All Articles

Polisi Kepimpinan Salahuddin Al-Ayubi Dalam Membebaskan Baitul Maqdis

Written by
Haikal Zulkefli
Published on
November 2, 2022

ABSTRAK

Pemimpin ibarat nakhoda yang mengemudi bahtera perjuangan  menuju ke satu destinasi kemenangan hakiki. Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan yang telah berhasil menyatupadukan ummah di atas keislaman yang sejati, membebaskan wilayah Islam daripada penjajahan tentera Salib serta menulis tanda-tanda kemenangan dan kenangan abadi dalam catatan sejarah. Salahuddin Al-Ayubi bukan sahaja diakui oleh sejarawan Islam malah turut diakui oleh sejarawan Barat dan Orientalis dengan mereka menyebut Salahuddin sebagai Saladin.  

Penelitian di dalam penulisan ini adalah mengenai kerangka polisi yang terkandung dalam kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi serta bagaimana implementasinya dalam gerakan membebaskan Baitul Maqdis. Penelitian ini bertujuan untuk mengetahui bagaimana kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi. 

Metode yang digunakan dalam penelitian ini adalah kajian kepustakaan (library research) melalui teknik analisis deskriptif (descriptive analysis), dengan cara mengumpulkan data atau bahan-bahan yang berkaitan dengan tema perbahasan dan permasalahannya, yang diambil dari sumber kepustakaan dan kemudian diberikan kesimpulan. 

PENDAHULUAN

  1. Latar Belakang Masalah

Kepimpinan adalah suatu proses untuk menggerakkan manusia menuju satu tujuan yang telah ditetapkan dengan memotivasikan mereka dengan cara yang tidak memaksa. Peter G. Northouse menjelaskan berkaitan kepimpinan sebagaimana yang ditulis oleh Muhd Su’ud dalam jurnalnya:

Selama bertahun-tahun, kepemimpinan telah dijelaskan dan didefinisikan dalam berbagai cara. Komponen umum yang ada di hampir semua klasifikasi adalah kepemimpinan merupakan suatu proses mempengaruhi yang membantu sekelompok individu untuk mencapai tujuan. Kepemimpinan dijelaskan sebagai proses di mana seorang mempengaruhi sekelompok individu untuk mencapai tujuan bersama. Definisi tersebut mencakup 3 komponen: (1) Kepemimpinan adalah proses, (2) kepemimpinan terdapat dalam kelompok, dan (3) kepemimpinan melibatkan tujuan yang sama (Northose, 2013:5). Karena itu, pemimpin dan pengikut adalah bagian dari proses kepemimpinan, penting untuk dibicarakan masalah yang dihadapi pemimpin. 

Menurut Miftah Thoha, definisi pemimpin yang efektif ialah: 

Pemimpin yang dalam menerapkan gaya tertentu dalam kepemimpinannya terlebih dahulu harus memahami siapa bawahan yang dipimpinnya, mengerti kekuatan dan kelemahan bawahannya, dan mengerti bagaimana cara memanfaatkan kekuatan bawahan untuk mengimbangi kelemahan yang mereka miliki.

Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah kepada umat manusia merupakan pemimpin agama dan negara. Baginda bertindak sebagai utusan Allah SWT yang menyampaikan dakwah Islam dan juga sebagai pemimpin tertinggi di Madinah ketika itu. Pasca kewafatan Rasulullah SAW, muncul persoalan politik (siyasah) terutama berkaitan dengan kelangsungan kepimpinan untuk siapa yang layak menggantikan Rasulullah SAW. Maka selepas diadakan syura, Saidina Abu Bakar RA telah dipilih sebagai Khalifah yang bakal meneruskan legasi kepimpinan Baginda. Legasi kepimpinan ini meneruskan perancangan Baginda dalam membebaskan Baitul Maqdis. Pengaruh kepimpinan Rasulullah SAW telah menginspirasikan para Sahabat untuk menetapkan hala tuju dan menyelaraskan gerak kerja memperkasakan dakwah Islamiyah. Kepimpinan gaya Rasulullah SAW ini telah membawa Islam ke tahap yang tidak pernah disangka oleh para Sahabat dan musuh Baginda. 

