All Articles

Sebulan Pasca Global Sumud Flotilla (GSF)

Written by
Khairul Yunus
Published on
December 3, 2025


Sebulan pasca misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berlayar merentasi Laut Mediterranean yang berakhir pada awal Oktober lepas, gema kemanusiaan masih kedengaran dalam wacana antarabangsa. Apa yang bermula sebagai pelayaran solidariti kini telah berkembang menjadi fenomena politik, moral dan keadilan sejagat, sekali gus melahirkan kesan domino kepada gelombang diplomasi rakyat. Usaha ini turut mendapat sambutan hangat komuniti di Gaza yang bergelut untuk hidup. Sepanjang tempoh fenomena tersebut, persoalan utama timbul: sejauh mana GSF berjaya menghidupkan kembali kehangatan wacana pembebasan Palestin dalam kalangan masyarakat dunia?


Memecahkan Dominasi Naratif Media 

GSF bukan sekadar armada flotila yang membawa bantuan kemanusiaan, namun ia adalah sebuah bahasa politik global dan komunikasi moral yang menegaskan bahawa solidariti rakyat di seluruh dunia mampu menggugat struktur geopolitik yang mendominasi kuasa dunia. Ketika kapal-kapal GSF dipintas secara agresif di perairan antarabangsa, ramai sarjana undang-undang antarabangsa melihat tindakan negara haram Israel itu sebagai pelanggaran terhadap Artikel 87 Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, yang menegaskan tentang hak kebebasan pelayaran di laut antarabangsa. Tindakan itu juga bertentangan dengan semangat Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berkaitan hak memberi bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata di bumi Gaza.

Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR) pada 9 September 2025 menyatakan komuniti antarabangsa masih gagal dalam usaha menghentikan sekatan di Gaza. Kenyataan ini merupakan pengakuan penting yang jarang dinyatakan dalam bahasa diplomasi rasmi. Sehubungan itu, kemunculan gerakan GSF berjaya menghidupkan semula semangat pembebasan dan menegaskan isu kesahan sekatan laut Israel sebagai perbahasan undang-undang yang wajar dicabar.

Lebih signifikan, GSF berjaya memecahkan dominasi naratif jahat Israel yang  bertahun-tahun mengawal media antarabangsa. Sorotan media global kini beralih kepada isu moral, kemanusiaan dan kesahihan undang-undang sekatan ke atas Gaza — sesuatu yang sebelum ini sukar dicapai tanpa gelombang peristiwa yang penuh dramatik dan simbolik seperti GSF.


GSF Membuka Peluang Tingkap Dasar Global Terhadap Pengiktirafan Palestin

Fenomena solidariti yang dicipta GSF berlaku seiring dengan tindakan bersejarah apabila beberapa buah negara Barat mula mengiktiraf negara Palestin antara Ogos hingga September 2025. Antara negara tersebut termasuklah United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta dan Portugal. Jumlah keseluruhan negara yang mengiktiraf Palestin meningkat dari 147 kepada 157 negara dalam 193 anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menandakan perubahan signifikan dalam orientasi dasar luar negara Barat.

Walaupun tiada negara mengaitkan keputusan itu secara langsung dengan GSF, penganalisis hubungan antarabangsa melihatnya sebagai hasil daripada tingkap dasar atau policy window — suatu ruang di mana tekanan moral global mencipta peluang untuk perubahan dasar sesuatu negara berlaku. GSF berperanan sebagai pemangkin moral, menggerakkan desakan masyarakat dunia yang akhirnya sukar dikekang oleh negara-negara Barat.

Gelombang Solidariti Global

Jika flotila pada tahun 2010 pernah digemparkan dengan tragedi pembunuhan aktivis, maka GSF pada tahun 2025 pula menggoncang dunia dengan skala yang lebih besar. Hal ini terbukti melalui demonstrasi yang berlaku sebelum, semasa dan selepas pintasan flotila di sekurang-kurangnya 18 buah negara.

Di Athens, ribuan berhimpun di pelabuhan Piraeus sambil melaungkan “Free Gaza by Sea”. Di Itali, lebih 100 bandar menyaksikan lautan manusia berhimpun dan di Malaysia pula, ribuan rakyat berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS). Protes berskala besar turut berlaku di London, Dublin, Paris, Madrid, Istanbul, New York, Buenos Aires dan Rio de Janeiro.

Sebulan selepas pembebasan para aktivis, aksi memperingati GSF masih berlangsung di Oslo, Stockholm, Jakarta dan Doha. Peristiwa ini membuktikan bahawa solidariti bukan hanya alat penyatuan suara masyarakat, ia juga hadir sebagai sebuah bentuk gerakan transnasional yang boleh dimanfaatkan untuk mendesak kuasa politik dunia.


