Ramadan di Penjara Rejim: Derita Tahanan Palestin Berganda

Di saat kita menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan bersama ahli keluarga tersayang di sisi, masing-masing terlihat senang dengan tawa dan hidangan yang pelbagai di meja makan ketika sahur mahupun berbuka. Peduli atau tidak, dalam masa yang sama saudara kita di Palestin yang berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun di penjara rejim Zionis dinafikan hak untuk merasai semua itu? Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan ibadah bersama ahli keluarga berubah menjadi detik penuh ujian kerinduan bagi mereka yang terkurung di sebalik jeriji besi.
Realiti kehidupan di penjara rejim jauh lebih dahsyat daripada apa yang kita bayangkan. Bayangkanlah, kehidupan normal sebagai rakyat awam baik di Gaza mahupun di Tebing Barat, umpama hidup di dalam penjara terbuka; penuh dengan sekatan tidak masuk akal, ekonomi yang dikawal bahkan ancaman mati. Inikan pula kehidupan di dalam penjara sebenar yang ditadbir oleh rejim penjajah. Tidak hanya ditempatkan di ruangan yang sempit dan kotor, mereka juga dinafikan akses terhadap segala keperluan asasi sebagai seorang manusia.
Keadaan Ramadan kali ini dikatakan jauh sekali berbeza berbanding bulan-bulan Ramadan yang lalu, terutamanya sejak 7 Oktober 2023 apabila pihak penjara mengenakan sekatan dan langkah-langkah yang lebih ketat yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menurut Ketua Unit Kajian dan Dokumentasi di Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, Abdul Nasser Farwana, keadaan di penjara rejim Israel dalam tempoh perang ini semakin keras. Realiti tahanan di penjara semakin kritikal apabila mereka berdepan penindasan berkali ganda — dibiarkan berlapar, diserbu dan mengalami serangan fizikal serta diabaikan hak daripada mendapatkan perawatan selepas mengalami kecederaan akibat penderaan. Kesihatan mereka benar-benar tidak dipedulikan terutamanya bagi mereka yang sakit dan warga emas.
Beberapa organisasi antarabangsa menggambarkan realiti di penjara rejim ini sebagai neraka dunia. Bagaimana tidak, neraka yang ‘dicipta’ ini menyebabkan tahanan Palestin berdepan penyeksaan semisal dipukul teruk menggunakan belatan dan digari untuk tempoh yang lama. Ada juga situasi di mana mereka di bawa ke halaman penjara dalam keadaan tangan diikat, diminta meniarap sebelum mereka dilangkah dan dipijak-pijak. Menurut B’Tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia Israel (1989) yang memfokuskan pendokumentasian pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah haram termasuk di Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur — antara Oktober 2023 dan Januari 2026 sahaja, sekurang-kurangnya 84 orang tahanan Palestin yang berjaya dikenal pasti, termasuk seorang kanak-kanak direkodkan telah meninggal dunia di kemudahan Israel.
Mohammad al-Bakri, seorang bekas tahanan dari bandar Hamad, selatan Gaza sempat berkongsi pengalamannya ketika di dalam penjara rejim Israel kepada Agensi Shehab. Katanya, “Kami bukan sahaja berpuasa daripada makanan. Tetapi kami juga ‘berpuasa’ daripada bertemu ahli keluarga kami, daripada mendengar suara azan di masjid-masjid dan daripada semua aspek kehidupan.”
Jelasnya lagi, pihak penjara rejim hanya menyediakan hidangan bagi iftar dan sahur dalam kuantiti yang sangat terhad, selain kualitinya yang tidak bagus. Malah kadang-kadang tidak memenuhi keperluan bagi orang normal yang berpuasa. Selain itu, mereka juga dihalang daripada berkumpul di dalam blok tahanan, yang sebelum ini menjadi kebiasaan mereka berkumpul untuk menunaikan solat jemaah. Namun kali ini, sekatan begini telah mengehadkan mereka untuk menghidupkan suasana kebersamaan yang biasanya lebih meriah sewaktu bulan Ramadan.
Tambahnya lagi, “Walaupun begitu, kami masing-masing cuba cipta suasana sendiri walaupun dalam keadaan kami ditindas begitu. Kami cuba berkongsi kurma jika ada. Sesederhana perkara kami buat di dalam penjara kadang sudah cukup membuatkan kami rasa bahawa kami masih seorang manusia.” Ujarnya. Beliau menjelaskan, yang banyak menguatkan mereka semua dalam menempuhi hari-hari yang berat di penjara rejim adalah solidariti dan kebersamaan sesama tahanan. Mereka tidak hanya berkongsi makanan, tetapi turut berkongsi doa dan harapan bersama. Ikatan persaudaran itulah yang banyak meringankan beban mereka.
Sementara itu, seorang wartawan yang juga salah seorang bekas tahanan yang dibebaskan, Amin Baraka pula menceritakan, “Kegiatan solat berjemaah atau beriktikaf di dalam bilik juga disekat. Disebabkan situasi mencabar inilah, para tahanan hanya mampu berpegang pada apa sahaja ruang spiritual yang mereka ada. Kerana sekatan pihak rejim yang mengongkong mereka dengan penindasan akan sentiasa berlaku.” Sambungnya lagi, “Ramadan menambahkan lagi rasa rindu kami kepada keluarga. Ada dalam kalangan tahanan yang tenggelam dalam kerinduan terhadap ahli keluarga, anak-anak, dan setiap sudut rumah yang pernah mereka diami. Kerinduan ini menjadi beban psikologi yang amat berat, lebih-lebih lagi selepas mereka (pihak rejim) menghentikan sepenuhnya lawatan keluarga ke penjara.”
Dalam laporan yang sama, Abdul Nasser Farwana memberitahu Agensi Shehab bahawa sepanjang bulan Ramadan, pihak pentadbiran penjara rejim sering menghalang para tahanan daripada menunaikan solat secara berjemaah. Malah, mereka turut mengetatkan kawalan kemasukan mushaf al-Quran dan buku-buku agama, sekali gus menafikan hak-hak asas keagamaan tahanan. Bahkan ada tahanan di beberapa buah penjara yang langsung tidak mengetahui kedatangan bulan Ramadan kerana terputus hubungan dengan dunia luar. Tambahan pula, pihak pengurusan penjara enggan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perayaan atau hal-hal keagamaan, sekali gus menambahkan lagi tekanan psikologi terhadap para tahanan.
Pun begitu, cabaran serta halangan yang dihadapi rakyat Palestin ini di penjara rejim tidak akan sesekali mematahkan semangat juang mereka. Semangat dan ketahanan moral serta spiritual mereka telah lama berakar umbi menjadi budaya masyarakat Palestin, khususnya di Gaza; yang telah melalui perang genosid lebih dua tahun. Keteguhan mereka dalam menghidupkan ibadah meskipun dalam keadaan tidak memiliki apa-apa mencerminkan kelasakan jiwa untuk terus menghidupkan harapan yang tersisa.
Ramadan di penjara rejim bukan lagi sekadar mengajarkan kita makna kesabaran. Ia adalah bulan yang melahirkan generasi yang tetap teguh dan berani, memperjuangkan syiar Islam sambil mempertahankan maruah diri dan tanah air. Mereka adalah suara dari balik jeriji besi yang tidak didengari dunia, walhal merekalah yang mengajarkan kita erti sebenar kehidupan; bagaimana bergantung harap sepenuhnya hanya kepada Tuhan.