Sebagaimana kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh, beliau adalah salah seorang yang berpengaruh dalam memperluaskan wilayah Islam di bawah empayar Turki Uthmaniyah. Felix Siauw menyebutkan dalam bukunya bahawa,

Sulṭan Muhammad Al-Fateḥ memiliki keperibadian yang begitu mempesona dan keahlian yang sedemikian banyak selain ketakwaan individunya yang luar biasa.

Tokoh panglima Islam yang lain adalah seperti Abdurrahman Ad-Dakhil, sosok panglima Islam yang menakluk Andalusia. Menurut Muhammad Ali, 

Para ulama yang hidup di masa Abdurrahman dan bergaul dengannya menyatakan bahwa ia adalah sosok yang dermawan, murah hati, dan mulia. Ia adalah orang yang sederhana dalam berpakaian, dalam makanan, dan dalam minuman.

Tidak kurang hebatnya juga yang sebaris bersama Sultan Muhammad Al-Fateh dan Abdurrahman Ad-Dakhil iaitu Salahuddin Al-Ayyubi. Ali Muhammad Ash-Shalabi mengatakan bahawa,

Salahuddin Al-Ayyubi adalah keturunan Najmuddin Ayyub bin Syadzi bin Marwan Al-Kudri. Dilahirkan pada tahun 532 H atau 1137 M di benteng Tirkit, sebuah kota tua yang jaraknya lebih dekat ke Baghdad daripada ke Mosul.

Sementara itu, Abdullah Nasih Ulwan melanjutkan bahawa, 

Salahuddin menghabiskan masa kecilnya dengan belajar, membaca, menulis dan menghafal Al-Quran. Selain itu Salahuddin mempelajari ilmu kaedah-kaedah bahasa dan ilmu nahu dari para ulama.

Salahuddin Al-Ayyubi adalah pahlawan Islam yang boleh dijadikan contoh untuk kita pada hari ini. Beliau adalah seorang  pemimpin yang adil, panglima perang, mujahid Islam, ulama yang faqih, penuntut ilmu serta pemimpin yang pemurah dan penuh belas kasihan. 

Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan dalam bukunya:

Salahuddin juga berlatih ketangkasan dalam berkuda dan memanah. Dia juga gemar berburu dan berlatih strategi perang. Sehingga sangat bermanfaat ketika kelak dia dewasa dan memimpin perang. Salahuddin tumbuh dalam lingkungan dan zaman yang menempanya menjadi pemimpin yang cerdas, berhati tegar, dan bijak. Salahuddin adalah pemimpin yang berakhlak mulia, ahli dalam politik, piawai dalam strategi perang, penunggang kuda yang mahir, dan berilmu serta dekat dengan ulama. 

Umat Islam kini sedang memerlukan pemimpin seperti Salahuddin al-Ayyubi untuk mengembalikan izzah Islam dan pastinya untuk membebaskan Baitul Maqdis. Kita hari ini telah kehilangan jalan teladan. Kita tidak mengetahui kepentingan Baitul Maqdis dan mempertahankannya akan menyelesaikan konflik yang berlaku di negara-negara Islam. Apatah lagi menganggap bahawa Baitul Maqdis ini adalah bumi barakah atau al-Ardhul Mubarakah di mana ia menjadi saksi kepada peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW, kiblat pertama umat Islam dan kota suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.

BIOGRAFI SALAHUDDIN AL-AYYUBI

  1. Garis Keturunan

Salahuddin berasal dari sebuah keluarga bangsa Kurdi yang memiliki asal-usul mulia dan sangat terhormat. Keluarga ini berasal dari suku Rawadiyah di mana suku ini bermigrasi dari sebuah kota kecil yang terletak di sempadan hujung Azerbaijan, tidak jauh dari kota Taplis di Armenia.

