All Articles

Perbincangan Gencatan Senjata Fasa Dua: Sejauh Mana Serius Israel di Dalam Mematuhi Peraturan?

Written by
Syahmi Afiq
Published on
February 5, 2025

Gencatan senjata antara Hamas dan Israel, yang bermula pada 19 Januari 2025, menandakan satu usaha kritikal untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama lebih 15 bulan. 

Walaupun perjanjian ini dilaksanakan secara berperingkat — dengan fokus awal terhadap bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan — beberapa cabaran besar mengancam kelangsungan dan kejayaan jangka panjangnya, antaranya:   

i) Perpecahan Politik dalam Israel: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengetuai sebuah kerajaan gabungan yang rapuh, termasuk faksi keras yang menentang sebarang kompromi dengan Hamas. Perpecahan dalaman ini meletakkan tekanan ke atas Netanyahu untuk mengambil pendirian tegas, sekaligus menyukarkan usaha mencapai perjanjian damai yang mampan. Itamar Ben Gvir umpamanya telah pun meletakkan jawatan daripada kabinet Netanyahu dan menarik semula sokongan kepada kepimpinannya. Bezalel Smotrich juga dalam masa yang sama berterusan mengugut akan menarik semula sokongan jika perang tidak diteruskan. 

ii) Rasa Tidak Percaya Antara Pihak Terlibat: Rasa tidak percaya yang mendalam antara Hamas dan Israel menjadikan rundingan sukar dilaksanakan. Kedua-dua pihak bimbang bahawa pihak lawan mungkin akan mengambil kesempatan daripada gencatan senjata untuk keuntungan ketenteraan atau gagal memenuhi komitmen yang dipersetujui.  

iii) Ketidakpastian Pemerintahan: Tuntutan Israel agar Hamas disingkirkan daripada kuasa menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan memerintah Gaza selepas gencatan senjata. Ketiadaan autoriti alternatif yang jelas menambah ketidakpastian terhadap sebarang perjanjian jangka panjang.  

iv) Tekanan Antarabangsa: Penglibatan pengantara antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS), Mesir, dan Qatar, walaupun bermanfaat, turut membawa kerumitan tersendiri. Keutamaan yang berbeza dalam kalangan pemain global boleh merumitkan proses rundingan. 

v) Potensi Serangan Semula: Sifat gencatan senjata yang rapuh bermakna sebarang kegagalan memenuhi komitmen boleh dengan pantas mencetuskan semula permusuhan.  

Perkembangan terkini memperlihatkan lawatan Netanyahu ke Washington DC, untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump bagi membincangkan fasa seterusnya gencatan senjata. Pertemuan ini menekankan kepentingan hubungan AS-Israel, sambil memberi gambaran tentang potensi perubahan strategi berdasarkan keutamaan pentadbiran Trump.

Semalam (3 Februari 2025), Perdana Menteri Qatar mengumumkan bahawa rundingan untuk fasa kedua gencatan senjata akan bermula. Keperluan untuk mencapai persetujuan sebelum fasa pertama tamat pada 28 Februari 2025 adalah sangat mendesak. Namun kelihatan kunjungan Netanyahu ke AS seperti bertujuan untuk melengahkan perbincangan fasa kedua gencatan senjata ini. 

Boleh jadi juga usaha untuk membawa pulang semula warga Israel yang ditahan oleh mujahidin tidak menjadi perbincangan utama dek kerana respon pertukaran tahanan yang berlaku di fasa satu ini lebih banyak impak negatif terhadap Netanyahu dan kempen genosidnya di Gaza. Respon yang diterima daripada tahanan yang sentiasa tersenyum, kelihatan selesa dengan mujahidin menobrak terus propaganda imej Hamas dan al-Qassam sebagai ganas dan tidak bertamadun.  

Interaksi antara politik domestik di Israel, pengaruh AS, dan dinamika serantau mewujudkan persekitaran yang kompleks di sekitar perjanjian gencatan senjata dengan Hamas. Semasa rundingan berlangsung, kedua-dua pihak perlu menangani tekanan politik masing-masing sambil memenuhi keperluan kemanusiaan dan kebimbangan keselamatan.  

Walaupun terdapat peluang untuk perkembangan melalui pengantaraan antarabangsa, cabaran besar tetap wujud dan boleh menggugat usaha ke arah keamanan yang berkekalan di Gaza. Beberapa minggu mendatang akan menjadi penentu sama ada gencatan senjata ini mampu berkembang menjadi resolusi yang lebih stabil atau jika tercetusnya tindakan luar jangka daripada Israel, ia akan mengganggu harapan untuk mencapai keamanan berpanjangan sekali lagi.

MAKLUMAT TAMBAHAN

a) Trump menyebutkan di dalam satu sidang media semalam bahawa tiada jaminan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas akan bertahan. 

b) Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menyebutkan kepada media bahawa partinya menyokong "sebuah perjanjian aman dengan negara-negara Arab tambahan, antara lain Arab Saudi," tetapi "hanya jika ia berdasarkan kebenaran, tiada tipu daya terutamanya berkenaan hak Arab ke atas tanah Israel." 

c) Pentadbiran Trump telah memaklumkan secara tidak rasmi kepada pemimpin Kongres mengenai hasratnya untuk mempercepatkan jualan senjata bernilai $1 bilion kepada Israel, sebagai tambahan kepada jualan berasingan bernilai $8 bilion yang telah dilaksanakan pada hari-hari akhir pentadbiran Biden.5. Tutup dengan ahmad faezal 

d) Pejabat Perdana Menteri Israel mengumumkan bahawa kunjungan Netanyahu ke Amerika Syarikat akan dilanjutkan sehingga Sabtu petang, kerana menerima "permintaan yang tinggi untuk bertemu dengan pegawai-pegawai di Amerika Syarikat." Dia dijadualkan sepatutnya meninggalkan AS pada Khamis.