All Articles

Pengilhakan De Facto: Langkah Senyap Israel Mengubah Peta Tebing Barat

No tag assign.
8 min read
Written by
Khairul Yunus
Published on
February 23, 2026


Pada 8 Februari 2026, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan satu pakej peraturan baharu yang secara asasnya mengubah landskap pentadbiran dan pemilikan tanah di Tebing Barat. Walaupun ia tidak diisytiharkan secara rasmi sebagai pengilhakan (annexation), namun bagi ramai rakyat Palestin dan pemerhati antarabangsa, langkah ini membawa implikasi yang jauh lebih besar—ia dilihat sebagai bentuk pengilhakan de facto, iaitu peluasan kawalan Israel secara senyap dan berperingkat.


Untuk memahami isu ini, tumpuan perlu diberikan bukan sekadar kepada peraturan baharu tersebut, tetapi kepada kedudukan Tebing Barat itu sendiri serta perubahan struktur yang sedang berlaku di wilayah itu. Dalam konflik yang telah berlarutan lebih tujuh dekad, setiap pelarasan pentadbiran di Tebing Barat hampir mustahil untuk ditafsir tanpa merujuk kepada implikasi kuasa dan kedaulatan. 


Tebing Barat Sebagai Wilayah Pertikaian

Tebing Barat telah ditawan oleh Israel dalam Perang 1967 dan sejak itu ianya berada di bawah kawalan serta penjajahan Israel. Melalui Perjanjian Oslo, wilayah ini dibahagikan kepada kawasan A, B dan C (rujuk peta di bawah)—setiap satunya mempunyai tahap kawalan berbeza antara negara Palestin dan Israel. Struktur pembahagian inilah yang selama ini menjadi asas kepada perbincangan tentang penyelesaian dua negara.


Sejak itu, penempatan haram Israel terus berkembang di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur. Dianggarkan sekitar 700,000 pendatang haram Israel kini menetap di kawasan tersebut, berbanding kira-kira 3.3 juta rakyat Palestin. Perubahan demografi ini menjadi isu utama dalam perdebatan undang-undang dan politik antarabangsa kerana wilayah tersebut merupakan komponen penting dalam tuntutan kedaulatan negara Palestin.


Apakah yang Berubah Melalui Peraturan Baharu?

Keputusan Kabinet Keselamatan Israel memperkenalkan beberapa perubahan yang berpotensi mengubah struktur pentadbiran di Tebing Barat. Walaupun dibingkaikan sebagai pelarasan prosedur, namun kesannya melangkaui aspek teknikal dan menyentuh soal kawalan tanah, kuasa perancangan serta penguatkuasaan undang-undang di wilayah tersebut.


Antara perubahan paling kontroversi ialah pelonggaran sekatan yang sebelum ini mengehadkan pembelian tanah di Tebing Barat, termasuk sekatan semasa era pentadbiran negara Jordan. Akses kepada daftar tanah dilaporkan diperluas dan prosedur kelulusan transaksi dipermudah. Dari sudut pentadbiran, langkah ini boleh dilihat sebagai reformasi biasa. Namun dalam konteks politik, langkah itu dilihat membuka ruang kepada peningkatan pemilikan tanah oleh individu atau organisasi yang menyokong peluasan penempatan haram. Kebimbangan yang timbul ialah kemungkinan wujudnya tekanan ekonomi atau sosial terhadap pemilik tanah dalam kalangan rakyat Palestin untuk menjual tanah mereka. Dalam situasi ini, tanah bukan lagi sekadar aset ekonomi; ia berkait rapat dengan identiti budaya, kesinambungan bangsa dan tuntutan kedaulatan tanah air.


Perubahan kedua melibatkan kuasa perancangan dan permit pembinaan, khususnya di kawasan sensitif seperti al-Khalil (Hebron). Bandar ini mempunyai susunan kawalan yang kompleks, dengan kehadiran penempatan haram Israel di tengah kawasan Palestin. Apabila kuasa perancangan dan permit dipindahkan kepada pihak Israel, ia bukan sahaja memperkukuh kawalan kekuasaan Israel, malah mengecilkan peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA). Dalam jangka panjang, langkah ini berpotensi mempercepat pengesahan atau peluasan penempatan di kawasan yang sebelum ini tertakluk kepada pentadbiran bersama atau kawasan sedia ada di bawah pentadbiran Palestin.


Selain itu, peraturan baharu turut memperluas kuasa pihak penguatkuasaan Israel, termasuk dalam bidang alam sekitar dan arkeologi, kepada kawasan yang sebelum ini berada di bawah pentadbiran Palestin seperti kawasan A dan B. Perjanjian Oslo menetapkan pembahagian kuasa yang jelas antara kedua-dua pihak. Namun apabila penguatkuasaan diperluas merentasi sempadan pentadbiran tersebut, keseimbangan kuasa yang dibina sejak 1990-an turut berubah. Inilah yang mendorong sebahagian pemerhati menilai tindakan ini sebagai pengilhakan de facto.