Nasab al-Ayyubi adalah mereka yang berasal dari keturunan Ayyubi bin Syadi, menurut Ibn Atsir dinyatakan sebagai suku Kurdi yang paling terhormat kerana keturunan ini tidak pernah diperhambakan dan ayah Salahuddin serta pakciknya iaitu Asaduddin Shirkuh ketika datang ke Iraq mahupun ke Syam tidak pernah berstatus sebagai rakyat biasa; tetapi kedua-duanya telah menduduki posisi dan kedudukan yang tinggi, kerana pengalaman mereka dalam urusan politik dan pentadbiran negara.  

  1. Kelahiran 

Salahuddin al-Ayyubi dilahirkan pada tahun 532 H bersamaan 1137 Masihi di Kota Tikrit. Kota ini dibangunkan oleh bangsa Parsi sejak zaman dahulu kala, di mana ia digunakan sebagai gudang penyimpanan senjata dan menara tinjau musuh. Kota ini telah ditakluk oleh tentera Muslim pada tahun ke-6 H di masa kekuasaan Saidina Umar al-Khattab RA. Kelahiran Salahuddin ini bertepatan dengan keluarnya perintah dari Mujahidun Bahruz, penguasa Baghdad kepada Najmuddin Ayyub dan saudaranya Shirkuh, agar meninggalkan kota Tikrit. Perintah tersebut dikeluarkan selepas satu pembunuhan yang telah dilakukan oleh Shirkuh terhadap salah seorang komandan di kota tersebut. Pembunuhan tersebut dilakukan atas alasan komandan tersebut telah mencabul kehormatan seorang wanita yang meminta pertolongan kepada Shirkuh; maka demi kehormatan dan harga diri, Shirkuh pun membunuhnya. 

  1. Pertumbuhan Salahuddin

Selepas peristiwa diarahkan keluar oleh penguasa Baghdad, Najmuddin Ayyub dan Shirkuh berhijrah dari Tikrit ke Mosul. Mereka singgah di tempat Imaduddin Zanki yang menyambut kedua-duanya dengan gembira dan memberikan banyak hadiah. Pemberian dan layanan yang baik ini adalah kerana Najmuddin dan Syirkuh telah membebaskan Imaduddin dari hukuman bunuh selepas cubaan Imaduddin menyerang kerajaan Seljuk di Tikrit dalam cubaannya untuk menjadi pemerintah Seljuk. 

Najmuddin dan Shirkuh serta Salahuddin hidup dalam perlindungan Imaduddin. Malah, Imaduddin telah menyerahkan urusan ketenteraan kepada Najmuddin dan Shirkuh. Ketika Baalbek jatuh ke tangan Imaduddin pada 534 M, beliau mengangkat Najmuddin Ayyub sebagai Gabenor di wilayah tersebut. 

Disebabkan oleh biah kepimpinan ayah dan bapa saudara yang melingkari kehidupan Salahuddin, beliau sudah diajar untuk menunggang kuda serta berlatih seni perang, mempelajari seni politik dan diberi tanggungjawab untuk menguruskan pelbagai perkara. Ilmu sebegini sudah diajar sejak Salahuddin masih remaja kerana Najmuddin dan Shirkuh merasakan bahawa Salahuddin akan menjadi pemimpin Islam yang hebat pada masa akan datang. 

Pada suatu ketika, ada satu pemberontakan yang telah terjadi yang telah dicetuskan oleh Syawar As-Sa’di terhadap Dinasti Fatimiyah pada 558 H. Syawar telah pergi ke Damsyik untuk meminta bantuan Nuruddin dan Nuruddin sudi untuk membantu Syawar. Nuruddin telah mengarahkan Asaduddin Shirkuh untuk mengetuai tentera yang juga disertai oleh anak saudaranya iaitu Salahuddin. Dengan kecerdasan dan kemampuan pengurusannya yang cukup baik, Salahuddin dan bapa saudaranya berjaya menumbangkan kerajaan Fatimiyah dan menyatukan Mesir di bawah kekuasaan Nuruddin.

