini boleh dikatakan berakhir buat sementara waktu, tanpa sebarang petanda bahawa dasar Iran akan tunduk kepada dominasi Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Hal ini justeru mengesahkan kedudukan Iran yang masih kekal sebagai kuasa strategik yang mengancam kepentingan Barat di rantau Timur Tengah.
Keadaan ini juga telah mendorong Amerika Syarikat untuk mempertimbangkan secara serius keperluan mencapai satu perjanjian bersama Iran bagi membendung ancaman negara itu daripada tersebar dan memberi kesan secara langsung terhadap kepentingan strategik Barat di rantau tersebut, khususnya selepas serangan-serangan yang menimpa Axis of Resistance yang sedang giat dipulihkan oleh Iran dalam kadar segera.
Kesimpulannya, serangan Amerika-Israel yang berlangsung selama kira-kira 12 hari berturut-turut hakikatnya tidak mampu untuk menamatkan sebuah projek nuklear yang telah dibina dengan pengalaman saintifik dan praktikal selama beberapa dekad oleh Iran, tanpa terlebih dahulu mengubah akar sistem politik yang memerintah negara itu. Oleh itu, penulis tidak melihat serangan Israel-Amerika terhadap Iran sebagai satu kejayaan, bahkan kegagalannya semakin terserlah dari hari ke hari khususnya dengan wujudnya sistem politik dan ketenteraan Iran yang bersifat hierarki serta mampu dipulihkan dan digantikan dengan cepat.
Penulis juga percaya bahawa jeda perang yang berlaku pada ketika ini bukanlah sesuatu yang muktamad, sebaliknya hanyalah satu gencatan sementara yang bila-bila masa sahaja boleh kembali menjadi medan perang sekiranya garis pertembungan yang telah ditetapkan oleh Iran semasa menerima serangan dari Israel dilanggar. Tambahan pula, minggu-minggu dan bulan-bulan mendatang dijangka akan penuh dengan peristiwa dramatik yang bakal membentuk hala tuju dasar baharu di rantau ini.