All Articles

Serangan di Qatar, Lubnan, Gaza dan Tunisia - Israel Terdesak?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
September 24, 2025

Timur Tengah sedang berada di dalam situasi kritikal kerana serangan yang dilancarkan oleh rejim Israel dalam tempoh 24 jam. Ia bermula dengan pengumuman Israel Katz yang ‘merasmikan’ pintu-pintu neraka di Gaza [1] dibuka, disusuli dengan serangan ke atas bangunan-bangunan tinggi di Gaza dilancarkan oleh rejim Israel. 

Kemudian, Israel lancarkan serangan ke atas selatan Lubnan – Bekaa dan Hermel – yang didakwa sebagai tempat ketenteraan Hezbollah. Serangan itu secara tidak langsung merupakan serangan ke-7 dalam bulan September 2025 [2], tanda pencabulan terhadap perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani pada November 2024. Tidak cukup dengan itu, Israel melancarkan serangan ke atas Homs di Syria kerana hubungan negara itu dengan Turkiye semakin ‘mesra’ selepas kerajaan Recep Tayyip Erdogan  bersetuju untuk membekalkan sistem senjata dan peralatan logistik dalam kerjasama ketenteraan yang ditandatangani pada pertengahan Ogos 2025.

Perhatian Israel juga fokus kepada misi Global Sumud Flotilla yang mendukung misi Sumud Nusantara. Maka, dilancarkan serangan bom ke atas dua kapal flotila – Familia Madeira dan Alma – sehingga menyebabkan kebakaran kecil. Pada masa yang sama, serangan ke atas Yaman dilancarkan sehari selepas serangan di Doha sehingga menyebabkan sekitar 35 orang awam terbunuh dan 131 tercedera.

Walaupun secara umumnya Israel mendakwa serangan tersebut adalah tindak balas terhadap gerakan penentang yang dianggap musuh; dan dianggap mahu memberi tekanan kepada negara-negara sekitarnya untuk tidak memandang enteng tuntutannya, pemerhatian mendapati Israel melipatgandakan serangan juga untuk mencapai objektif – Israel Raya (The Greater Israel).

Betul ke? Jika kita lihat pada polisi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sepanjang Taufan al-Aqsa, jelas dia tiada niat mahu mengekalkan penyelesaian dua negara (two-state solution) atau memastikan tebusan Israel di Gaza dapat pulang ke pangkuan keluarga tetapi sebaliknya. 

Demi penubuhan Israel Raya, Netanyahu berpegang kepada polisinya – ketenteraan – walaupun berisiko dengan meneruskan penjajahan di kawasan baharu di Bukit Golan, selatan Lubnan dan meningkatkan operasi penindasan di Tebing Barat, Palestin. Gaza, semestinya turut berada di dalam misi Israel Raya dan disebabkan itulah bermula pada akhir minggu pertama September 2025, Israel melancarkan serangan tanpa henti dengan mengebom bangunan-bangunan tinggi di sana. Tidak cukup dengan itu, rejim Israel juga ‘memaksa’ sekitar 1.7 juta penduduk Gaza ke bahagian utara selepas berkali-kali menyerang kawasan yang didakwa selamat, Rafah dan Khan Yunis. 

Mungkin, kita boleh simpulkan bahawa Netanyahu benar-benar terdesak untuk mendapatkan kemenangan di Gaza kerana pasukan tenteranya berani menyerang pegawai tertinggi HAMAS di Doha. Serangan yang dilancarkan ketika perbincangan antara HAMAS dan pengantara Qatar itu sebenarnya mengecilkan lagi peluang tebusan Israel di Gaza untuk dibebaskan.

Kita juga boleh lihat bagaimana Netanyahu menyasarkan beberapa negara jiran Palestin seperti Syria, Lubnan dan Jordan sudah cukup menjawab persoalan bahawa projek Israel Raya akan dilaksanakan dengan kesungguhan, tanpa mengira faktor keselamatan Israel demi mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. 

Memetik petikan daripada Sever Plocker yang menulis untuk akhbar Ibrani, Yedioth Ahronoth, polisi Netanyahu, “truly are leading Israel straight into the tragic situation of a ‘people who shall dwell alone’, cut off from the developed western world, a country that other nations don’t want to go anywhere near, visit, host or much less trade with”.

Pada masa yang sama, Israel - seperti yang dirancang sejak 7 Oktober 2023 - mahu menghapuskan kawalan serta pengaruh HAMAS di Gaza dan ia selari dengan kemahuan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Jadi, tidak hairanlah jika Trump masih berdiplomasi dengan tidak melontarkan kritikan melampau ke atas tindakan Israel menyerang Lubnan, Qatar dan Tunisia kerana sejak awal lagi Washington melindungi ‘kawan baiknya’. Tindakan ini lebih memudahkan Netanyahu untuk terus kekal sebagai perdana menteri untuk beberapa tahun lagi. 

Namun, ketika negara-negara Eropah mula memalingkan muka dari Israel seperti yang paling tergempar, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan penangguhan kerjasama dengan negara Yahudi dan melaksanakan sekatan ke atas beberapa menteri Israel; Slovenia dan Sepanyol menghentikan perdagangan senjata dengan Israel; dan Sepanyol turut mengharamkan laluan laut digunakan kapal minyak untuk dihantar ke Israel membuktikan satu trend pemulauan Israel. 

Sudah semestinya Netanyahu enggan menanggung tanggungjawab kesan daripada jenayah yang dilakukan di Gaza dan negara-negara sekitarnya. Sebaliknya, menunding jari kepada imigran Muslim di Eropah, termasuk China dan Qatar yang didakwa telah memaksa kerajaan untuk membenci Israel.

Satu reaksi yang tak masuk akal kerana jenayah itu terang-terangan dipertanggungjawabkan ke atas Israel tetapi di sinilah kita boleh lihat Netanyahu benar-benar terdesak apabila dikepung dari pelbagai aspek. Di sinilah, seperti yang ketua pembangkang Israel, Yair Lapid katakan, “Hasil polisi kerajaan Netanyahu yang gagal mengubah Israel kepada negara dunia ketiga.”

[1] Israel bombs high-rise towers as brutal Gaza City assault intensifies. Al Jazeera. Dipetik daripada https://www.aljazeera.com/news/2025/9/5/israel-bombs-high-rise-towers-as-brutal-gaza-city-assault-intensifies

[2] Daoud, D. (2025). Israeli operations in Lebanon against Hezbollah: September 1-7, 2025. Foundation for Defense of Democracies. Dipetik daripada https://www.longwarjournal.org/archives/2025/09/israeli-operations-in-lebanon-against-hezbollah-september-1-7-2025.php