  1. Riwayat Pendidikan

Salahuddin terus mendapat pendidikan yang cukup di mana beliau mempelajari seni politik daripada ayahnya; mempelajari strategi perang dari bapa saudaranya; sehingga membesar dalam keadaan arif dalam hal ehwal politik. Kemudian beliau menghafal Al-Quran, mempelajari ilmu fiqh dan hadith dengan menjadi murid kepada sejumlah ulama dan asatizah di wilayah Syam dan al-Jazirah. Di antara gurunya adalah Syeikh Qutbuddin an-Nisaburi. 

Watak Salahuddin banyak dipengaruhi oleh Nuruddin yang menunjukkan qudwah hasanah dan keikhlasan serta ketajaman akalnya dalam menjawab persoalan-persoalan agama. Salahuddin terus berkembang menjadi pemuda harapan umat, sebagaimana dikemukakan oleh penyair berikut:

Generasi muda tumbuh di tengah kita. Sesuai dengan adat-istiadat yang dibiasakan oleh bapaknya.

SUMBANGAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI

Salahuddin al-Ayyubi telah menghabiskan hidupnya dalam memerangi tentera Salib dan mempertahankan Baitul Maqdis. Cabaran Salahuddin bermula apabila beliau telah membebaskan Baitul Maqdis daripada tentera Salib dan perlu mempertahankannya dari serangan musuh-musuh Islam. 

  1. Pendidikan

Salahuddin adalah individu yang sangat mencintai ilmu dan sentiasa memberi ruang yang luas kepada ulama. Beliau tidak berkira-kira dalam menggunakan wang dan tenaga demi kepentingan membangkitkan gerakan pendidikan di negara. Oleh sebab itu, beliau mendirikan banyak madrasah dan menjemput para penulis, penyair dan para seniman. Ketika itu, terdapat sistem pengajaran yang bernama kuttab untuk mempelajari al-Quran dan ilmu Hadis. Mereka juga mempelajari kaligrafi Arab dan berusaha melakukan yang terbaik dalam bidang ini. 

Selain itu, mereka juga mempelajari prinsip Matematik, menghafal syair dan peribahasa Arab. Mereka turut mempelajari bagaimana melaksanakan solat jemaah, cara berdoa dan cara mencapai khusyuk dalam solat mereka. Masjid-masjid menjadi peranan penting dalam mencetuskan gerakan pendidikan. 

Salahuddin telah membangunkan madrasah Al-Aqsa setelah membebaskan Baitul Maqdis pada 583 H dan mengangkat Ibn Syaddad sebagai pengajarnya. 

  1. Ekonomi

Kerajaan pimpinan Salahuddin sangat makmur dan mewah kerana ada ekonominya stabil. Sumber ekonomi ketika itu dikumpulkan dari:

i) Harta milik Dinasti Fatimiyah setelah Mesir berada di bawah kekuasaannya

ii) Jizyah yang diberikan oleh orang kafir Zimmi

iii) Wang tebusan yang diberikan oleh para tawanan

iv) Ghanimah (harta rampasan perang) yang diperoleh ketika perang

v) Kharah (pajak tanah) dari tanah-tanah yang telah diberikan kepada tentera Muslim secara damai melalui perjanjian

vi) Sumber-sumber lain yang tidak bertentangan dengan syariat

Mesir dan Syria menjadi wilayah yang menjadi penyumbang utama kepada pertanian dan juga ketenteraan. Mereka menjadi penyokong dengan bersama-sama melawan tentera Salib dan membekalkan tentera Muslim dengan bahan makanan dan senjata. 

