Pelan Damai Gaza Berada di Persimpangan?

Pelan damai Gaza yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) kini berada di persimpangan yang genting. Harapan untuk menamatkan peperangan, menjamin kemasukan bantuan kemanusiaan dan membuka jalan kepada pembinaan semula Gaza kembali berdepan ketidakpastian selepas Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu menolak pelan 15 perkara yang dikemukakan melalui Lembaga Keamanan (BOP) yang dikelolai Washington.
Pada 9 Ogos 2026, Netanyahu menegaskan bahawa tentera penjajah Israel tidak akan berundur dari Gaza selagi HAMAS belum dilucutkan senjata sepenuhnya. Pendirian itu menimbulkan persoalan besar tentang masa depan pelan berkenaan khususnya mengenai hubungan antara pelucutan senjata HAMAS dengan pengunduran tentera penjajah Israel. Bagi rakyat Palestin, persoalan tersebut bukan sekadar pertikaian diplomatik antara Washington, Tel Aviv dan HAMAS. Persoalan yang lebih mendasar ialah sama ada gencatan senjata mampu berkembang menjadi keamanan yang berkekalan atau sekadar memberikan ruang sementara sebelum penderitaan dan peperangan kembali berulang.
Kebuntuan yang Berpunca daripada Syarat Pelaksanaan
Pelan 15 perkara tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pelaksanaan fasa kedua pelan damai Gaza. Kerangka berkenaan menghubungkan pelucutan senjata HAMAS dengan pengunduran tentera penjajah Israel secara berperingkat serta peralihan kepada pentadbiran Palestin dan pembinaan semula Gaza. Namun, Netanyahu kini meletakkan pelucutan senjata HAMAS sepenuhnya sebagai prasyarat sebelum pengunduran tentera rejim Israel. Di sinilah kebuntuan timbul. HAMAS pula menegaskan semula komitmennya terhadap hala tuju yang dipersetujui bersama para pengantara dan BOP.
Dalam kenyataannya, HAMAS menegaskan bahawa pelaksanaan pelan tersebut perlu disertai gencatan senjata menyeluruh, pengunduran tentera rejim Israel, pembukaan lintasan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Gaza. HAMAS turut menyeru pihak pengantara dan pihak yang menjamin perjanjian supaya memastikan semua pihak mematuhi komitmen masing-masing.
Pendirian ini memperlihatkan bahawa HAMAS tidak sekadar meletakkan soal senjata sebagai isu tunggal. Sebaliknya, HAMAS menghubungkan proses tersebut dengan jaminan keselamatan dan pengunduran rejim Israel. Persoalannya, jika HAMAS melucutkan senjata terlebih dahulu, apakah jaminan bahawa Israel benar-benar akan berundur? Tanpa jawapan yang kukuh terhadap persoalan tersebut, proses pelucutan senjata berisiko menjadi konsesi sebelah pihak tanpa jaminan balasan yang setara.
HAMAS dan Persoalan Kepercayaan
Pendirian HAMAS perlu dilihat dalam konteks rundingan yang panjang serta pengalaman gencatan senjata yang rapuh. Selepas Netanyahu menolak pelan berkenaan, HAMAS tidak mengumumkan penolakan terhadap keseluruhan kerangka tersebut. Sebaliknya, HAMAS mengulangi komitmennya terhadap pelan yang dipersetujui bersama para pengantara dan BOP. Perkara ini penting kerana ia menuntut kedua-dua pihak memikul tanggungjawab dalam memastikan pelaksanannya berjalan dengan baik.
Jika sebuah pelan damai menuntut HAMAS melakukan pelucutan senjata, pada masa yang sama pengunduran tentera rejim Israel juga perlu menjadi sebahagian daripada proses yang boleh disahkan. Keamanan tidak boleh dibina atas dasar tuntutan sepihak. Atas sebab itu, HAMAS menyeru pihak pengantara dan pihak yang menjamin perjanjian supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dan menghalang sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan gencatan senjata. Dalam konteks ini, pendirian HAMAS boleh dilihat sebagai usaha untuk memastikan bahawa pelucutan senjata tidak berlaku dalam keadaan yang mengabaikan persoalan keselamatan dan masa depan Gaza.
Gaza Memerlukan Keamanan yang Berkekalan
Bagi penduduk Gaza, pelan damai mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada perdebatan mengenai senjata. Lebih dua juta penduduk Gaza masih berdepan kesan kemusnahan akibat peperangan. Rumah, sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan awam memerlukan pemulihan. Penduduk yang kehilangan tempat tinggal pula bukan sahaja memerlukan bantuan kecemasan, tetapi kepastian bahawa mereka dapat kembali membina kehidupan dalam keadaan selamat.
Laporan Al Jazeera pada 10 Ogos menunjukkan bahawa penduduk Gaza bimbang penolakan Netanyahu akan menggagalkan harapan terhadap keamanan yang berkekalan. Bagi mereka, pengunduran Israel, pembinaan semula Gaza dan jaminan bahawa peperangan tidak akan berulang merupakan perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada sebarang penyelesaian.
Oleh itu, pembinaan semula Gaza tidak boleh dilihat semata-mata sebagai projek pembangunan fizikal. Rumah yang dibina semula memerlukan jaminan keselamatan. Hospital yang dipulihkan memerlukan perlindungan. Sekolah yang dibuka semula memerlukan suasana yang membolehkan kanak-kanak belajar tanpa ketakutan. Jika ancaman peperangan masih wujud, pembinaan semula hanya berisiko menjadi usaha sementara yang boleh musnah sekali lagi.
