All Articles

Perjanjian Damai Palestin-Israel: Retorik Atau Realiti?

Written by
Haikal Zulkefli
Published on
August 16, 2022

Serangan terhadap Gaza yang dinamakan oleh Israel sebagai operasi Breaking Dawn, berlangsung hampir tiga hari bermula dari 5 Ogos hingga 7 Ogos yang lalu, telah ditamatkan dengan gencatan senjata bersyarat bersama Gerakan Jihad Islam Palestin (PIJ). Serangan ini bermula dengan penangkapan Bassam Shadi, salah seorang pemimpin kanan kepada PIJ di Jenin, Tebing Barat dan berakhir dengan kematian yang beberapa pemimpin PIJ di Gaza.

Jika kita melihat kepada maksud perjanjian damai, ia bermaksud satu perjanjian antara dua atau lebih pihak yang bermusuhan, yang secara rasminya menamatkan peperangan antara pihak-pihak terbabit. Ia berbeza pula dengan gencatan senjata yang bermaksud perjanjian untuk menghentikan permusuhan atau penyerahan, di mana pihak tentera bersetuju meletakkan senjata untuk menghentikan pertempuran secara sementara atau secara kekal.

Konteks penulisan ini bukanlah untuk memfokuskan kepada definisi perjanjian damai atau gencatan senjata, tetapi penulisan ini mahu membawa pembaca memahami konteks perjanjian damai yang telah termeterai sepanjang konflik antara Palestin dan Israel berlaku. Melihat kepada definisi kedua-dua terma, kita pasti menganggap bahawa tidak banyak perjanjian damai yang ditawarkan oleh semua pihak yang berkaitan, terutama semenjak Palestin dijajah oleh British pada 1917 dan kemudian oleh Zionis pada 1948. 

Naratif yang sering menghiasi portal berita ialah Israel sering menawarkan “salam perdamaian” kepada Palestin dan negara-negara Arab yang lain. Israel juga dalam masa yang sama sering menuduh Palestin dan pemimpin Arab yang lain tidak pernah menyambut “salam perdamaian” yang dibawa dan memilih untuk menjadi musuh. Disebabkan ini, Israel selalu dianggap sebagai mangsa keadaan dan pemimpin Arab pula sebagai kumpulan yang anti-perdamaian. 

Sebelum penubuhan negara haram Israel lagi, pemimpin Palestin telah cuba untuk mencapai persefahaman dengan penjajah Zionis. Pada 1928, pemimpin Palestin telah membuat undian untuk memberi hak yang sama kepada gerakan Zionis ini di dalam struktur pemerintahan walaupun status mereka sebagai pendatang yang baru sahaja sampai ke Palestin.

Tetapi pemimpin Zionis telah menolak usul ini. Kemudian, pada 1947, pemimpin Palestin sekali lagi mencadangkan untuk membentuk unitary state bagi memastikan orang Arab dan Yahudi dapat hidup bersama dan bebas dari mandat British. 

Banyak lagi percubaan yang dilakukan oleh pemimpin Palestin untuk hidup bersama mereka, tetapi sudah semestinya semua percubaan perdamaian yang ditawarkan tidak memberi manfaat yang besar kepada pemimpin Zionis, kerana mereka ingin menjadikan Palestin sebagai sebuah negara Yahudi. David Ben Gurion ketika itu pernah menyatakan bahawa, “After the formation of a large army in the wake of the establishment of the state, we will abolish partition and expand to the whole of Palestine.”

Ketika perang berlaku pada 1948, banyak peluang yang muncul, memungkinkan untuk menghentikan pertembungan di antara Arab dan Yahudi, namun Israel menolak. Ada juga rundingan yang dilakukan di antara Israel dan Mesir pada Oktober 1948. Mesir pada ketika itu telah bersedia untuk menawarkan pelbagai konsesi sebagai pertukaran untuk keamanan, malah Mesir juga menawarkan untuk menempatkan pelarian Palestin di kawasan yang telah PBB tandakan sebagai kawasan komuniti Arab di Palestin. Empat hari selepas perbincangan ini, David Ben Gurion telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap penduduk Palestin. 

Selepas kemenangan yang diraih oleh Israel pada 1948, mereka berasa yakin untuk mengulangi semula kejayaan mereka memenangi perang tersebut. Secara sengaja mereka mengheret kembali negara-negara Arab dalam perang Arab-Israel 1967. Walaupun Israel mengatakan perang ini hanya untuk mempertahankan rakyatnya, namun jelas bahawa perang ini tidak lebih sekadar untuk menunjukkan betapa jelasnya niat Israel mensabotaj sebarang percubaan perdamaian yang ditawarkan oleh negara-negara Arab di sekeliling mereka. 

Sebagai contoh, ketika krisis antara Arab dan Israel berlaku pada 1967, Mesir telah mengutarakan kesudiannya untuk memulakan semula Egyptian-Israeli Mixed Armistice Commission (EIMAC), yang ditolak mentah-mentah oleh Israel pada Mei 1967. EIMAC adalah sebuah organisasi yang memantau sebarang gencatan senjata yang dilakukan di sepanjang garisan yang termaktub dalam General Armistice Agreements. Dalam bulan yang sama, U-Thant yang merupakan Setiausaha PBB ketika itu cuba untuk mengelakkan sebarang peperangan berlaku dan beliau pergi ke Kaherah untuk menjadi orang tengah di antara Mesir dan Israel. U-Thant datang dengan satu cadangan yang meminta moratorium selama dua minggu di Selat Tiran. 

Mesir menerima cadangan ini dengan harapan untuk mengurangkan ketegangan, tetapi Israel menolak cadangan ini. Brian Urquhart yang merupakan seorang pegawai kanan di PBB ketika itu telah menulis di dalam memoirnya, “Israel, no doubt having decided on military action, turned down U-Thant’s ideas.”  

Pelbagai contoh yang boleh dikemukakan untuk membuktikan bahawa Israel lebih memilih perang atau status-quo demi mempertahankan kepentingan mereka berbanding keamanan. Ketika Perjanjian Oslo dilaksanakan, bilangan penempatan haram Israel meningkat. Peningkatan ini berpunca dari seruan Ariel Sharon melalui radio Israel pada tahun 1998;

“Everybody has to move, run and grab as many (Palestinian) hilltops as they can to enlarge the (Jewish) settlements because everything we take now will stay ours… Everything we don’t grab will go to them.”

Disebabkan itu, perjanjian damai atau gencatan senjata yang dilakukan oleh Israel hanyalah retorik mereka yang bertujuan untuk terus melengahkan pembebasan Palestin. Israel akan terus melakukan tindakan sedemikian untuk menjadikan rakyat Palestin berputus asa dan meninggalkan tanah mereka seterusnya akan dirampas oleh Israel.