Gaza Masih Tenggelam dalam Krisis Kemanusiaan

Sebulan selepas misi GSF berakhir, hakikatnya di Gaza masih lagi berdarah. Krisis kemanusiaan di wilayah itu masih berlegar dalam kitaran penderitaan yang panjang, meskipun gencatan senjata berlaku. Bantuan yang diluluskan di atas kertas tidak pernah mencukupi apabila hampir tiga suku daripadanya tidak berjaya memasuki Gaza disebabkan ‘kekangan’ keselamatan dan birokrasi yang berpanjangan. Dalam keadaan sebegini, akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan menjadi nadi yang perlu dilonggarkan segera. Keutamaan terbesar kini ialah memastikan semua laluan utama memasuki Gaza, khususnya Rafah dan Zikim dibuka secara berterusan, manakala sistem koordinasi bantuan perlu dipermudah agar agensi kemanusiaan tidak lagi terhalang ketika cuba menyampaikan bantuan asas kepada penduduk.

Sektor kesihatan pula berada pada titik kritikal yang paling menggerunkan dalam sejarah Gaza moden. Hanya satu pertiga daripada keseluruhan fasiliti kesihatan berfungsi, manakala stok ubat-ubatan penting seperti insulin, ubat kemoterapi, ubat penjagaan ibu dan anak serta bekalan pembedahan berada pada kadar sifar. Keadaan ini menjadikan proses bersalin, rawatan penyakit kronik dan pembedahan asas sebagai suatu misi mustahil. Beban pesakit kronik semakin meningkat setiap hari. Manakala ribuan pesakit kanser dan buah pinggang memerlukan pemindahan keluar Gaza kerana rawatan yang sewajarnya tidak memungkinkan untuk dilakukan dalam wilayah terkepung itu. Namun, jumlah yang berjaya dipindahkan hanya sebahagian kecil daripada yang memerlukan, menjadikan pemindahan perubatan (medevac) antara bentuk sokongan paling mustahak yang memerlukan komitmen antarabangsa segera.


Ke Mana Arahnya Selepas Ini?

Dalam keadaan yang genting ini, kanak-kanak menjadi kumpulan yang paling terkesan. Sebahagian besar masih tidak mempunyai ruang pembelajaran yang selamat dan stabil. Ruang Pembelajaran Sementara (TLS) yang beroperasi hanya mampu menampung satu perempat daripada keseluruhan populasi kanak-kanak. Manakala selebihnya menjalani rutin kehidupan harian tanpa sesi pembelajaran. Trauma psikososial menular dengan kadar yang hampir menyeluruh; 93% kanak-kanak menunjukkan tingkah laku agresif, sementara majoriti mengalami gangguan tidur, ketakutan berpanjangan dan hilang minat terhadap pendidikan. Dalam keadaan ini, sokongan psikososial menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Namun kapasiti sedia ada hanya mampu melayani sebahagian kecil daripada hampir sejuta kanak-kanak yang memerlukan rawatan berterusan.

Selain itu, keperluan makanan, air bersih, sanitasi dan perlindungan juga semakin mendesak. Walaupun kilang roti yang disokong PBB mengagihkan lebih sejuta hidangan setiap hari, tapi jumlah itu masih tidak mampu menampung populasi yang terpaksa berpindah berulang kali. Bekalan air bersih turut terjejas akibat sekatan alat ganti dan bahan penapisan air, menyebabkan keluarga bergantung kepada sumber air yang tercemar. 

Situasi ini mencetuskan penularan penyakit bawaan air serta jangkitan kulit dan gastrousus atau masalah pencernaan yang dilaporkan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bernama Médecins Sans Frontières (MSF). Dengan musim sejuk yang semakin dekat, keperluan selimut, khemah yang lebih kukuh dan pemanas haba menjadi keutamaan yang perlu dipenuhi segera bagi mengelakkan kes kematian akibat cuaca sejuk ekstrem.

Dalam masa yang sama, tindakan pelupusan periuk api dan bahan letupan yang tidak meletup (UXO) menjadi prasyarat kepada proses pemulihan Gaza. Tanpa operasi menyeluruh oleh Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS), ribuan keluarga tidak mungkin boleh kembali ke rumah masing-masing kerana runtuhan dan jalan-jalan dipenuhi peluru, bom dan roket yang tidak meletup. UXO bukan sahaja menghalang kepulangan penduduk, tetapi juga mengancam operasi pembaikan infrastruktur asas seperti saluran air, elektrik dan klinik.