Netanyahu dan Tekanan Politik Israel
Penolakan Netanyahu juga perlu dilihat dalam konteks politik domestik Israel. Laporan Al Jazeera menyatakan bahawa pelan tersebut tidak popular dalam kalangan sebahagian penyokong sayap kanan Netanyahu, manakala anggota kabinet berhaluan kanan turut mendesaknya supaya menolak pelan berkenaan. Keadaan ini menjadikan pengunduran Israel dari Gaza sebagai isu politik yang amat sensitif.
Bagi kelompok yang mahu meneruskan operasi ketenteraan dan mengekalkan kawalan terhadap sebahagian wilayah Gaza, pengunduran boleh dianggap sebagai satu bentuk konsesi. Namun, harga kepada rakyat Palestin amat besar. Setiap kelewatan bermakna keluarga yang kehilangan tempat tinggal terpaksa terus menunggu. Mereka yang kehilangan anggota keluarga terus menanggung kesannya. Generasi muda Gaza pula terus berdepan masa depan yang tidak menentu. Percaturan politik Israel bukan sekadar persoalan dalaman. Keputusannya mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan rakyat Palestin.
Washington Berdepan Ujian
Penolakan Netanyahu turut menguji sejauh mana Washington mampu mempengaruhi sekutunya sendiri. Trump menyatakan hubungannya dengan Netanyahu masih baik walaupun pemimpin Israel itu secara terbuka menolak pelan yang disokong AS. Keadaan tersebut menimbulkan persoalan tentang keberkesanan tekanan Amerika terhadap Israel.
Jika Washington benar-benar mahu pelan tersebut berjaya, AS perlu memastikan komitmen setiap pihak dilaksanakan. Pelan damai tidak akan memperoleh kepercayaan rakyat Palestin sekiranya satu pihak dituntut membuat konsesi, sedangkan pihak lain boleh mengubah syarat pelaksanaannya. Dalam hal ini, pendirian HAMAS memberikan satu ukuran yang penting iaitu pelucutan senjata mesti ditempatkan dalam kerangka penyelesaian yang lebih menyeluruh termasuk pengunduran rejim Israel, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.
HAMAS sebagai Pihak yang Masih Berpegang pada Kerangka Perjanjian
Dalam perkembangan terkini, terdapat satu paradoks yang tidak boleh diabaikan. HAMAS menyatakan semula komitmennya terhadap pelan damai ini dan menyeru para pengantara supaya memastikan semua pihak mematuhi perjanjian, sedangkan Netanyahu mengumumkan bahawa Israel menolak dokumen tersebut dan tidak akan berundur sebelum HAMAS dilucutkan senjata sepenuhnya.
Keadaan ini menjadikan persoalan pelaksanaan lebih penting daripada persoalan retorik. Bagi HAMAS, penerimaan terhadap proses damai tidak bermaksud menyerahkan semua tuntutan tanpa jaminan. Sebaliknya, pendiriannya menunjukkan bahawa pelucutan senjata perlu ditempatkan dalam rangkaian komitmen yang menjamin pengakhiran serangan, pengunduran Israel, pembukaan lintasan, kemasukan bantuan dan pembinaan semula. Dari perspektif Palestin, pendirian sedemikian membawa satu persoalan yang munasabah, apakah ertinya melucutkan keupayaan mempertahankan diri jika pendudukan dan ancaman ketenteraan masih berterusan?
Keamanan yang Benar-benar Bermakna
Pelan damai Gaza kini berada pada titik penentu. Penolakan Netanyahu menunjukkan bahawa cabaran terbesar bukan sekadar menghasilkan dokumen perdamaian tetapi memastikan dokumen tersebut diterjemahkan kepada tindakan. Bagi rakyat Palestin, keamanan tidak boleh diukur hanya berdasarkan berkurangnya serangan untuk beberapa hari. Keamanan bermaksud keluarga dapat kembali ke rumah, anak-anak dapat kembali ke sekolah, hospital dapat berfungsi, bantuan kemanusiaan dapat memasuki Gaza. Penduduk dapat membina semula kehidupan tanpa ketakutan bahawa kemusnahan yang sama akan berulang.
Dalam situasi ini, pendirian HAMAS terhadap pelan tersebut perlu difahami dalam konteks tuntutan terhadap jaminan, pelaksanaan timbal balik dan pengakhiran pendudukan ketenteraan. Pelan damai yang hanya menuntut konsesi daripada pihak Palestin tanpa memastikan pengunduran rejim Israel tidak akan menyelesaikan akar persoalan.
Pada akhirnya, ukuran kejayaan pelan damai bukanlah pada retorik diplomasi atau keindahan dokumen yang dirangka di meja rundingan. Ukurannya ialah perubahan yang berlaku dalam kehidupan rakyat Gaza. Gaza tidak hanya memerlukan peperangan dihentikan seketika tetapi Gaza memerlukan keamanan yang berkekalan.
Keamanan itu mesti membuka jalan kepada pengunduran tentera penjajah Israel, pembinaan semula Gaza, pemulihan kehidupan awam dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Selagi syarat-syarat tersebut belum terjamin, pelan damai akan terus berada di persimpangan di antara janji keamanan di meja rundingan dengan realiti yang masih dirasai rakyat Palestin di bumi Gaza.
Penulis, Ahmad Muntaha bin Zainal Bahrin adalah penyelidik, penterjemah dan kolumnis aktif bagi portal Dunia Palestin.