All Articles

Pembunuhan Terancang Pimpinan Pejuang: Mengapa Israel Masih Gagal Menundukkan Gaza?

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
November 28, 2025


Menurut laporan media Ibrani, Walla, Agensi Keselamatan rejim Israel, Shin Bet bersama-sama dengan tentera udara rejim mengakui bertanggungjawab atas operasi pembunuhan seorang pegawai kanan HAMAS, Imad Salim pada Rabu, 19 November 2025 yang menyasarkan sebuah bangunan di bandar Gaza. 


As-syahid merupakan Komander Batalion HAMAS, Zeitoun Timur di bandar Gaza merangkap Timbalan Komander Briged bandar Gaza. Operasi itu turut meragut nyawa komander unit tentera laut Briged al-Qassam di wilayah Gaza, khususnya di kawasan Mawasi di Khan Yunis. Realitinya, as-syahid Salim memiliki pengaruh yang besar dalam siri operasi di peringkat Briged Gaza, yang menjadi kawasan tumpuan utama pasukan rejim penjajah sepanjang perang yang telah berlarutan hampir dua tahun ini. Justeru, kepimpinannya sangat signifikan dalam setiap pertempuran di lapangan menentang rejim penjajah.


Di setiap fasa, gerakan penentangan tentunya menghadapi pelbagai cubaan dari pihak musuh untuk dilenyapkan dan disingkirkan sepenuhnya. Justeru, operasi pembunuhan ke atas Imad Salim tidak boleh dibaca secara terpisah daripada legasi sejarah perjuangan Palestin, yang sudahpun bermula sejak era Sheikh Izzuddin al-Qassam, 90 tahun yang lalu.


Al-Qassam dianggap sebagai inspirasi utama kebangkitan revolusi perjuangan di Palestin setelah beliau berhijrah dari Syria (1921), yang pada ketika itu dalam penjajahan Perancis. As-syahid telah berkongsi pengalaman peribadinya, meliputi pengalaman ketenteraan dan politik yang dimilikinya hasil daripada siri perjuangan menentang penjajah Perancis, kepada rakyat Palestin yang pada ketika itu sedang menghadapi ancaman penghijrahan kemasukan pendatang haram Yahudi yang bertujuan menjajah tanah mereka di bawah pentadbiran British. Pada 20 November 2025 yang lalu, genaplah 90 tahun kesyahidan pemimpin ummah, as-syahid Sheikh ‘Izzuddin al-Qassam. As-syahid gugur bersama dua rakan seperjuangannya dalam satu pertempuran menentang tentera British di Ya’bad pada tahun 1935.


Meskipun sumber utama revolusi perjuangan di Palestin telah syahid, perjuangan menentang penjajah tetap diteruskan. Kepimpinan gerakan-gerakan penentangan ini kemudiannya diambil alih oleh Sheikh Farhan al-Saadi. Pada ketika itu, kerajaan British di Palestin telah menjatuhkan hukuman mati ke atas al-Saadi kerana siri penentangannya yang hebat meskipun sudah berusia. Operasi perjuangan yang beliau pimpin akhirnya berkembang menjadi gerakan ketenteraan yang berterusan sehinggalah meletusnya al-Nakbah pada 1948 dan usaha pejuang Palestin menentang penjajahan Zionis diteruskan dalam pelbagai nama dan bentuk.


Perjuangan ini berkembang melalui penubuhan Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP), diikuti gerakan FATAH sebelum gerakan itu mengubah pendekatannya dan mengiktiraf penjajahan di tanah Palestin, sehingga munculnya gerakan-gerakan Islam secara rasmi dengan tercetusnya Intifada Pertama pada 8 Disember 1987. Perkembangan ini menunjukkan kesinambungan dan dinamika perjuangan Palestin yang tidak pernah berhenti, meskipun pimpinan utama gugur syahid, berdepan pelbagai cabaran dan perubahan strategi.


Intifada Pertama menjadi percikan kemarahan rakyat Palestin, kemarahan yang tidak pernah padam sejak saat itu hingga ke hari ini. Penjajah telah melaksanakan pelbagai dasar demi menumpaskan gerakan penentangan Palestin, namun mereka gagal sepenuhnya dalam mana-mana usaha tersebut. Sekalipun berjaya, pencapaian mereka tetap terbatas — sekadar menahan beberapa pemimpin politik dan ketenteraan serta menyekat penglibatan mereka dalam kedua-dua arena tersebut.


Walaupun demikian, langkah-langkah ini tidak pernah mampu mematahkan semangat perjuangan yang terus berkembang dan menyesuaikan diri menghadapi setiap cubaan penindasan. Misalnya, beberapa pimpinan utama masih berupaya menjalankan operasi ketenteraan menentang penjajah walaupun dari balik tirai besi penjara rejim. 


Siri pembunuhan terancang dari tahun 1990-an hingga Taufan al-Aqsa (2023-2025):

Hakikatnya, meskipun rejim penjajah berjaya menumpaskan ratusan pimpinan ketenteraan dan politik Palestin, namun hal itu tidak pernah melemahkan gerakan penentangan. Antara siri pembunuhan paling signifikan adalah pembunuhan menyasarkan Imad Aqil, yang dikenali dalam kalangan rakyat Palestin sebagai Tokoh Jihad dan Penentangan, sementara pihak musuh menggelarnya Lelaki dengan Tujuh Nyawa. Beliau merupakan antara sebab utama yang mendorong Perdana Menteri wilayah haram Israel, Yitzhak Rabin pada ketika itu berkata: “Aku berharap agar dapat tidur dan kemudian bangun dan mendapati Gaza tenggelam dalam laut.”