Dalam bukunya Safar Namah, Nashir Khusraw menggambarkan kota Tripoli di Syria pada masa Salahuddin; 

“Ia adalah kota yang indah, dikelilingi kebun serta mempunyai banyak pohon tebu, jeruk pahit (bitter orange) dan pisang. Setiap rumah yang ada mempunyai empat, lima atau enam tingkat. Jalan-jalan dan pasar-pasarnya sangat indah dan bersih hingga kita mengira setiap pasar adalah istana yang telah dihias. Di tengah kota terdapat masjid jami' yang besar, bersih dan dihiasi ukiran indah. Di pasar terdapat air mancur dengan lima keran untuk mencukupi keperluan penduduk. Ada juga fabrik kertas.”

  1. Sosial

Kehidupan sosial pada masa Salahuddin sangat genting kerana sentiasa bersedia untuk berjihad dan melawan tentera Salib yang tidak duduk diam apabila Baitul Maqdis diambil oleh Salahuddin pada 2 Oktober 1187. Walaupun ketika itu sebahagian dunia telah berada di bawah kuasanya, beliau menunjukkan teladan yang baik kepada tentera dan rakyatnya dalam hal berpakaian, makan secara sederhana dan duduk dengan tawaduk. 

Di antara sumbangan besar Salahuddin kepada masyarakat Muslim adalah penghapusan aspek-aspek kebudayaan yang mendominasi pada masa pemerintahan Fatimiyah, terutama ketika pesta dan sambutan hari raya, seperti hari raya Nairuz. Beliau juga menghapus pelbagai bidaah yang terjadi dalam beberapa perayaan. Misalnya, bidaah pada hari Asyura yang menjadi hari dukacita dan putus asa pada masa pemerintahan Fatimiyah. Pada hari tersebut, mereka akan menangis dan menyeksa diri mereka. Salahuddin telah melenyapkan kebiasaan ini dengan menjadikan hari tersebut sebagai hari yang gembira dan hari untuk bersedekah. 

Salahuddin juga telah menghapuskan pelbagai jenis pajak yang menjadi beban masyarakat. Kesan dari penghapusan pajak ini, beliau menggantikan kerugian amir Makkah yang selama ini bergantung nasib kepada hasil pajak tersebut.

PELAN STRATEGIK RASULULLAH SAW UNTUK MEMBEBASKAN BAITUL MAQDIS

  1. Pengetahuan

Rasulullah SAW telah mula menyebarkan pengetahuan tentang Baitul Maqdis sebelum Baginda melalui zaman kenabian lagi. Baginda telah memberi fokus kepada dua perkara iaitu aqidah dan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat Islam yang kedua-duanya telah dimulakan di Makkah. 

Rasulullah SAW telah membuat para Sahabat begitu teruja untuk pergi ke Baitul Maqdis yang ketika itu di bawah penjajahan Byzantine dengan nama Aelia Capitolina. 

Kejadian ini dirakam dalam satu Hadis ketika Maimunah binti Saad pernah bertanya Nabi SAW tentang Masjidil Aqsa dan peranan kita sebagai orang Islam terhadapnya, 

“Ya Rasulullah, khabarkan kepada kami tentang Baitul Maqdis”

 

Rasulullah SAW menjawab: "Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan. Kunjungilah untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” 

Beliau kemudian bertanya: "Jika salah seorang daripada kami tidak mampu untuk menziarahinya, apakah yang patut kami lakukan?”

Baginda SAW menjawab: Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkanlah minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. Perbuatan ini akan menjadikan kalian seolah-olah menunaikan solat di sana.
(HR Imam Ahmad dan at-Tabrani)

Hadis ini telah menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menanam minat dan kesedaran kepada para Sahabat berkenaan Baitul Maqdis dan kesedaran ini menjadi bahan bualan penduduk di Makkah dan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. 

  1. Politik

Selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan menubuhkan kerajaan Islam di sana, Baginda terus menggerakan persediaan politik dan persediaan ini terpecah kepada tiga;

  • Menghantar perutusan kepada Heraklius sebagai maharaja Byzantine untuk memeluk Islam
  • Mewaqafkan tanah kepada Tamim ad-Dari di Baitul Maqdis walaupun ia masih di bawah kekuasaan Byzantine
  • Menyediakan pasukan tentera untuk perang Tabuk, Mu’tah dan ekspedisi Usamah Bin Zaid atas arahan Rasulullah SAW.

