
Ketua Turus Tentera rejim Israel (IOF), Eyal Zamir telah menegaskan pada Isnin, minggu terakhir April 2026 bahawa pasukannya akan terus bertempur dengan beberapa kumpulan pejuang seperti Hizbullah, Iran dan HAMAS sepanjang 2026.
Bagaimanapun, Zamir turut menekankan keperluan negara haram Israel untuk meningkatkan jumlah pasukan ‘pertahanan’ susulan krisis terbaharu yang bermula pada Februari 2026 dan berlanjutan sehingga kini. Dia tidak teragak-agak menyifatkan IOF sedang berada di ambang keruntuhan.
Sebenarnya, isu kekurangan tentera Israel mula menjadi topik panas gelanggang politik Israel apabila Taufan al-Aqsa dilancarkan pada 7 Oktober 2023. Pada ketika itu, kekuatan Israel yang dilihat ada pada ketenteraannya — menjadikan Gaza pada hari ini — telah menutup kelemahan sebenar mereka yang mula berakar disebabkan kekurangan anggota tentera, baik yang sedang berkhidmat dan simpanan. Setakat Disember 2025, IOF memerlukan 12,000 orang tentera untuk menentang kumpulan pejuang Islam dari Lubnan, Gaza dan Iran.
Keadaan menjadi keruh apabila isu kekurangan tentera Israel telah mengheret kerajaan Benjamin Netanyahu dalam situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa. Manakan tidak, selain dikecam oleh parti pembangkang kerana dianggap sedang mengheret negara ke arah bencana keselamatan, Netanyahu juga menerima ugutan daripada sebahagian parti gabungan Yahudi Ortodoks – Haredi – yang membentuk kerajaan pada hari ini, iaitu Shas dan United Torah Judaism.
Ketenteraan Israel Meruncing – Krisis Psikologi Yang Membunuh
Kalau nak tahu, sebenarnya ‘kekebalan’ tentera Israel yang kita lihat pada hari ini telah menutup keretakan sistem politik, apatah lagi ketenteraan Israel. Setakat Februari 2026, seramai 76 orang tentera Israel dilapokan telah membunuh diri sejak 7 Oktober 2023. Sedar tidak sedar, peningkatan rekod bunuh diri dalam kalangan tentera Israel setakat Januari 2026 sahaja telah meningkat 40% sejak 2023. Berdasarkan satu laporan terkini pula, sekurang-kurangnya 10 orang dari unit pertahanan Israel telah membunuh diri pada April 2026 sahaja dengan pecahan seramai enam orang tentera dari unit aktif dan tiga orang tentera dari unit simpanan. Dalam tempoh yang sama, dua orang pegawai polis Israel, termasuk seorang pegawai polis sempadan turut dilaporkan membunuh diri pada bulan yang sama.
Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Haaretz, rekod bunuh diri dalam kalangan unit pertahanan Israel mencatatkan peningkatan sejak perang 7 Oktober meletus dan rekod tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah dilihat beberapa tahun ke belakang. Data juga mendedahkan bahawa sedekad (2013-2023) sebelum 7 Oktober 2023, purata kes bunuh diri dalam kalangan tentera Israel cuma 12 orang setiap tahun. Sejak daripada itu, jumlah kematian mencatatkan peningkatan. Misalnya dalam tempoh tiga bulan terakhir pada tahun 2023 (7 Oktober - 31 Disember), seramai 7 orang tentera dalam unit aktif bunuh diri, menjadikan jumlah purata yang bunuh diri adalah seramai 17 orang. Pada 2024, seramai 21 orang tentera Israel dilaporkan membunuh diri, manakala angka itu meningkat kepada 22 orang pada 2025 – angka tertinggi sejak 2010.
Melihat keadaan psikologi tentera Israel yang semakin meruncing, IOF mengaku sedang berusaha mengambil langkah berkesan untuk mengurangkan trend tersebut, terutama kes melibatkan tekanan mental tentera Israel yang tidak mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dakwaan itu tidak mencerminkan keadaan sebenar tentera Israel. Sudahlah ditugaskan untuk membunuh orang, nasib sendiri pula tidak dibela oleh kerajaan sendiri.
