Pihak Berkuasa Palestin (PA) Tunjuk Taring di Tebing Barat?
![](https://cdn.prod.website-files.com/64b0ba4f21cbfbd31a8b964d/67904fa77e0656bc649a62ab_AFP__20241221__36R672R__v2__HighRes__PalestinianIsraelConflictProtest-1734795259.webp)
Pelaksanaan sekatan terhadap rangkaian media, Al-Jazeera oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat pada awal Januari 2025 bukanlah sesuatu yang baharu. Sebagai rekod, sekatan ke atas Al-Jazeera dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, sebanyak empat kali: bermula seawal Mac 2001, Julai 2009 dan Disember 2024.
Mula bertapak di Palestin pada 2000, Al-Jazeera dikenali sebagai entiti media yang lantang dan agresif dalam melaporkan situasi di Gaza dan Tebing Barat. Pada hari ini, pejabat Al-Jazeera di Ramallah dan timur Baitul Maqdis terpaksa dihentikan operasinya; manakala pejabatnya di Gaza telah dibom pada 2021.
Adakah PA mempunyai dendam terhadap Al-Jazeera?
Sebenarnya,, situasi di Tebing Barat semakin meruncing sejak Mei 2024 kerana PA giat menentang penduduk Palestin di sana yang dianggap mengganggu-gugat kestabilan politik. Memetik pendapat penganalisis politik, Khalil Shaheen, tindakan PA adalah bertujuan untuk menyelamatkan dasar politik mereka – penyelesaian dua negara – sebagai jalan keluar daripada konflik bersama Israel. Jadi, mana-mana dasar lain yang bercanggah dianggap memberi ancaman terhadap PA.
Maka tidak hairanlah jika seorang anak muda Palestin di Tebing Barat, Tarqi al-Khudeiri ditahan dan disoal siasat oleh pasukan keselamatan PA atas tuduhan menghina mantan pemimpin Palestin, Yasser Arafat dan dianggap ahli HAMAS. Walhal, al-Khudeiri dan rakan-rakannya berhimpun untuk solidariti penduduk Gaza yang dibantai oleh rejim Israel.
“Disebabkan itu, mereka menangguhkan pilihan raya kerana mereka tahu kekalahan yang bakal diterima akan memalukan Fatah.” – Khalil Shaheen.Jadi, untuk mengatakan PA ada dendam terhadap Al Jazeera sebenarnya tidak wajar. Lebih tepat jika tindakan PA ini dilihat sebagai satu usaha mengunci media untuk tidak mengutuk pentadbiran Palestin berlebihan sehingga boleh mengancam kestabilan kuasa mereka di sana.
Lihat sahaja keadaan di Jenin.
Jika sebelum ini Jenin menjadi sasaran rejim Zionis kerana di sinilah bermulanya gerakan penentangan Palestin, al-Jihadiyyah oleh Izzudin al-Qassam dan digeruni Zionis sehingga ke hari ini, giliran PA pula yang terancam dengan kebangkitan penduduk Jenin. Sebagai rekod, Jenin dikepung oleh pasukan keselamatan PA sejak 10 Disember 2024 sebelum melancarkan pencerobohan lima hari kemudian.
Pada 14 Disember 2024, pertembungan di antara pasukan keselamatan PA dan pasukan penentangan Jenin, Briged Jenin berakhir dengan kesyahidan komander Briged Jenin, Yazid Ja’ayseh. Tidak cukup dengan itu, pada 28 Disember 2024, seorang pelajar jurusan kewartawanan, Shatha Sabbagh syahid ditembak oleh pasukan keselamatan PA.
Sudah pasti penduduk Palestin menyelar tindakan PA yang mencerminkan kekejaman rejim Israel di Tebing Barat. Kebersamaan penduduk Palestin di Tebing Barat, terutamanya Jenin membuatkan PA tidak senang duduk kerana menganggap mereka penyokong HAMAS yang mana kita semua tahu gerakan politik ini lebih tegas menentang Benjamin Netanyahu dan sekutunya.
Bagaimanapun, adakah ini bermakna PA memihak kepada Israel?
Pakar di Middle East Council on Global Affairs, Omar Rahman mendedahkan bahawa sejak beberapa tahun yang lalu, PA sudah kehilangan kuasa ke atas Tebing Barat dan kini entiti itu cuba membuktikan keupayaan mereka – kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS) – untuk mentadbir wilayah itu ketika menerima kecaman teruk daripada penduduk Palestin.
Terkini, PA dilaporkan telah menggesa AS segera meluluskan dana pertahanan yang berjumlah $68,000,000 untuk kegunaan latihan khusus ketenteraan dan menambah bekalan senjata, termasuk kenderaan berperisai. Sedar tidak sedar, permohonan dana itu dibuat pada pertengahan Disember 2024 di dalam pertemuan bersama pegawai keselamatan AS di Kementerian Dalam Negeri di Ramallah, Tebing Barat. Permohonan dana itu juga susulan daripada tekanan dari AS ke atas PA untuk bertindak lebih agresif di Tebing Barat.
Israel pula memang sengaja melancarkan strategi untuk melemahkan PA sejak 7 Oktober 2023. Mereka bijak memancing PA dengan memberi jaminan kuasa di Tebing Barat sekiranya berjaya mematahkan penentangan penduduk Palestin terhadap Israel. Maka, tidak hairan jugalah tindakan PA ke atas penduduk Palestin di Jenin – menyekat sumber air bersih; sumber elektrik; bekalan makanan – begitu mirip dengan tindakan Israel ke atas penduduk Gaza.
Jenin adalah sebuah tempat yang dikenali sebagai ‘Jenin al-Qassam’ kerana semangat penduduknya yang luar biasa dalam tuntutan Palestin yang merdeka. Semakin banyak tekanan yang mereka terima – Israel dan PA – semakin tinggi semangat perjuangan menentang sebarang bentuk penentangan yang boleh menghancurkan masa depan negara mereka. Tidak mustahil juga, melalui bibit-bibit ini jugalah akan mencetuskan satu lagi intifada pada era moden.
Terbaharu, kumpulan advokasi veteran Israel, Breaking the Silence memberitahu bahawa penduduk haram Israel di Tebing Barat dibenarkan untuk membakar kampung-kampung di seluruh Tebing Barat selama beberapa hari dan kini tentera Israel melancarkan operasi itu di Jenin. Kumpulan itu menyifatkan Jenin sedang diperlakukan sama seperti di Gaza – “Gazafied” – dengan serangan udara dan kemusnahan infrastruktur yang dilancarkan oleh rejim Israel sejak gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa.
Jika dulu perhatian kita untuk Gaza, kini masanya kita memberi fokus dan membela nasib rakyat Palestin di Tebing Barat. Walaupun PA dan pasukan mujahidin di Tebing Barat sudah menamatkan penentangan terhadap pihak masing-masing, namun tidak mustahil rusuhan boleh berlaku dan perang saudara akan meletus sekiranya timbul hal-hal yang boleh menghalang PA untuk mengukuhkan kuasanya di Tebing Barat.