Ketiga-tiga perkara ini menunjukkan perancangan Rasulullah SAW untuk menghubungkan umat Islam di Madinah dengan Baitul Maqdis dan ini memberi kesan yang mendalam kepada para Sahabat kerana mereka sudah mula berimpian untuk menetap di Baitul Maqdis. Malah, selepas kewafatan Rasulullah SAW, para Sahabat tetap meneruskan pelan ini dengan cetusan Saidina Abu Bakar, antara Sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah SAW dan mengetahui tentang pelan yang Rasulullah SAW rangka. 

  1. Ketenteraan

Fasa ketenteraan telah bermula apabila Saidina Umar RA menjadi Khalifah. Beliau telah memimpin tentera Islam dalam perang Yarmuk bersama dengan Khalid Al-Walid menentang tentera Byzantine. Perang yang dikatakan epik ini telah dimenangi oleh tentera Islam walaupun jumlah tentera Islam lebih kecil berbanding tentera Byzantine. 

Dari Yarmouk, tentera Islam bergerak ke Baitul Maqdis yang dipecahkan kepada 7 briged di mana setiap briged diketuai oleh Sahabat atau Tabi’in dan mereka mengepung kota Baitul Maqdis selama berbulan-bulan dan akhirnya penduduk di dalam kota tersebut mengaku kalah akibat kekurangan bahan makanan. 

Maka, berjayalah tentera Islam mendapatkan Baitul Maqdis setelah perjuangan yang panjang. Umat Islam meraikan dengan takbir dan kemudian mereka membersihkan kawasan pekarangan Masjidil Aqsa untuk solat di situ. Bayangkan perasaan umat Islam yang ingin solat ketika itu, mereka berasa syahdu dan sebak kerana Rasulullah SAW tidak berada bersama mereka ketika itu dan perasaan itu semakin kuat ketika Bilal RA melaungkan azan pertama di Baitul Maqdis dan kemudian Bilal menyebut,

“Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Maka, menangislah para Sahabat tanda cinta dan berimannya mereka dengan Rasulullah SAW. 

PENUTUP

Salahuddin Al-Ayubi telah merencana gerak kerja yang komprehensif mengikut apa yang telah dirangka oleh Rasulullah SAW. Beliau berpegang kepada tiga strategi Rasulullah SAW iaitu pengetahuan, politik dan ketenteraan. Asas yang paling penting adalah kefahaman ilmu kerana dengan kesedaran ia akan menjadi satu gagasan yang akhirnya melahirkan tindakan. 

Faham juga menjadikan kita kekal dengan prinsip perjuangan walaupun pelbagai cubaan untuk menggagalkannya. 

Kesilapan kita pada hari ini adalah kurangnya kefahaman kita tentang kepentingan Baitul Maqdis dan berpecahnya kita kepada kelompok-kelompok yang memberi ruang kepada musuh untuk mengalahkan kita. 

Seperti yang pernah ditulis oleh Allahyarham Dr. Siddiq Fadzil,

“Memang sudah lama umat kita kehilangan thinking capacity atau kemampuan berfikir…” 

Fikiran kita diracuni oleh perkara yang tidak mendatangkan manfaat buat ummah. Kita disibukkan dengan pertelingkahan politik, mazhab dan susur galur. Sedangkan Salahuddin al-Ayyubi berjuang untuk meletakkan ummah di bawah satu payung demi membebaskan Baitul Maqdis. 

Jika kita tertanya-tanya dari mana untuk kita mulakan bagi membebaskan Baitul Maqdis, jawapannya adalah dengan memahami betapa pentingnya Baitul Maqdis buat kita. Kefahaman yang jelas akan membawa kepada penyatuan ummah.