Selain itu, Yahya Ayyash, jurutera pertama Briged al-Qassam yang syahid terbunuh pada 5 Januari 1996. Pembunuhan itu disusuli dengan operasi serangan balas yang dipimpin oleh bekas tahanan merangkap pemimpin pejuang, Komander Hassan Salamah. Dalam rangka sasaran berterusan menyasarkan individu-individu pakar dalam bidang ketenteraan, siri pembunuhan rejim penjajah turut menyasarkan pemimpin projek pembuatan roket generasi pertama seperti Nidal Farhat, Tito Mas’ud dan Saad al-Arabid. Namun serangan-serangan ini tidak menghentikan perkembangan ketenteraan; bahkan membawa kesan sebaliknya. Malah, selepas kesyahidan mereka, pembangunan senjata semakin pesat dengan penghasilan roket-roket yang mula mencapai seluruh geografi Palestin, termasuk penggunaan pesawat tanpa pemandu dan keupayaan ketenteraan penentangan berkembang ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.


Kesyahidan Komander Adnan al-Ghoul pada tahun 2004 di tangan rejim penjajah turut  tidak melemahkan semangat gerakan penentangan Palestin. Sebaliknya, mereka terus melaksanakan projek demi projek, termasuk penghasilan peluru berpandu Yassin. Projek ini yang diasaskan oleh al-Ghoul sendiri, akhirnya telah menghasilkan peluru berpandu Yassin bersaiz 105mm, yang mengambil inspirasi daripada peluru berpandu milik Rusia. Penghasilan Yassin ini sekaligus memberi kesan besar dalam menonjolkan kelemahan industri ketenteraan rejim Israel yang terkenal dengan kereta kebal Merkava. Mereka juga berjaya menghasilkan sniper rifle yang dinamakan ‘al-Ghoul’ sebagai tanda ingatan terhadap as-syahid al-Ghoul di medan perjuangan.


Kesyahidan Komander Briged Khan Yunis, Rafiq Salamah dan ketua turus sayap tentera HAMAS, Briged al-Qassam, Muhammad al-Dhief dalam tempoh Operasi Taufan Al-Aqsa baru-baru ini di tangan rejim penjajah juga tidak berjaya menghentikan usaha penentangan. Malah, pertempuran tetap diteruskan dengan momentum yang sama. Lebih hebat lagi, gerakan penentangan semakin bertambah kuat dengan keupayaan meneliti dan menangkis taktik lama dan baru oleh pihak rejim untuk mengalahkan mereka sepenuhnya. Bahkan kepimpinan baharu yang segera diganti setelah gugurnya al-Dheif, diambil alih oleh Muhammad al-Sinwar, juga gugur syahid bersama Komander Briged Rafah, Muhammad Shabanah beberapa bulan kemudian. Walau bagaimanapun, pertempuran terus berlangsung dengan kekuatan yang semakin hebat.


Maka, pengalaman panjang sejak zaman as-syahid Izzuddin al-Qassam sehingga ke hari ini membuktikan bahawa dasar pembunuhan terancang rejim penjajah tidak pernah menghasilkan perubahan strategik dalam keseimbangan konflik. Setiap kali seorang pemimpin mujahidin gugur, pasti akan muncul kepimpinan baharu yang sering kali lebih maju dan lebih teguh lalu akhirnya menjadikan pembunuhan terancang sebagai sebuah alat yang tidak membawa keuntungan sama sekali kepada mereka. 


Perlu ditegaskan bahawa usaha rejim menyingkirkan pimpinan Palestin pada dasarnya tidak akan mampu mengubah percaturan permainan di lapangan. Sebaliknya, ia hanya menyingkap betapa seriusnya krisis yang dihadapi pihak penjajah dalam menghadapi gerakan penentangan, yang terus memperbaharui strategi, menyerap serangan dan membina kembali kekuatan mereka. Jika penjajah menyangka menyingkirkan pemimpin dapat mengubah hasil pertarungan, sejarah dari al-Qassam hingga Salim membuktikan sebaliknya: sesiapa yang gugur pasti segera diganti, sementara krisis dalaman pihak penjajah terus memburuk.


Selagi akar konflik wujud dan selagi penjajah berdiri di atas tanah bukan milik mereka, penentangan rakyat Palestin akan terus berlaku. Pertempuran ini bertentangan dengan kehendak penjajah dan hari demi hari menampakkan tanda-tanda menuju detik bersejarah — kejatuhan Israel, runtuhnya projek Zionis dan musnahnya hasrat mereka untuk berkuasa, di hadapan rakyat yang tidak pernah menyerah mempertahankan hak mereka demi kemerdekaan.


Hari ini, bacaan di peringkat antarabangsa nampaknya tidak mampu lagi memberi ‘keistimewaan’ yang biasanya dinikmati oleh pihak penjajah seperti sebelum ini, di mana sistem dunia hari ini sedang mengalami ketidakstabilan yang belum pernah berlaku. Legitimasi kuasa-kuasa dominan semakin terhakis sementara peranan pelaku bukan Negara semakin meningkat. Keadaan ini sekaligus menjadikan projek Israel; projek penjajahan berada di situasi yang lebih rapuh berbanding sebelumnya.


Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal