All Articles

Pelan Damai Trump: Jalan Damai atau Mandat Baharu Amerika di Gaza?

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
March 5, 2026

Pada pertengahan Januari 2026, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan permulaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza, yang asalnya bermula pada 10 Oktober 2025. Pelan ini diumumkan secara rasmi pada 29 September 2025, ketika genosid di Gaza telah pun hampir mencecah dua tahun dan meninggalkan kemusnahan besar terhadap kehidupan rakyat Palestin. Sepanjang tempoh tersebut, dunia telah menyaksikan bagaimana rejim Israel melaksanakan satu rancangan pemusnahan yang sistematik, khususnya terhadap bangunan kediaman di semenanjung Gaza. Wilayah ini dilihat sebagai kubu utama penentangan rakyat Palestin selepas berdekad-dekad menerima serangan bertubi-tubi, bukan sahaja di Gaza, malah di seluruh tanah Palestin yang dijajah serta Tebing Barat.

Fasa kedua pelan ini memperkenalkan beberapa struktur baharu, antaranya penubuhan Lembaga Keamanan yang dipengerusikan sendiri oleh Trump, serta Lembaga Eksekutif yang berperanan menyelaraskan aspek politik, ekonomi dan keselamatan. Dalam masa yang sama, sebuah majlis khusus bagi pembinaan semula Gaza turut diwujudkan, di samping Jawatankuasa Teknorat Palestin yang dipengerusikan oleh Dr. Ali Shaath. Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk membangunkan semula institusi-institusi Palestin serta memastikan penyediaan perkhidmatan awam kepada penduduk Gaza.

Peranan ketenteraan AS pula dizahirkan melalui pelantikan Jasper Jeffers, Mejar Jeneral AS sebagai Ketua Pasukan Penstabil Antarabangsa (ISF). Dengan pengalaman selama beberapa dekad dalam ketenteraan AS merangkumi penugasan di Iraq, Afghanistan dan Lubnan — Jeffers ditugaskan mengetuai operasi keselamatan, menyokong usaha pelucutan senjata kumpulan pejuang Palestin, serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula berjalan dengan lancar. Dalam masa yang sama, Nikolay Mladenov dilantik sebagai Wakil Tertinggi bagi Gaza, berfungsi sebagai penghubung antara Lembaga Keamanan dan Jawatankuasa Teknorat Palestin bagi pentadbiran Gaza.

Namun, persoalan utama yang muncul adalah, apakah sebenarnya niat AS di sebalik semua struktur susunan ini? Adakah ianya satu usaha tulen untuk membawa keamanan, atau satu strategi licik untuk menamatkan isu Palestin dengan cara yang mengelirukan dunia?

Sejak awal, pelan damai AS di semenanjung Gaza dilihat sarat dengan cara fikir politik Amerika terhadap Asia Barat. Ia bukan sekadar  berkisar tentang Palestin, tetapi ianya adalah sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengekalkan pengaruh Amerika di rantau ini, dalam masa yang sama cuba mengekalkan Israel sebagai satu alat kuasa keselamatan yang menjaga kepentingan Washington.

Pandangan ini jelas-jelas bercanggah dengan tanggapan sesetengah pihak yang melihat slogan America First sebagai petanda bahawa Amerika akan mengurangkan penglibatannya di Asia Barat. Konon akan menilai semula dasar-dasarnya di rantau ini lalu menumpukan perhatiannya pada kebangkitan ekonomi China. Realitinya, Amerika tidak pernah berundur malah sebaliknya, menyusun semula bentuk penguasaannya. Serangan pada 7 Oktober 2023 yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang Palestin telah memberi tamparan hebat kepada imej keselamatan dan ketenteraan Israel, khususnya dalam kalangan masyarakat Arab dan Islam. Imej Israel sebagai sebuah kuasa yang kebal mula dipersoalkan. Perkembangan ini secara umumnya turut dipengaruhi oleh perubahan geopolitik serantau, termasuklah kejatuhan rejim lama Syria sebelum ini di bawah pimpinan Bashar al-Assad ke tangan pihak pembangkang bersenjata Syria, serta peristiwa-peristiwa yang menyusul selepas itu. Hal ini membuktikan bahawa kuasa politik tidak selalunya kekal. 

Dalam konteks ini, AS dilihat berusaha mengubah stereotaip mengenai Israel yang telah berakar umbi  dalam kalangan masyarakat Arab dan Islam, yang secara tradisinya menganggap Israel sebagai musuh. Meskipun beberapa buah kerajaan telah pun menormalisasikan hubungan mereka dengan rejim ini, namun kebimbangan terhadap Israel masih berterusan. Hal ini disebabkan rasa bimbang yang masih kuat terhadap sifat ganas rejim dan imejnya sebagai sebuah kuasa penjajah yang berhasrat menubuhkan Israel Raya (The Greater Israel) di atas ‘runtuhan’ negara-negara di rantau ini. 

Justeru, penubuhan Lembaga Keamanan di bawah Trump dilihat sebagai usaha mencari penyelesaian kepada konflik  Palestin-Israel yang telah pun berlarutan lebih lapan dekad.

Namun kenyataannya, struktur lembaga tersebut memperlihatkan satu matlamat lain iaitu membolehkan AS mengelakkan tercetusnya konflik global yang lebih besar misalnya Perang Dunia Ketiga, khususnya ketika ketegangan antara Amerika, Rusia, China dan Eropah semakin meningkat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah terbukti gagal menyelesaikan banyak konflik global sepanjang tempoh tiga dekad terakhir, yang akhirnya membolehkan banyak negara terus melakukan pelanggaran serius terhadap negara-negara lemah. Keadaan ini menjadikan AS di bawah pimpinan Trump, melantik dirinya sebagai ‘polis dunia’ yang secara tidak langsung memberi isyarat bahawa mereka tidak akan toleransi terhadap mana-mana negara yang mencabar keputusannya, terutama dalam isu-isu yang berkaitan dengan Asia Barat.

Lebih membimbangkan, penubuhan Lembaga Keamanan ini turut mencerminkan usaha mewujudkan pengawasan antarabangsa AS ke atas semenanjung Gaza, yang berpotensi merebak luas ke beberapa kawasan lain yang menjadi sasaran Israel. Antaranya termasuk beberapa kawasan di selatan Lubnan yang menyaksikan pelbagai pelanggaran Israel terhadap Hizbullah. Keadaan ini berlaku dalam konteks Iran yang masih sedang sibuk menangani isu dalamannya, termasuk protes rakyatnya sebelum ini, yang akhirnya menjadikan AS muncul sebagai perancang utama yang merancang dan menstruktur mandat baharu secara praktikal di Gaza dalam bentuk pentadbiran sivil.

Selain itu, pelantikan tokoh-tokoh yang dianggap bermusuhan dengan projek penentangan Palestin menimbulkan persoalan. Antara tokoh yang disebut ialah Jeneral Sami Nisman, yang sebelum ini dianggap sebagai salah seorang pegawai utama dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA). Beliau dipercayai terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam masyarakat Palestin selepas penarikan diri PA dari Gaza pada 2007. Beberapa tokoh lain turut dikategorikan sama. Namun, tiada bukti jelas yang mengaitkan penglibatan mereka dalam pencetus ketegangan dan kekacauan seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap Nisman.

Dalam masa yang sama, Jared Kushner, seorang pemaju hartanah merangkap menantu Presiden AS pula merancang untuk menganjurkan sebuah persidangan bersama penderma dengan tujuan untuk mengumpulkan dana bagi membina semula semenanjung Gaza pada bulan hadapan. Master Plan yang dibentangkan ketika Forum Ekonomi Dunia yang diadakan di Davos, Switzerland pada pertengahan Januari lalu menjanjikan pembinaan semula Gaza merangkumi menara kediaman, pusat data, pusat peranginan tepi laut, taman, kemudahan sukan dan lapangan terbang. Hal ini dilihat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk memperkukuh pelan damai Trump, sekali gus menimbulkan persoalan, sama ada ia benar-benar berpaksikan keperluan rakyat Gaza, atau sekadar memperkukuh naratif damai versi Amerika?