Jadi, apakah punca yang menyebabkan mereka memilih untuk mengambil nyawa sendiri?
Menurut Haaretz, lebih 20 laporan berkaitan unit tentera simpanan Israel dipaksa untuk lapor diri sejak perang Amerika Syarikat (AS) - Israel - Iran meletus walaupun mereka disahkan menghidapi Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD). Jika gagal berbuat demikian, mereka akan dipenjarakan di Sde Teiman di sempadan semenanjung Gaza; di mana tempat itu dianggap tempat ‘buangan’ untuk tentera yang tidak berguna dalam operasi perang. Sebagai rekod, Sde Teiman juga merupakan antara penjara yang ‘menawarkan’ kekejaman tidak masuk akal tentera Israel ke atas tahanan Palestin. Bayangkan saja, setiap kali tiba di penjara tersebut, tahanan Palestin disambut dengan ucapan, “Selamat datang ke neraka.”
Tidak cukup dengan itu, mereka juga dihalang untuk mendapatkan rawatan psikologi walaupun secara umum, IOF mendakwa mereka menyediakan perkhidmatan tersebut di bawah Jabatan Pemulihan. Rupanya, sesi bersama psikologis untuk unit tentera simpanan yang memerlukan rawatan pemulihan mental telah ditamatkan pada Februari tahun ini. Tindakan yang ironi itu sebenarnya mencerminkan ketidakseimbangan kewangan Israel yang banyak digunakan untuk peperangan ke atas Iran dan Gaza. Memetik persoalan salah seorang pegawai IOF, "It's simply irresponsible to send us home like this. They spend billions on munitions and interceptors, and they save money on this?". Sebagai rekod, Israel membelanjakan sebanyak RM47.6 bilion (35 bilion shekel) sepanjang tempoh perang ke atas Iran. Manakala, sebanyak RM478.35 bilion (352 bilion shekel) diperuntukkan setakat Februari 2026 untuk genosid di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Walaubagaimanapun, siasatan unit ketenteraan Israel pada 2025 mendapati isu bunuh diri dalam kalangan tentera adalah secara langsung berpunca daripada trauma dan pengalaman yang keterlaluan yang dialami sepanjang perang di semenanjung Gaza. Misalnya, pengalaman Michael Ofer-Ziv, pegawai operasi bilik perang yang menghidu sendiri udara pagi Gaza sebaik sahaja tingkap dibuka, “Baunya seperti tempat penyembelihan. Seperti berada di pasar di mana suasananya tidak bersih.” Salah seorang pegawai kanan Israel yang tidak ingin dikenali pernah kongsikan pengalamannya berada di dalam unit perang dan melihat sendiri IOF menggunakan manusia (rakyat Gaza) sebagai pelindung (human shield atau dalam Bahasa Ibrani, shawish). Menurutnya, shawish digunakan untuk memeriksa situasi di dalam rumah terbiar yang didakwa sebagai markas gerakan pejuang HAMAS. Ada masanya, shawish dihantar untuk membakar rumah atau diletupkan bersama rumah tersebut. Memikirkan perasaan shawish yang tidak bersalah ke rumah-rumah itu sahaja sudah cukup membuatkan dia ketakutan, apatah lagi memikirkan kesan terhadap rakyat Israel.
Ketenteraan Israel Meruncing – Krisis Politik Berpanjangan
Apabila jumlah tentera semakin berkurangan, timbul persoalan: siapa lagi yang akan dihantarkan ke unit ketenteraan? Pengecualian Haredi dari IOF ini sudah diamalkan sejak 1948. Ia menjadi isu besar pada hari ini kerana keterdesakan negara dalam mencari rakyat yang sanggup ‘memperjuangkan tanah air’ mereka. Di sinilah berlakunya pertembungan pendapat di antara koalisi yang menubuhkan kerajaan Israel pada hari ini, sekaligus dianggap krisis politik terbesar, lagi-lagi apabila ia turut menjadi perhatian perdebatan awam.
