All Articles

Protes Anti-Kerajaan Iran – Cubaan Campur Tangan Amerika Syarikat

Written by
Khairul Yunus
Published on
January 16, 2026

Mutakhir ini, protes anti-kerajaan Iran telah merebak ke beberapa pusat bandar utama, termasuk Tehran. Ramai melihat protes ini sebagai letusan kemarahan rakyat terhadap pemerintah, khususnya isu inflasi, salah urus ekonomi dan korupsi. Namun, menilai krisis ini semata-mata dari perspektif isu dalaman Iran merupakan satu kesilapan besar, tanpa mengambil kira sejarah campur tangan asing di Iran yang sebelum ini sudah pun menjadi latar permasalahan yang panjang dan kritikal.

Polemik politik di Iran merupakan dilema berpanjangan sejak peristiwa Kudeta 1953. Kerajaan nasionalis Mohammad Mosaddegh, Perdana Menteri Iran pada ketika itu digulingkan melalui kempen propaganda dan campur tangan kuasa asing, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain, dengan isu kegagalan pengurusan ekonomi digunakan untuk mempengaruhi sentimen awam. Tidak dapat disangkal, dengan sekatan dan tekanan ekonomi Barat yang kuat, kemerosotan ekonomi Iran pada waktu itu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Tekanan ekonomi dan kudeta ini mungkin tidak berlaku sekiranya Mosaddegh tidak mengganggu-gugat kepentingan British dengan menjalankan polisi menasionalisasikan industri minyak Iran pada tahun 1951, yang sebelumnya dikuasai oleh syarikat British, Anglo-Iranian Oil Company (AIOC). 

Oleh sebab itulah, kudeta tersebut dirancang dan akhirnya direalisasikan melalui sebuah operasi sulit yang didalangi oleh AS dan British yang dikenali sebagai Operation Ajax dan Operation Boot, untuk menjatuhkan pemerintahan pimpinan Mohammad Mosaddegh yang jelas tidak selari dengan kehendak Barat. Strategi jahat ini berjaya mencapai misinya, untuk menyingkirkan tokoh yang dianggap AS dan British sebagai ancaman ke atas kestabilan geopolitik mereka di Asia Barat. 

Sehubungan dengan itu, kejatuhan Mosaddegh telah membawa kembali era pemerintahan diktator, kerajaan monarki Shah (Raja) Iran yang semakin memusatkan kekuasaannya secara mutlak untuk mengawal siapapun Perdana Menteri Iran setelah itu agar selari dengan agendanya yang  pro-Barat. Sehinggalah berlakunya Revolusi Iran pada tahun 1979 dan telah menjatuhkan Shah Iran yang memerintah secara kuku besi dan menghapuskan sistem monarki dari struktur pemerintahan negara.

Sejarah ini menjelaskan mengapa pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, segera bereaksi terhadap demonstrasi anti-kerajaan hari ini, dengan mengatakan ia adalah agenda campur tangan kuasa luar. Bahkan kenyataannya itu disokong dengan ucapan Presiden AS, Donald Trump yang mengancam dengan serangan ketenteraan sekiranya kerajaan Iran terus-menerus bertindak dengan kekerasan terhadap rakyat yang terlibat dalam demonstrasi. AS seperti biasa, akan cuba membawa watak sebagai ‘polis dunia’ untuk melakukan usaha campur tangan dalam urusan negara lain.

Konflik Iran-AS hari ini juga sering digambarkan sebagai pertembungan ideologi, isu keselamatan dan krisis nuklear. Pandangan ini ada sandarannya, waima di sebalik semua itu, terdapat satu hakikat penting yang jarang dibincangkan secara jujur. Percikan api permusuhan Iran-AS ini sebenarnya sudah lama terpendam, bermula sejak peristiwa kudeta era Mohammad Mosaddegh lagi. Trauma dengan campur tangan luar ini sudah tertanam sejak dulu. Kesannya, Revolusi Iran 1979 memperlihatkan Republik Islam itu mengubah dasar luar, dari sekutu strategik kepada musuh utama AS di Asia Barat. Rentetan itu, dasar luar AS terhadap Iran juga tidak pernah stabil sehingga ke hari ini. 

Disebabkan Iran adalah negara penting dari segi geopolitik, tenaga dan keselamatan negara Teluk, pengkaji politik AS, Fawcett dan Payne melontarkan pandangan mereka bahawa kitaran pilihan raya Presiden AS mempunyai pengaruh yang ketara ke atas dasar luar AS terhadap Iran. Isu Iran sangat popular untuk dijadikan bahan kempen dan mampu menarik sokongan daripada para pelobi politik AS. Oleh sebab itu, menjelang musim pemilihan presiden, isu sekatan ekonomi, krisis politik dan isu keselamatan Iran banyak dibangkitkan. Tidak lain, semua ini bertujuan menjaga kuasa dan kepentingan masing-masing. 

Dalam situasi politik hari ini, Iran telah berkembang menjadi sebuah negara yang mandiri dari kuasa Barat malah menentang agenda Presiden AS. Hal ini berlaku kerana kepimpinan Republik Islam Iran secara konsisten menolak usaha campur tangan luar dalam isu-isu domestik.  Walaupun sebelum ini, suhu politik Iran-AS cuba diturunkan melalui Perjanjian Nuklear (JCPOA) yang ditandatangani pada tahun 2015, di mana Iran bersetuju mengehadkan pengayaan uranium dan simpananannya, manakala negara adikuasa mengurangkan sekatan ekonomi ke atasnya. Persefahaman ini berjaya dicapai apabila keadaan geopolitik domestik dan antarabangsa kedua-dua negara stabil —situasi yang jarang berlaku. Namun, tidak lama kemudian, AS menarik diri daripada JCPOA pada tahun 2018, sekaligus tindakan ini membuktikan bahawa sebarang usaha damai tidak mungkin boleh bertahan lama tanpa iltizam politik dari kedua-dua negara.

Oleh itu, apabila bercakap tentang protes anti-kerajaan dan ancaman AS terhadap Iran pada masa ini, kita tidak boleh membahasnya hanya dari sudut isu ekonomi, inflasi atau isu keselamatan sahaja. Ia perlu dinilai secara lebih mendalam, sambil menelusuri rangkaian sejarah yang panjang daripada luka campur tangan kuasa luar, kelicikan AS dan perjuangan pemerintah Iran bertahan dengan ketidaktentuan politik dalaman. Sama seperti era Mosaddegh, kerajaan Republik Islam Iran hari ini juga berdepan tekanan ekonomi yang luar biasa daripada AS sejak era revolusi Iran. Selagi mana AS masih teruja untuk kembali dalam posisi kekuasaan yang stabil di negara Teluk, Iran hari ini akan kekal sebagai musuhnya sehinggalah kepimpinan baharu bersedia tunduk sebagai boneka kuasa asing. Inilah kerencaman politik Iran hari ini — kelihatan agak rapuh dari dalam, namun tetap cuba bertahan dari ancaman kuasa luar.