Isu pelucutan senjata kekal sebagai syarat utama kesinambungan gencatan senjata. Israel percaya bahawa HAMAS tidak akan bersetuju melucutkan senjatanya seperti yang termaktub dalam salah satu syarat pelan, justeru mereka bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tercetusnya semula pertempuran. Menurut Saluran 12 Israel, tentera Israel telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka lebih awal bagi menghadapi situasi ini. Dalam hal ini, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu turut menyatakan bantahan terhadap penyertaan Menteri Luar Turki, Hakan Fidan dan juga penasihat Perdana Menteri Qatar, Ali al-Zawadi dalam Lembaga Eksekutif Gaza, dengan alasan kedua-duanya dilihat cenderung kepada HAMAS dan negara mereka juga menempatkan ramai pemimpin dari gerakan itu.

Walau bagaimanapun, HAMAS mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama bagi memudahkan kerja Jawatankuasa Peralihan Sementara yang ditugaskan mengurus Gaza. Melalui langkah ini, serta langkah-langkah sebelumnya sejak menerima cadangan gencatan senjata AS pada suku terakhir tahun lalu, HAMAS berusaha meringankan kesusahan hidup rakyatnya di Gaza dan berusaha mengelakkan berulangnya pertikaian di wilayah tersebut.

Di samping itu, melalui persetujuannya terhadap langkah-langkah terdahulu, HAMAS juga berusaha untuk menyusun semula barisan pasukannya, membina semula apa yang telah dimusnahkan oleh tentera rejim Israel sepanjang dua tahun peperangan, terutamanya selepas kehilangan barisan pimpinan sayap bersenjata dan pimpinan politik di Gaza. Usaha ini terbukti melalui pelaksanaan pemilihan dalaman HAMAS, yang merupakan salah satu cara utama mereka menyusun semula barisan kepimpinan, sekaligus memudahkan mereka membuat keputusan yang berpihak kepada kepentingan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang pendudukan Israel.

Pun begitu dalam konteks ini, pelan Amerika ini tidak menunjukkan sebarang penyelesaian jangka panjang pun untuk rakyat Palestin. Sebaliknya, ia hanya meneruskan pendekatan pengurusan konflik yang telah lama diguna pakai. Malah, sokongan yang diterima Israel daripada Amerika sejak penubuhannya di tanah Palestin pada tahun 1948 sehingga kini tidak dapat dibandingkan dengan sokongan luar biasa yang diberikan sepanjang peperangan di Gaza sejak 7 Oktober 2023 hingga sekarang.

Keadaan ini menegaskan bahawa perancangan AS sememangnya selari dengan kepentingan rejim Israel dalam menamatkan isu Palestin, sambil mengukuhkan kedudukan Israel di rantau ini melalui usaha normalisasi dengan beberapa buah kerajaan sekitarnya. Langkah ini turut disokong oleh pelbagai projek dan rancangan yang bertujuan melemahkan semangat perjuangan masyarakat serantau, serta membina naratif bahawa Israel adalah sebuah negara yang mustahil ditewaskan dan usaha menentangnya hanya akan membawa kepada kehancuran.

Namun, sejarah dan realiti serantau menunjukkan bahawa rancangan kuasa besar tidak selalunya berjalan seperti yang dirancang. Contohnya, kebangkitan di Syria yang akhirnya menyaksikan golongan revolusioner mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kejatuhan rejim lama. Ini berlaku walaupun sebahagian besar negara sebelum ini menyokong rejim tersebut pada fasa akhir pemerintahannya.

Perjuangan rakyat seringkali menemukan jalannya sendiri, berbeza dengan apa yang dirancang oleh kuasa besar atau pemerintahan lama.