Terkini, pemimpin komuniti Haredi di Israel, Rabbi Dov Landau menggesa penggubal undang-undang ultra-Orthodoks untuk membubarkan Knesset segera. Menurutnya, tiada kepercayaan terhadap kerajaan Netanyahu lagi susulan kegagalan Knesset mengumpulkan majoriti bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pengecualian pelajar yeshivah (sekolah agama Yahudi) untuk terlibat dalam perkhidmatan tentera sebelum pilihan raya akan datang.
Kenapa Landau enggan pelajar yeshivah terlibat dalam ketenteraan Israel?
Sebenarnya, masyarakat Haredi menganggap perkhidmatan untuk negara sebagai satu gangguan terhadap pengajian kitab Taurat. Disebabkan itulah Haredi (juga disebut sebagai Haredim) dilihat sebagai mazhab Judaisme yang paling ketat kerana mereka hanya menumpukan seluruh kehidupan mereka untuk doa dan aktiviti keagamaan. Maka, tidak hairanlah jika komuniti Haredi memandang pihak berkuasa Israel sebagai entiti populis yang bahaya seperti yang didakwa oleh pengerusi United Torah Judaism, Yitzhak Goldknopf.
Difahamkan bahawa sejak dua tahun yang lalu, IOF telah mengeluarkan puluhan ribu arahan pengerahan ke atas komuniti ultra-Ortodoks yang berusia 18-24 tahun selepas pengecualian mereka daripada perkhidmatan wajib IOF dibatalkan pada 2024. Sebagai rekod, seramai 80,000 belia Haredi layak untuk menyertai IOF tetapi tiada tindakan agresif daripada pihak kerajaan untuk ‘memaksa’ mereka menyertai unit ketenteraan. Rupanya penahanan sejumlah kecil Haredi yang menghiraukan panggilan perkhidmatan untuk negara boleh mencetuskan kemarahan dan keganasan di pelbagai kawasan Haredi di Israel.
Dalam satu kes pada bulan lepas, kediaman Ketua Polis Tentera IOF, Jeneral Yuval Yamin di selatan bandar Asqalan (Ashkelon) telah diceroboh oleh 25 orang pemberontak Haredi dari parti politik Jerusalem Faction. Walaupun tindakan mereka dikritik oleh orang awam, parti tersebut membalas kritikan tersebut dengan kenyataan, “Garis merah telah dilangkaui. Jangan ganggu pelajar Kitab Taurat.” Jerusalem Faction difahamkan mempunyai sekitar 60,000 penyokon dan pemberontakan itu bukanlah rekod pertama tetapi boleh dikatakan ia merupakan pemberontakan berkala di kawasan awam.
Rupanya, Israel tidaklah begitu aman.
Di sini sahaja kita boleh lihat bahawa krisis yang melanda Israel bukan sekadar isu kekurangan anggota tentera, tetapi ia telah berkembang menjadi krisis psikologi, sosial dan politik yang semakin meruncing. Di sebalik kedudukan di tangga keempat dalam senarai negara yang memiliki pasukan ketenteraan terkuat dunia, ramai tentera Israel yang berdepan dengan trauma perang, tekanan mental dan keletihan berpanjangan akibat perang berpanjangan di Gaza. Tidak cukup dengan itu, kerajaan Netanyahu pula tersepit di antara memenuhi keperluan penambahan anggota tentera dengan tekanan politik daripada komuniti Haredi yang menolak penglibatan dalam perkhidmatan ketenteraan.
Secara tidak langsung, situasi Israel pada hari ini menyedarkan kita bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sistem pertahanan yang dibanggakan dunia tetapi ia memerlukan kestabilan sistem sosial yang bagus seperti keharmonian antara masyarakat berbilang bangsa, mazhab atau agama dan kesihatan mental.
Betullah apa yang disebutkan, Gaza tidak pernah kalah kerana rakyatnya bersatu hati bertahan di tanah air sendiri; walaupun terpaksa berkorban nyawa dan perasaan melihat saudara-mara yang lain syahid. Hakikatnya, ‘kehancuran Gaza’ yang kita lihat pada hari ini telah membawa kekalahan secara senyap di dalam ekosistem pentadbiran Netanyahu di Israel. Sedikit demi sedikit, Gaza pasti akan meraih kemenangannya pada satu hari nanti.