Realiti yang Berlaku di Lapangan

Pengilhakan secara kebiasaannya berlaku apabila sesebuah negara mengisytiharkan secara rasmi bahawa sesuatu wilayah menjadi sebahagian daripadanya. Dalam kes Tebing Barat, tiada deklarasi formal sedemikian dibuat. Sebaliknya, perubahan itu berlaku secara berperingkat melalui peluasan kawalan undang-undang dan peraturan oleh Israel, pengurangan kuasa pentadbiran Palestin, serta pelonggaran syarat pemilikan dan pembangunan penempatan. Apabila proses ini berjaya dilaksanakan dan mengubah keseimbangan kuasa di lapangan, peluasan kawalan yang baru terbentuk menjadi semakin sukar untuk diubah.


Konflik pengilhakan de facto ini bukan sekadar perbahasan teori. Realiti di lapangan menunjukkan setiap perubahan struktur kawalan menimbulkan reaksi ketegangan antara kedua-dua negara. Data menunjukkan bahawa Tebing Barat menyaksikan lonjakan insiden serangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) merekodkan lebih 1,800 insiden serangan telah dilakukan oleh pendatang haram Israel sepanjang tahun 2025. Manakala ribuan penduduk Palestin dipindahkan dari komuniti kecil, khususnya di kawasan C. Komuniti Badwi dan petani terus berdepan sekatan akses kepada tanah dan sumber air, menjadikan kehidupan harian mereka semakin tertekan.


Dalam keadaan seperti ini, peraturan baharu yang diluluskan berpotensi menambah tekanan yang sedia ada. Apabila pembelian tanah menjadi lebih mudah dan kuasa penguatkuasaan diperluas, kesannya kehadiran penempatan haram Israel juga semakin bertambah. Perkembangan ini bukan sahaja menjejaskan susunan wilayah di Tebing Barat, tetapi turut memberi implikasi terhadap kedudukan Baitul Maqdis Timur dalam peta negara Palestin. Ia termasuk aspek akses dan kawalan terhadap tapak suci seperti Masjid al-Aqsa, yang mempunyai kepentingan politik serta simbolik yang besar bagi umat Islam.


Pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa

Dari sudut undang-undang antarabangsa jelas menunjukkan bahawa kuasa pendudukan tidak dibenarkan mengubah komposisi wilayah yang diduduki dengan memindahkan penduduknya sendiri ke kawasan tersebut. Prinsip ini terkandung dalam Artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat, yang bertujuan mengelakkan perubahan demografi yang boleh menjadikan pendudukan bersifat kekal. Dalam konteks Tebing Barat, peluasan kawalan Israel bercanggah dengan perundangan kerana ia melibatkan perpindahan dan penambahan penempatan haram rakyat Israel di wilayah pertikaian sejak tahun 1967.


Selain itu, prinsip asas dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa menetapkan bahawa mana-mana wilayah negara tidak boleh diperoleh secara paksa. Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242 (1967) dan 2334 (2016) menegaskan bahawa perubahan status wilayah secara unilateral bercanggah dengan norma antarabangsa. Kerangka ini menjadi bukti bahawa penempatan Israel di wilayah yang diduduki tidak diiktiraf secara sah.

Implikasi Politik dan Masa Depan Palestin

Selama ini, hampir setiap sidang diplomatik tentang Israel–Palestin berakhir dengan formula yang sama: penyelesaian dua negara. Ia disebut berulang kali, seolah-olah menjadi jawapan tetap kepada konflik yang telah lama berlarutan. Namun, formula itu bertumpu pada satu andaian yang sering dipersoalkan, adakah Palestin masih boleh dibentuk sebagai sebuah negara berasaskan garis sempadan sebelum 1967? Persoalan inilah yang kini semakin sukar untuk dijawab.


Dalam keadaan hari ini, konflik Israel–Palestin tidak lagi hanya berkisar tentang pembahagian wilayah atau garis sempadan. Tumpuan semakin beralih kepada persoalan yang lebih asas, iaitu bagaimana jutaan rakyat Palestin akan hidup dan ditadbir dalam ketidakadilan struktur kekuasaan. Jika perubahan ini berterusan tanpa penyelesaian politik yang jelas, maka isu yang diperdebatkan bukan lagi sekadar tentang peta, namun tentang bagaimana realiti kehidupan harian rakyat Palestin  untuk terus bertahan dalam wilayah penjajahan.