GSF sebagai Permulaan, Bukan Kemuncak

Kesimpulannya, kesemua keperluan ini — daripada akses lintasan, penghantaran bekalan ubat, pemindahan perubatan, makanan, pendidikan, sanitasi hinggalah pelupusan UXO — membuktikan bahawa Gaza sedang berdiri di hujung jurang kemanusiaan yang memerlukan perhatian segera. GSF mungkin telah membuka jalan sokongan moral dan membangkitkan kesedaran dunia, namun krisis di Gaza menuntut lebih daripada itu. Ia memerlukan tindakan sistematik, berterusan dan bersepadu oleh negara-negara di seluruh dunia, termasuk rangkaian NGO kemanusiaan serta komuniti antarabangsa bagi memastikan nyawa yang masih berbaki tidak terus melayang.

Komitmen untuk memulihkan kehidupan dan mengembalikan harapan kepada sebuah masyarakat yang berhak untuk hidup bebas adalah tanggungjawab yang perlu digerakkan secara berterusan. Atas semua harapan dan tanggungjawab besar yang sedang dipikul GSF dalam menuntut keadilan untuk Palestin, wajarlah jika gerakan GSF yang seterusnya amat dinantikan. Semestinya sesuatu yang lebih besar untuk usaha pembebasan Palestin akan berlaku dalam sedikit masa lagi.

Rujukan:

United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs. (2025, 12 November). Humanitarian Situation Update #340 | Gaza Strip.
https://www.ochaopt.org/content/humanitarian-situation-update-340-gaza-strip

Kingdon, J. W. (2011). Agendas, alternatives, and public policies (2nd ed.). Longman.

CNN. (2025, September 21). Britain, Australia and Canada recognise Palestinian state. https://edition.cnn.com/2025/09/21/world/palestinian-state-uk-canada-australia-intlAl Jazeera. (2025, Oktober 1). Israel intercepts last Gaza Sumud flotilla vessel: What we know so far.
https://www.aljazeera.com/news/2025/10/1/israel-intercepts-gaza-sumud-flotilla-vessels-what-we-know-so-far


Office of the High Commissioner for Human Rights. (2025, September 9). UN experts stand in solidarity with the Global Sumud Flotilla, demand full protection of all passengers. https://www.un.org/unispal/document/un-experts-press-release-09sep25/

Kementerian Luar Negeri Malaysia. (2025, October 6). Statement on the safe arrival of 23 Malaysian participants of the Global Sumud Flotilla.
https://www.kln.gov.my/web/guest/-/safe-arrival-of-23-malaysian-participants-of-the-global-sumud-flotilla

Anadolu Agency. (2025, September 16). 16 countries demand protection of Gaza-bound aid flotilla, call for respect of international law.
https://www.aa.com.tr/en/middle-east/16-countries-demand-protection-of-gaza-bound-aid-flotilla-call-for-respect-of-international-law/3689649

Reuters. (2025, September 25). Italy, Spain deploy naval vessels to protect flotilla on course for Gaza. https://www.reuters.com/world/middle-east/italy-sends-second-navy-ship-escort-gaza-aid-flotilla-2025-09-25/

Al Jazeera. (2025, October 3). Global protests erupt over Israeli interception of Gaza aid flotilla. https://www.aljazeera.com/gallery/2025/10/3/global-protests-erupt-over-israeli-interception-of-gaza-aid-flotilla

Al Jazeera. (2025, September 23). Which are the 150+ countries that have recognised Palestine as of 2025?
https://www.aljazeera.com/news/2025/9/23/which-are-the-150-countries-that-have-recognised-palestine-as-of-2025/


Astro AWANI. (2025, 3 Oktober). Global Sumud Flotilla: Bukan satu atau dua gelombang, mungkin berterusan – KP SNCC. https://www.astroawani.com/berita-dunia/global-sumud-flotilla-bukan-satu-atau-dua-gelombang-mungkin-berterusan-kp-sncc-541292

Harian Metro. (2025, Oktober 25). GSF: ‘Kami tak terhenti di sini, episod seterusnya baru saja bermula’ - Nadir al-Nuri. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2025/10/1279781/gsf-kami-tak-terhenti-di-sini-episod-seterusnya-baru-saja-bermula-nadir-al-nuri/

Thiago Ávila (@thiagoavilabrasil). (2025, October 1). Flotilla update and the cease-fire deal [Instagram Reel]. Instagram. https://www.instagram.com/reel/DPtWn3UEab-/?hl=en